Tuesday, September 27, 2016

Muhyiddin Jadi PM Jika Pembangkang Menang?

PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilantik menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tapi pada masa ini kita belum buat keputusan, kecuali jika pembangkang menang, besar kemungkinan Perdana Menteri adalah Muhyiddin.

"Tetapi ia bergantung kepada parti dan ia juga bergantung kepada rakan pakatan yang lain mengenai siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri," katanya menerusi satu ceramah di London minggu lalu.

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan mengenainya tidak akan dibuat sekarang kerana "sesetengah orang akan kecewa dan akan menyebabkan parti berpecah".

Dr Mahathir juga bercakap mengenai kuasa bakal Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14.

"Perdana Menteri masa depan tidak akan terlalu bebas kerana dalam parti baharu (PPBM), kita mempunyai bukan sahaja presiden tetapi juga pengerusi," katanya.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PPBM berkata, pengerusi parti itu perlu berunding mengenai urusan kerajaan untuk memastikan bahawa Perdana Menteri tidak membuat keputusan dengan sendiri.

"Sudah tentu beliau mempunyai kabinet. Tetapi kabinet kadang-kadang menjadi terlalu patuh kepada Perdana Menteri kerana beliau melantik mereka, (maka) mereka tidak akan menentang.

"Parti baru (PPBM), kami memastikan kuasa presiden akan tertakluk kepada perjanjian dengan sekumpulan AJK di dalam parti," katanya. sumber

No comments: