Friday, September 9, 2016

Hubungan Tarekat Tasawuf dengan Syiah?

Seorang sahabat meminta sahaya menonton sebuah rakaman kuliah seorang yang bernama Maulana Asri di https://www.youtube.com/watch?v=1_82_gvjexU yang bertajuk “Maulana Asri : Mengapa Sanad Tarikat Mesti Melalui Saidina Ali ra & Hasan al-Basri?” dan meminta komentar sahaya. Sahaya pun menontonlah rakaman tersebut. Ternyata ada beberapa kesalahan maklumat yang mesti diperbetulkan semula oleh sesiapa sahaja yang terlibat dengan video ini.


MAKLUMAT YANG DIMAKSUDKAN

Kata Maulana Asri (pengkuliah tersebut) dalam rakaman video itu :

“Tariqat-tariqat ini, kalau mengikut ahli tariqat, dia (yakni mereka) kata SEMUA SANAD (tariqat) sampai kepada Saiyidina Ali. SEMUA kena melalui Saiyidina Ali.”

“Kalau mengikut ahli-ahli tarikat, ahli-ahli tasawuf, mesti (sanad) dia (yakni mereka) kena lalu ikut Saiyidina Ali. TIDAK ADA JALAN LAIN!”

“Jadi hak (ilmu tasawuf dan tariqat yang) Rasulullah saw ajar, sebab apa dia (Rasulullah saw) tidak ajar orang lain (tapi) ajar Saiyidina Ali (sahaja)? Sebab apa? Tak layak belakakah (sahabat-sahabat Nabi saw yang lain itu)?

“Pengaruh Syiahlah tu! Itulah orang panggil pengaruh Syiah dalam tasawuf dalam tariqat.”

“Sebab dia MESTI (melalui) Saiyidina Ali.”

“Sebab apa (dalam) seramai-ramai sahabat (Nabi) ni, tak layak nak diberi kepada orang lain? Yang sehingga dia (yakni mereka) kata mesti melalui Saiyidina Ali tu sebab apa?”

“Lepas tu, KEBANYAKAN dalam sanad-sanad itu, ADA SEBAHAGIAN daripada Imam 12 Syiah. Boleh dikatakan SEMUA TARIQAT ni ada.”


PENJELASAN KITA

Baiklah. Mula-mula kita senaraikan Imam 12 terlebih dahulu :

1. Saiyidina Ali bin Abi Talib
2. Saiyidina Hasan bin Ali
3. Saiyidina Husain bin Ali
4. Ali in Husain
5. Muhammad Al-Baqir
6. Ja’far Sodiq
7. Musa al-Kazim
8. Ali ar-Ridha
9. Muhammad al-Jawad
10. Ali al-Hadi
11. Hasan al-Askari
12. Al-Mahdi

Sekarang mari kita semak, betulkah ajaran-ajaran Maulana Asri yang di atas tadi?


HUJAHAN PERTAMA : SANAD TARIQAT AN-NAQSYABANDIYYAH

Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq kepada
Salman al-Farisi kepada
Qasim bin Muhammad kepada
Ja’far Sodiq kepada
Musa Al-Kazim kepada
Ali Ridho kepada
Ma’ruf al-Karkhi kepada
Abu Yazid al-Bustami kepada
Muhammad Al-Maghribi kepada
Abu Yazid al-Isyqi kepada
Abu Mudhafir At-Tusi kepada
Ali bin Abu Ja’far al-Karqani kepada
Abu Ali al-Farmadhi kepada
Yusuf al-Hamadani kepada
Abdul Khaliq al-Fajduwani kepada
Ar-Riyukiri dan seterusnya.
Tidak ada nama Saiyidina Ali dalam sanad ini.

Nampaknya sanad tariqat memang ada melalui sahabat lain. Contohnya dalam sanad ini ialah Abu Bakar as-Siddiq dan Salman al-Farisi. Bukan mesti melalui Saiyidina Ali.

Nampaknya sanad tariqat memang ada melalui sahabat lain. Contohnya dalam sanad ini ialah Abu Bakar as-Siddiq dan Salman al-Farisi. Bukan mesti melalui Saiyidina Ali.

Imam 12 dalam sanad ini hanya Ja’far Sodiq, Musa Al-Kazim dan Ali Ridho. Dengan adanya tiga nama ini maka sahihlah tariqat ini dipengaruhi Syiah?



HUJAHAN KEDUA : SANAD TARIQAT AL-JUNAIDIYYAH

Tariqat Junaidiyyah mempunyai dua jalan sanad. Salah satu sanadnya ialah :

Daripada Rasulullah saw kepada
Abu Zar al-Ghifari kepada
Malik bin Umairah kepada
Hasan bin Hasan kepada
Abu Sulaiman bin Dawud kepada
Ma’ruf al-Karkhi kepada
Sirri as-Saqti kepada
Junaid al-Baghdadi kepada
Asy-Syibli kepada
Anas Rabazi kepada
Al-Qusyairi dan seterusnya.

Ada nama Saiyidina Ali pada sanad itu? Tidak ada!

Jadi, benarkah semua sanad tariqat mesti melalui Saiyidina Ali dan tidak ada jalan lain?

Abu Zar al-Ghifari itu bukan sahabat Nabikah?

Mana dia sebahagian Imam 12 yang didakwa oleh Maulana Asri? Seorang pun tidak ada!


Kemudian kita semak satu lagi sanad Tariqat al-Junaidiyyah iaitu :

Daripada Rasulullah saw kepada
Ali bin Abi Talib kepada
Hasan al-Basri kepada
Habib Al-Ajami kepada
Abu Sulaiman bin Dawud kepada
Ma’ruf al-Karkhi kepada
Sirri as-Saqti kepada
Junaid al-Baghdadi kepada
Asy-Syibli kepada
Anas Rabazi kepada
Al-Qusyairi dan seterusnya.

Ya, yang ini ada nama Saiyidina Ali. Tapi ini bukan bukti bahawa semua sanad tariqat mesti melalui Saiyidina Ali kerana telah terbukti memang ada tariqat-tariqat yang tidak melalui Saiyidina Ali pun.

Selain Saiyidina Ali, mana dia lagi Imam 12? Kata Maulana Asri, ada SEBAHAGIAN Imam 12, tapi nampaknya yang ada hanya Saiyidina Ali seorang sahaja.


HUJAHAN KETIGA : SANAD TARIQAT AL-GHAZALIYYAH

Daripada Rasulullah saw kepada
Huzaifah al-Yaman kepada
Hasan al-Basri kepada
Habib al-Ajami kepada
Daud at-Ta’i kepada
Ma’ruf al-Karkhi kepada
Siri as-Saqti kepada
Junaid al-Baghdadi kepada
Abu Sa’id al-’Arabi kepada
Abu Talib al-Makki dan seterusnya.

Seorang pun daripada Imam 12 tidak berada dalam sanad ini. Jadi, benarkah perkataan-perkataan Maulana Asri itu?

Boleh tunjukkan mana dia nama Saiyidina Ali?

Boleh tunjukkan mana dia nama walau satu orang Imam 12? Kan katanya ada SEBAHAGIAN?

Huzaifah al-Yaman bukan sahabat Nabikah?

Sanad Tariqat Al-Ghazaliyyah tidak melalui Saiyidina Ali tetapi melalui Huzaifah Al-Yaman. Mengapa Maulana Asri mendakwa bahawa semua sanad tariqat MESTI melalui Saiyidina Ali (untuk dikaitkannya dengan fahaman Syiah)? Cuba fikir-fikirkan dengan hati ikhlas.


RUMUSAN

Ajaran yang mengatakan : “Tariqat-tariqat ini, kalau mengikut ahli tariqat, dia (yakni mereka) kata SEMUA SANAD (tariqat) sampai kepada Saiyidina Ali. SEMUA kena melalui Saiyidina Ali.”
Ajaran yang mengatakan : ““Kalau mengikut ahli-ahli tarikat, ahli-ahli tasawuf, mesti (sanad) dia (yakni mereka) kena lalu ikut Saiyidina Ali. TIDAK ADA JALAN LAIN!”

Ajaran ini tertolak kerana ternyata tidak semua sanad tariqat sampai kepada Saiyidina Ali dan tidak melalui Saiyidina Ali. Buktinya, ada sanad tariqat yang sampai dan melalui selain Saiyidina Ali iaitu Saiyidina Abu Bakar, Abu Zar Al-Ghifari dan Huzaifah Al-Yaman. Mereka semua sahabat Nabi saw.


Ajaran yang mengatakan : “Jadi hak (ilmu tasawuf dan tariqat yang) Rasulullah saw ajar, sebab apa dia (Rasulullah saw) tidak ajar orang lain (tapi) ajar Saiyidina Ali (sahaja)? Sebab apa? Tak layak belakakah (sahabat-sahabat Nabi saw yang lain itu)?”
Dan ajaran yang mengatakan : ““Sebab apa (dalam) seramai-ramai sahabat (Nabi) ni, tak layak nak diberi kepada orang lain? Yang sehingga dia (yakni mereka) kata mesti melalui Saiyidina Ali tu sebab apa?”

Ajaran ini juga tertolak kerana ada sanad-sanad tariqat yang melalui sahabat-sahabat Nabi saw yang lain seperti Saiyidina Abu Bakar, Salman Al-Farisi, Abu Zar Al-Ghifari dan Huzaifah al-Yaman.


Ajaran yang mengatakan : “Lepas tu, KEBANYAKAN dalam sanad-sanad itu, ADA SEBAHAGIAN daripada Imam 12 Syiah. Boleh dikatakan SEMUA TARIQAT ni ada.”

Ajaran ini juga turut tertolak kerana ternyata dalam 4 sanad yang kita bentangkan di atas tidak ada SEBAHAGIAN IMAM 12 padanya.

Sahaya juga ambil sedikit kesempatan untuk menyemak beberapa lagi sanad tariqat-tariqat yang utama seperti sanad Tariqat Syaziliyyah, Tariqat Ahmadiyyah Idrisiyyah, Tariqat Chistiyyah, Sammaniyyah, Tariqat Tijaniyyah dan beberapa lagi. Ternyata tidak benar dakwaan kononnya : “KEBANYAKAN dalam sanad-sanad itu, ADA SEBAHAGIAN daripada Imam 12 Syiah. Boleh dikatakan SEMUA TARIQAT ni ada.”

Paling-paling kuat pun, jika sekadar mengatakan contohnya : “SEGELINTIR sanad-sanad tariqat mempunyai sebahagian Imam 12.”

Kata-kata sebegini kot-kotlah boleh hendak dipertimbangkan.

Namun begitu, oleh kerana ada nama Saiyidina Ali, Hasan, Husin, Ja’far Sodiq.... maka itu menjadi bukti kukuh lagi sahih untuk mengatakannya sebagai pengaruh Syiah? Tahap dhaif pun belum tentu lepas lagi jika sekadar bukti sebegini.


Nasihat kita, silalah perbetulkan apa yang boleh dan yang sepatutnya diperbetulkan semula.

Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar
1 September 2016


sumber

No comments: