Tuesday, June 7, 2016

Aleppo Terus Dibedil, 53 Maut

PENDUDUK Syria melihat kesan kemusnahan akibat serangan mortar
AMMAN 6 Jun - Persiapan menyambut Ramadan bagi penduduk di Aleppo, Syria bagaikan tiada erti apabila kawasan kediaman mereka berterusan menjadi ‘medan pertempuran’ antara tentera Syria dan kumpulan penentang kerajaan yang saling bertelagah, sama ada menerusi serangan udara mahupun bedilan mortar, semalam.

Menurut portal Al Jazeera, sekurang-kurangnya 53 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam pertempuran tersebut, ketika tentera kerajaan buat pertama kali berjaya memasuki wilayah Raqqa sejak Ogos 2014. Badan Pemantau Hak Asasi Syria melaporkan, berpuluh-puluh bom tong digugurkan melalui helikopter tentera di kawasan perumahan al-Qatriji manakala sebuah pesawat pejuang tidak dikenali terhem­pas di selatan Aleppo.

Badan itu menyatakan 32 orang terkorban dalam serang­an udara berkenaan manakala 20 orang lagi maut diserang kumpulan penentang kerajaan di kawasan dikuasai tentera kerajaan di bandar Aleppo.

Kumpulan sukarelawan White Helmets pula menyatakan, sekurang-kurangnya 50 serangan udara dilancarkan ke kawasan dikuasai kumpulan penentang di Aleppo semalam. Jelas sukarelawan tersebut, kumpulan penentang turut membedil kawasan perumahan dikuasai tentera kerajaan di bahagian barat bandar berkenaan di kawasan Hamadaniyah dan Midan.

 Dalam perkembangan ber­asingan, tentera Syria dilaporkan mula memasuki wilayah Raqqa kelmarin, kali pertama selepas mereka diusir kum­pulan mi­litan IS pada Ogos 2014. Badan Pemantau Hak Asasi Syria memberitahu, serangan udara tentera Rusia di timur wilayah Homs berhampiran Raqqa pada Jumaat lalu memudahkan kemaraan tentera Syria ke wilayah berkenaan.

 Jelas badan berkenaan, sebanyak 26 anggota militan IS dan sembilan anggota tentera kerajaan dan sekutunya terbunuh dalam pertempuran tersebut. Tambahnya, tentera Syria membuat kemaraan dari kawasan Athriya, timur wilayah Hama berhampiran sempadan wilayah Raqqa.  sumber

No comments: