Thursday, October 13, 2016

Kanak2 XINJIANG Dilarang Sertai Aktiviti Agama

BEIJING 12 Okt. – China sekali lagi mendiskriminasi penduduk Islam di wilayah Xinjiang apabila bakal mengenakan tindakan terhadap ibu bapa dan penjaga yang menggalakkan serta memaksa anak-anak mereka menyertai aktiviti keagamaan.

 Menurut laporan Xinjiang Daily, peraturan pendidikan baharu yang dikuatkuasakan pada 1 November ini menyatakan, ibu bapa atau penjaga tidak boleh memaksa kanak-kanak bawah umur daripada menghadiri aktiviti keagamaan. Tambah akhbar berkenaan, ibu bapa tidak seharusnya menggalakkan kepercayaan kumpulan pelampau dalam diri kanak-kanak seperti memaksa mereka berpakaian seakan-akan anggota kumpulan tersebut atau menggunakan simbol lain.

 “Mana-mana kumpulan atau individu mempunyai hak untuk menghentikan tingkah laku seperti itu dan melaporkan kepada pihak berkuasa keselamatan awam,” jelas kerajaan dalam kenyataan berhubung undang-undang baharu tersebut. Peraturan itu juga mengharam­kan sebarang bentuk aktiviti keagamaan di semua sekolah di Xinjiang.

Selain itu menurut pihak berkuasa, ibu bapa yang tidak mampu membimbing anak-anak mereka menjauhi ajaran kumpulan pelampau atau pengganas, boleh memohon anak-anak dihantar ke sekolah khas bagi ‘menjalani pemulihan’. Ini berikutan, sekolah perlu menjadi medan membimbing pelajar jauh dari ajaran pemisah dan pelampau bagi mewujudkan persekitaran yang menerapkan sains, mencari kebenaran, meni­dakkan kejahilan dan menentang kepercayaan karut.

 Beratus-ratus orang dilaporkan maut sejak beberapa tahun ke­belakangan ini di Xinjiang dalam pergolakan yang menyebabkan Beijing menyalahkan kumpulan militan serta pemisah, walaupun kumpulan hak asasi manusia menyatakan keganasan tersebut tercetus susulan reaksi terhadap dasar China yang berat sebelah. Kerajaan begitu kuat menafikan pihaknya menindas penduduk Uighur di Xinjiang dan menegaskan undang-undang, budaya dan hak beragama etnik itu dilindungi sepenuhnya. Pihak berkuasa juga menutup beberapa buah sekolah agama persendirian atau madrasah di Xinjiang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – REUTERS sumber

No comments: