Friday, June 17, 2016

Taliban Didakwa Guna Hamba Seks untuk Serang Tentera

TARIN KOT 16 Jun – Kumpulan militan Taliban didakwa menggunakan hamba seks kanak-kanak untuk menyusup ke dalam pasukan keselamatan sebelum melancarkan serangan ke atas pasukan polis di selatan Afghanistan. Kumpulan militan Taliban mengeksploitasi amalan masyarakat tempatan, yang dikenali sebagai ‘bacha bazi’ atau menggunakan budak lelaki pedofilia untuk menyusup masuk ke dalam pasukan keselamatan negara ini.

Adat kuno itu menjadi amalan di Afghanistan dan berakar umbi seperti di wilayah Uruzgan yang menyaksikan ‘bacha bereesh’ atau budak lelaki tanpa jambang sering menjadi objek tarikan berahi kepada komander polis berpengaruh. Taliban sejak hampir dua tahun lalu menjadikan budak lelaki pedofilia ini untuk me­lancarkan serangan yang menyaksikan sekurang-kurangnya enam kejadian antara Januari dan April sahaja yang mengakibatkan kematian beratus-ratus anggota polis dan pegawai kehakiman.

“Taliban akan menghantar kanak-kanak lelaki kacak untuk menembusi pusat pemeriksaan, sebelum mereka membunuh, memberi dadah dan racun kepada anggota polis. “Mereka mengenal pasti kelemahan kami yang amat ketara iaitu bacha bazi,” kata bekas Ketua Polis Uruzgan, Ghulam Sakhi Rogh Lewanai. Ghulam ditukarkan semasa rombakan pasukan keselamat­an pada April lalu berikutan peningkatan keganasan di wi­layah itu.

Serangan itu yang menggambarkan penganiayaan terhadap kanak-kanak oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik di negara ini, membuatkan pihak berkuasa kebingungan. Seorang pegawai kanan wi­layah Uruzgan turut sependapat dengan kenyataan Ghulam itu dengan menyatakan “lebih mudah menangani penyerang berabi mati, daripada serangan oleh ‘bacha bereesh”. – AFP SUMBER

No comments: