Tuesday, September 20, 2016

AMIN Gesa Tingkatkan Usaha Cegah Penyebaran Wahabi

KUALA LUMPUR: Gusar dengan kadar penyebaran fahaman Wahabi yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia, Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) menggesa agensi-agensi kerajaan untuk mengambil langkah pencegahan lebih tegas bagi menangani isu ini.

Pengerusi AMIN Sheikh Abd Kareem Said Khadaied berkata fahaman Wahabi boleh mengancam keselamatan negara kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat Islam selain merupakan pemangkin kepada gerakan militan ekstrim seperti Daish seperti yang telah didedahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini.

"Sewaktu Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang diadakan pada tahun 2015, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin telah berkata fahaman Wahabi tidak sesuai diamalkan di Malaysia.

"Kami mendesak agar pihak Kementerian Dalam Negeri dan jabatan agama negeri mengharamkan ceramah-ceramah dari penceramah berpegangan Wahabi dan membuat kajian terperinci bagi menyenaraikan serta membetulkan segala bentuk penyelewangan yang tersasar dari fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.

"Mereka juga harus mengharamkan kitab-kitab karangan mereka dari  penerbitan, penjualan dan edaran," katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Tambah beliau, hanya lima peratus dari penganut Islam seluruh dunia adalah berfahaman Wahabi dan selebihnya mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah atau Syiah.

Fahaman Wahabi sudah menyelinap

Jelasnya fahaman Wahabi sudah berjaya menyelinap masuk dalam pimpinan kerajaan termasuk di jabatan-jabatan kerajaan dan agama, pejabat-pejabat Mufti dan individu-individu berpengaruh serata negara.

Ini membolehkan mereka untuk mengubah polisi dan membawa masuk ajaran Wahabi ke dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Islam, termasuk dalam buku teks yang digunakan pelajar-pelajar Islam di sekolah.

"Kami mendesak supaya Kementerian Pendidikan mengambil apa jua langkah yang wajar bagi memperbetulkan kembali silibus pelajaran akidah yang kini menggunakan pendekatan 'Tauhid Tiga Serangkai' yang masih diajar di sekolah-sekolah arus perdana dan pusat pendidikan swasta.

"Kami juga menyeru semua pihak untuk mengambil apa jua inisiatif dan pendekatan lain yang boleh membantu terutama generasi muda dalam negara yang semakin keliru," katanya.

Setakat ini, Abd Kareem berkata hanya enam negeri sahaja telah mengambil pendirian tegas dalam isu ini dan mengeluarkan larangan atau sekatan penyebaran fahaman Wahabi termasuklah Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah dan Pahang.

Perkara ini menyukarkan usaha untuk membanteras masalah kekeliruan dikalangan masyarakat Islam dalam negara.

"Kami tidak rela negeri-negeri dalam Nusantara ini menjadi porak peranda seperti Syria, Yaman, Mesir dan Iraq.

"Dalam fahaman Wahabi, mereka membenarkan pertumpahan darah sebab itu kita lihat Timur Tengah (Asia Barat) begitu porak peranda," katanya.

Gabungan AMIN juga berkata mereka menolak sepenuhnya sebarang usaha penyebaran fahaman Wahabi dalam negara yang ditanggung dan dibantu oleh kerajaan atau pihak luar.

Menurut Abd Kareem, golongan ini dibantu pemimpin-pemimpin Islam dalam negara yang sudah terpengaruh dengan fahaman tersebut.
"Pada saya tidak perlulah mufti sesetengah negeri pergi ke sana sini menuduh orang lain bidaah. Mufti dan ulama di negeri lain boleh berfikir yang baik dan buruk sendiri.

"Sebab itu kami juga merafak sembah kepada Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu untuk mencemar duli dalam memainkan peranan lebih aktif dalam mencegah penyebaran ini," katanya.

Jawatankuasa memantau ditubuhkan

Jelasnya Gabungan AMIN yang terdiri daripada 105 pertubuhan Islam seluruh negara juga bakal menubuhkan sebuah jawatankuasa yang akan memantau sebarang aktiviti penyebaran fahaman Wahabi di Malaysia.

Gabungan AMIN menandatangani memorandum kesepakatan berkenaan isu penyebaran ajaran Wahabi dan memorandum ini akan dihantar ke pejabat-pejabat agama, pejabat Mufti dan pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

No comments: