Friday, June 17, 2016

Pondok Pasir Tumboh Terbakar

KOTA BHARU 17 Jun - Sebanyak tiga unit bangunan asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh musnah dalam kebakaran di sini hari ini. Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika pelajar perempuan yang tinggal di asrama berkenaan berada di luar bangunan tersebut yang menempatkan kitab-kitab agama.

Mudir Pengurusan Muslimah Madrasah berkenaan, Shuib Omar berkata, pondok pengajian itu dihuni kira-kira 1,000 pelajar dari seluruh negara yang berusia di antara 18 sehingga 25 tahun. “Kejadian berlaku dengan begitu pantas. Alhamdulillah tidak ada kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pelajar, Mohd. Shukri Yusof,27, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika pelajar selesai menunaikan solat asar di Masjid Terusan Limbat yang terletak berhampiran dengan pondok pengajian itu. “Kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang kami. “Tragedi yang berlaku ini mungkin dugaan pada bulan Ramadan dan kami terima dengan hati yang tabah,” katanya sebak.

 Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.10 petang dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian. “Sebanyak empat jentera dengan kekuatan 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Kota Darul Naim,Kota Bharu serta Tunjong terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

“Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran kerana struktur bangunan tersebut adalah jenis separuh kekal. Kita juga dapat mengawal kebakaran daripada merebak. “Kita masih menyiasat jumlah kerugian serta punca kejadian,” katanya.  sumber

No comments: