Friday, September 9, 2016

Johor - Rumah 76 Keluarga Dipukul Ribut

JOHOR BAHRU 9 Sept. - Malang bagi 76 keluarga yang bakal menyambut Hari Raya Aidiladha, Isnin ini apabila rumah mereka rosak teruk akibat dipukul ribut di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, dekat sini hari ini. Ribut diikuti puting beliung yang dipercayai berlaku selepas solat Jumaat kira-kira pukul 2.15 petang menyebabkan sebahagian bumbung dan dinding rumah penduduk diterbangkan angin kuat.

 Seorang penduduk, Muhamad Azwan Mohd. Warsaw, 23, berkata, ketika kejadian, dia bersama saudara-mara mentuanya sedang melakukan persiapan majlis perkahwinannya yang akan berlangsung esok. “Sebelum ribut, saudara-mara saya sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis kahwin saya pada keesokan hari. Turut diadakan pada ketika itu majlis tahlil buat arwah bapa mentua saya.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba, angin begitu kuat sehingga menyebabkan bumbung dan khemah di luar rumah kami berterbangan. Saya lega kerana semua ahli keluarga sempat masuk ke dalam rumah. “Ribut berlaku kira-kira tujuh minit sahaja. Selepas seorang daripada ahli keluarga melaungkan azan, ribut terus reda,” katanya ketika ditemui. Muhamad Azwan bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan melibatkan nyawa ahli keluarganya biarpun persiapan majlis perkahwinannya yang sedang diadakan itu sedikit terbantut. “Biarpun sedikit sedih dengan kejadian ini, bagaimanapun saya reda. Saya juga lega kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku membabitkan ahli keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Pasir Putih, Bachok Nohang berkata, setakat pukul 6 petang ini, seramai 49 buah keluarga sudah melaporkan kerosakan rumah mereka melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). “Kami melalui JKKK sudah melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan seterusnya termasuk penyaluran bantuan. “Kami juga menyeru kepada mangsa agar tampil membuat laporan polis secepat mungkin mengenai kerosakan rumah supaya urusan sumbangan yang akan disalurkan nanti berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan memberitahu, keseluruhannya sebanyak 395 mangsa terlibat dalam kejadian itu. Menurut kenyataan tersebut lagi, mereka kini ditempatkan di Dewan Kampung Pasir Putih untuk sementara waktu sebelum menunggu rumah mereka dibaik pulih. - UTUSAN ONLINE - sumber

No comments: