Sunday, November 27, 2016

Api di Israel Terus Marak

TEL AVIV 26 Nov. – Kebakaran hutan di Israel dilaporkan bertambah buruk apabila api merebak ke lebih banyak kawasan, menyebabkan keadaan semakin sukar dikawal walaupun sudah menerima pelbagai bantuan antarabangsa. Kapal terbang, trak serta anggota bomba telah diterbangkan dari negara-negara Eropah, Arab dan Amerika Syarikat (AS) namun masih gagal membantu memadamkan kebakaran yang sudah memasuki hari keempat.

 Anggota bomba tempatan turut mengaku keletihan selepas bertarung untuk memadamkan api yang merebak dengan cepat ekoran cuaca kering dan angin kencang. Awal pagi ini, pasukan keselamatan mengesahkan tiga penduduk parah selepas api yang marak memusnahkan sebuah bangunan di kawasan penempatan Israel di Tebing Barat.

Israel Radio pula melaporkan, beberapa penduduk cedera ekoran kebakaran besar di bandar Maale Adumim, tujuh kilometer berhampiran perkampungan penduduk Pa­lestin di Baitulmaqdis. Menurut portal berita Ynet, lebih 200 keluarga kehilangan tempat tinggal apabila beratus-ratus buah rumah hangus terbakar di bandar Haifa di utara Israel.

Keadaan itu mendorong anggota bomba Palestin menyertai pasukan bantuan dengan menghantar empat jentera ke utara bandar Haifa dan empat lagi ke kampung Beit Meir, berhampiran Baitulmaqdis.

 Pihak berkuasa Israel telah menahan 22 orang atas tuduhan mencetuskan kebakaran dengan beberapa menteri cuba menuding jari ke arah nasionalis Arab yang kononnya menjadi dalang kejadian itu. – DPA - sumber

No comments: