Monday, July 11, 2016

Nasionalis MYANMAR Desak Rohinya Dipanggil Benggali

YANGON: Golongan nasionalis Myanmar mengadakan tunjuk perasaan pada Ahad bagi mendesak kerajaan menggunakan perkataan 'Benggali' untuk merujuk komuniti Islam Rohingya di negara itu. Istilah itu, yang digunakan pentadbiran terdahulu, dianggap menghina oleh sesetengah pihak. Kaunselor negara, Aung San Suu Kyi, sebelum ini mencadangkan rakyat Myanmar mengelak menggunakan istilah seperti 'Rohingya' atau 'Benggali' bagi menggambarkan komuniti itu sebaliknya merujuk mereka sebagai 'penduduk Islam yang tinggal di negeri Rakhine.'

Beliau turut melarang pegawai menggunakan dua istilah berkenaan untuk merujuk kumpulan minoriti itu ketika lawatan oleh wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bantahan itu adalah satu satu daripada banyak tindakan serupa dilakukan golongan nasionalis, yang bimbang penduduk Rohingya mengambil alih negeri itu, mengancam meneruskan tunjuk perasaan jika kerajaan tidak mengubah terminologi mereka. Demonstrasi serupa diadakan hujung minggu lalu di Rakhine dan satu lagi dijangka dilakukan di Yangon minggu depan.

"Kerajaan Aung San Suu Kyi mesti membuat kenyataan umum memberitahu kerajaan akan mendengar kehendak rakyat. "Kami membantu kerajaan, kami tidak menyebabkan masalah dan konflik," kata presiden Rangkaian Kebangsaan Myanmar, Win Ko Ko Latt. Kumpulan hak asasi manusia mengecam Myanmar kerana layanan buruk ke atas komuniti Rohingya. Kira-kira 1.5 juta penduduk Rohingya tinggal di negeri Rakhine dan dianggap pendatang haram, berhadapan sekatan pergerakan dan cuma dibenarkan menduduki kawasan tertentu yang kurang penjagaan kesihatan dan pendidikan. - AGENSI  sumber

No comments: