Monday, June 20, 2016

Banjir di Jawa Tengah Ragut 47 Nyawa

JAKARTA 20 Jun- Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) setakat ini menemukan 47 mayat yang tertimbus di dalam lumpur berikutan hujan lebat yang mengakibatkan banjir lumpur dan tanah runtuh di beberapa kawasan di daerah Purworejo dan Banjarnegara di Jawa Tengah, kelmarin.

Media-media dalam talian memetik Ketua Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Purworejo, Budi Hardjono sebagai berkata, sebanyak 20 mayat ditemukan pada hari kejadian dan 27 mayat lagi ditemukan malam tadi. "Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan dan 20 orang lagi masih dilaporkan hilang setakat ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tanah runtuh dilaporkan berlaku di sembilan kawasan perkampungan di kedua-dua daerah itu. Kerja-kerja SAR menjadi sukar kerana hujan masih berterusan selain faktor runtuhan tanah yang berbahaya, katanya sambil memberitahu bahawa 250 penduduk kampung yang menjadi sukarelawan membantu pihak penguatkuasaan menjalankan kerja-kerja SAR itu.

 Sementara itu, Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, dalam kenyataannya berkata kerja-kerja mencari mangsa yang hilang akan diteruskan walaupun dalam keadaan cuaca buruk. "Walaupun standard operasi mencari mangsa hilang ialah selama tujuh hari, namun BNPB boleh melanjutkan tempoh pencarian atas permintaan keluarga masing-masing," katanya. - BERNAMA  SUMBER

No comments: