Monday, July 11, 2016

Saintis RUSIA Temui Katak Mutan Lut Sinar

MOSCOW 9 Julai – Saintis di Rusia menemukan spesies katak mutan yang mempunyai kulit lut sinar yang bukan sahaja menampakkan organ dalaman dan rangka malah degupan jantung haiwan itu. Mail Online melaporkan, kumpulan saintis berjaya menangkap sebanyak 60 ekor katak mutan itu di bandar Krasnouralsk yang terletak di wilayah Tyumen Oblast, tengah Rusia.

 Selain mempunyai kulit lut sinar, ada di antara katak itu mempunyai tambahan kaki atau ketumbuhan tidak normal. Ketua Zoologi Institut Sains Semulajadi Universiti Daerah Persekutuan Ural, Vladimir Vershinin berkata, katak lut sinar itu mengalami masalah pewarnaan kulit.

 “Matanya berwarna hitam dan organ dalaman dapat dilihat malah anda dapat melihat de­gupan jantung katak berkenaan,” katanya. Beliau turut mendakwa pencemaran alam sekitar menjadi punca berlakunya ‘gejala’ mutan tersebut. Vershinin menjelaskan, telur katak itu juga tidak mempunyai selaput untuk melindungi daripada persekitaran yang tercemar.

 “Kami menjalankan kajian berhampiran kawasan Krasnouralsk tetapi kami tidak pernah menemukan katak mutan sebelum ini,” katanya. Sementara itu, saintis kini sedang menjalankan ujian ke atas katak mutan itu bagi mengenal pasti punca kejadian. Namu, fenomena ganjil tersebut dipercayai berpunca akibat pencemaran dari sebuah kilang kimia terbiar di wilayah ber­kenaan. - sumber

No comments: