Sunday, June 19, 2016

IRAQ Tawan Semula Fallujjah Sejak 2014

BAGHDAD 18 Jun Selepas gagal untuk menawan bandar Fallujah sejak tahun 2014, tentera Iraq akhirnya berjaya menawan se­mula sebahagian besar kawasan itu daripada cengkaman kumpulan militan IS, semalam. Portal Al Jazeera melaporkan, Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi ketika mengumumkan kejayaan itu berkata, hanya sebilangan kecil anggota kumpulan militan tersebut berada di bandar tersebut ketika ini. “Kami pernah berjanji akan membebaskan Fallujah dan kini kami telah menawan semula bandar itu.

“Ketika ini, pasukan keselamatan Iraq berjaya mengawal bandar itu kecuali di beberapa kawasan kecil yang dijangka dapat ‘dibersihkan’ dalam tempoh beberapa jam lagi,” katanya menerusi satu siaran televisyen semalam. Kerajaan Iraq hilang penguasaan terhadap Fallujah selepas bandar itu jatuh ke tangan kumpulan militan IS pada 2014, beberapa bulan selepas menawan bandar kedua terbesar di Iraq, Mosul.

Dalam pada itu, Haider turut membuat pengumuman yang sama dalam laman Twitter miliknya apabila menulis, ‘Fallujah telah kembali dikuasai dan Mosul pula adalah sasaran berikutnya. Militan IS akan ditewaskan’. Tentera Iraq dilaporkan berjaya memasuki pusat bandar Fallujah semalam selepas hampir empat minggu usaha untuk menawan semula bandar yang terletak kira-kira 50 kilometer di barat Baghdad itu dijalankan. Bendera negara juga telah dikibarkan di puncak bangunan tertinggi di kawasan itu sebagai tanda pihak tentera telah berjaya menguasai bandar tersebut.

 Ketua Polis Iraq, Raed Shaker Jawdat yang mengesahkan perkara itu berkata, pembebasan Fallujah telah dilakukan di kawasan tumpuan yang menjadi mercu tanda bandar itu. Komander bagi kedua-dua pihak turut memberitahu, pasukan keselamatan Iraq hanya berdepan rintangan yang kecil ketika cuba memasuki pusat bandar Fallujah. “Ini merupakan satu perkembangan yang sangat penting,” kata wakil Al Jazeera di Iraq, Omar al-Salleh. sumber

No comments: