Thursday, June 23, 2016

PERANCIS Batalkan Cukai Tambahan Sawit

PARIS: Dewan Negara Perancis membatalkan rancangan cukai tambahan ke atas sawit yang mencetuskan bantahan dalam kalangan negara pengeluar utama, selepas kerajaannya mencadangkan satu skim cukai baharu bagi minyak sayuran yang digunakan dalam makanan.

Dua pengeluar sawit terbesar dunia, Indonesia dan Malaysia, berkata cukai yang disasarkan untuk menggalakkan sektor itu mengurangkan kerosakan alam sekitar yang boleh diakibatkan oleh perladangan sawit, adalah satu diskriminasi dan bertentangan dengan peraturan perdagangan antarabangsa. Kerajaan Perancis mencadangkan pindaan saat akhir, yang menjelaskan bahawa Dewan akan membentangkan satu skim baharu dalam masa enam bulan selepas penguatkuasaan undang-undang berkenaan pada musim panas ini. Ia bagi menyeragamkan cukai ke atas minyak sayuran dan memasukkan pengecualian cukai bagi minyak lestari berdasarkan 'kriteria objektif'.

Sawit adalah antara minyak sayuran paling kurang dicukai di Perancis. Sebab utama tindakan kerajaan Perancis itu berikutan undang-undang yang tidak jelas berhubung cukai asas, yang menumpukan hanya satu jenis minyak sayuran dan mengandungi pengecualian cukai berdasarkan kriteria lestari yang tidak dinyatakan dengan tepat, kata Setiausaha Negara Perancis, Barbara Pompili kepada Parlimen.

"Tiada persoalan untuk mencetuskan stigma ke atas negara lain, kami di sini cuba mencari peraturan jangka panjang yang memihak kepada pembangunan lestari dengan membantu sebaik mungkin untuk memberikan pengiktirafan kepada negara lain," katanya kepada Dewan Negara. Cadangan asal Perancis untuk cukai tambahan ke atas penggunaan minyak sawit dalam makanan diredakan oleh Dewan Negara pada Mac lalu, dengan mengecualikan sawit lestari dan mengurangkan jumlah levi. Namun, rang undang-undang kepelbagaian bio tidak diluluskan oleh Senat, menyebabkan dua dewan perwakilan perlu mencari persetujuan. Mesyuarat berakhir tanpa persetujuan. Pengenalan semula cukai itu dalam rang undang-undang kepelbagaian bio minggu lalu mencetuskan reaksi kurang senang daripada pengeluar Malaysia.

Dalam satu kenyataan, mereka mendakwa cukai itu melanggar peraturan perdagangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kesatuan Eropah (EU), mengakibatkan 300,000 pekebun kecil kehilangan kerja dan mempunyai impak negatif terhadap hubungan Perancis dan Malaysia. Ini bukan kali pertama kerajaan Perancis mengenakan cukai ke atas sawit, yang dikatakan menyumbang kepada pembalakan dan memberikan impak terhadap kepelbagaian bio. Kali pertama, pada 2012, ia mencadangkan untuk meningkatkan cukai berkali ganda ke atas sawit. Cadangan itu gagal berikutan lobi daripada negara pengeluar. - Reuters sumber

No comments: