Thursday, September 22, 2016

Serangan Udara Aleppo Berterusan

BEIRUT 21 Sept. - Seramai empat pegawai per­ubatan Kesatuan Pertubuhan Bantuan dan Rawatan Per­ubatan (UOSSM) terbunuh dalam serangan udara di Khan Touman, barat daya Aleppo hari ini, sehari selepas 20 anggota konvoi bantuan kemanusiaan terkorban akibat serangan udara di Orum al-Khubra, utara Aleppo.

Serangan udara dipercayai dilancarkan oleh pesawat pejuang Rusia atau Syria itu turut menyebabkan seorang jururawat cedera parah dan mengorbankan sembilan anggota kumpulan penentang Jaish al-Fatah.

 Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, sera­ngan itu mengenai sebuah klinik di kawasan berkenaan ketika keempat-empat pegawai per­ubatan itu berada dalam dua buah ambulans di klinik ber­kenaan untuk membawa beberapa pesakit yang memerlukan rawatan pakar. Serangan berkenaan menyasarkan bandar Khan Touman yang dikuasai kumpulan penentang dan UOSSM mengesahkan keempat-empat kakitangannya terbunuh dalam serangan tersebut.

Dalam pada itu, Rusia me­negaskan pesawat pengebom miliknya atau Syria tidak terlibat dalam serangan udara di Orum al-Khubra, semalam. Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov dalam satu kenyataan yang di­siarkan agensi berita Rusia, menafikan penglibatan pihaknya selain menegaskan tiada sebarang senjata api yang mengenai konvoi berkenaan selepas meneliti rakaman video kejadian itu.

“Kami telah meneliti rakaman video kejadian yang diserahkan oleh kumpulan aktivis dan mendapati tiada tanda-tanda sebarang senjata api yang mengenai konvoi,” katanya. Menurut beliau, semua rakaman itu menunjukkan trak-trak yang terbakar dan bermula de­ngan cara yang pelik iaitu serentak dengan serangan anggota kumpulan penentang di Aleppo.

 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menangguhkan semua konvoi bantuan ke Syria berikutan serangan tersebut yang disifatkan menjurus kepada jenayah perang. Seorang anggota penyelamat, Hussein Badawi yang menyaksikan serangan terhadap konvoi itu berkata, lebih 20 peluru berpandu membedil kawasan berkenaan selama beberapa jam malah turut mengenai kumpulannya yang sedang mencari mangsa yang terselamat.

 Hussein yang mengetuai kumpulan White Helmet di Orum al-Khubra mendakwa serangan tersebut dilancarkan oleh pesawat pejuang Syria termasuk Rusia. – AGENSI sumber

No comments: