Friday, September 16, 2016

Duta BRITAIN Peluk Islam, Tunai Haji

MEKAH 15 Sept. – Duta Britain ke Arab Saudi, Simon Paul Collis menarik perhatian ramai apabila menjadi antara 19,000 jemaah warga Britain yang mengerjakan ibadah haji tahun ini bersama-sama isterinya, Huda Mujarkech. Dalam kalangan diplomat dan media, ramai yang menge­tahui beliau sudah memeluk Islam, namun tiada sebarang pengesahan dibuat oleh duta berkenaan.



Menurut laporan Arab News, Collis bagaimanapun tampil membuat pengakuan tersebut melalui akaun Twitter miliknya kelmarin. Beliau juga memuat naik sekeping gambar memakai ihram bersama isterinya. Walaupun Collis menolak permintaan media untuk ditemu bual, namun beliau menulis dalam Twitter:

“Saya telah memeluk Islam dan sudah bercampur dalam masyarakat Islam selama 30 tahun, dan sebelum berkahwin dengan Huda.” Collis telah berkhidmat sebagai Duta Britain ke Arab Saudi sejak Januari tahun lalu apabila Sir John Jenkins bersara daripada perkhidmatan diplomatik. Sementara itu, akaun Twitter milik Collis dihujani ucapan tahniah daripada pelbagai komuniti Islam termasuk kerabat diraja Arab Saudi iaitu Puteri Basmah binti Saud. Ketua Pegawai Eksekutif Maj­lis Haji Britain, Rashid Mogradia turut mengucapkan tahniah kepada Collis.

“Kami berharap beliau dapat berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada kita semua,” kata Rashid. Collis fasih berbahasa Arab dan menyertai Pejabat Luar Negeri dan Komanwel Britain (FCO) pada 1978.

Bapa kepada lima orang anak itu pernah bertugas di Bahrain sebagai Setiausaha Kedua antara 1981 dan 1984 selain Setia­usaha Pertama di Kedutaan Britain di New Delhi dan Konsul Jeneral di Dubai serta Basra. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Duta Britain ke Qatar (2005-2007); Syria (2007-2012) dan Iraq (2012-2014).sumber

No comments: