Tuesday, June 21, 2016

Jordan - 6 Askar Maut, Letupan Bom Kereta

AMMAN: Enam askar maut dan 14 cedera dalam letupan bom kereta di luar kem pelarian Syria di Jordan ketika beratus-ratus penduduk diperiksa kerana disyaki bersubahat dengan IS. Tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman itu, tetapi Jordan adalah anggota utama tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat, yang kini bertempur dengan IS di negara jiran, Syria dan Iraq, sekali gus menjadi sasaran serangan pemberontak.

Pihak tentera berkata, letupan itu memusnahkan beberapa kenderaan 'musuh' pada jam 5.30 pagi waktu tempatan di Rukban, kawasan terpencil di timur laut sempadan Syria. Menteri Luar, Nasser Judeh menganggap kejadian itu sebagai 'serangan pengecut.' "Pengganas sekali lagi menyerang pengawal sempadan kita. Kejahatan akan tumpas," katanya menerusi akaun rasmi laman sosialnya.

Pada 6 Jun lalu, seorang lelaki bersenjata membunuh lima pegawai perisikan Jordan di utara kem pelarian Palestin di ibu negara. Suspek ditangkap, tetapi maklumat mengenai serangan masih dirahsiakan, sementara siasatan diteruskan.

Berpuluh-puluh ribu pelarian Syria kini berlindung di dua kem padang pasir terpencil di timur laut, iaitu di Rukban dan Handalat di barat Jordan. Jordan memberi perlindungan kepada 1.4 juta pelarian Syria, yang mana 630,000 berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP  sumber

No comments: