Saturday, November 26, 2016

Tanah Runtuh di Hulu Selangor

HULU SELANGOR 26 Nov. - Pihak polis mengisytiharkan kawasan tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah di sini sebagai kawasan larangan Zon Merah. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintenden R. Supramaniam berkata, sehubungan itu pihaknya telah mengarahkan 340 penduduk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Serendah.

"Kesemua mereka diarahkan berpindah sebelum pukul 1.45 petang ini. Setakat pukul 11.45 pagi tadi, hanya 10 peratus penduduk yang berpindah. Kami minta kerjasama penduduk agar akur dengan arahan ini demi keselamatan mereka.

"Di sekolah ini, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memainkan peranan menyediakan makanan untuk mereka. Penduduk akan ditempatkan di sekolah ini sehingga proses baik pulih selesai," katanyadi lokasi kejadian.

Menurut Supramaniam, sebanyak 64 unit rumah terjejas dalam insiden tanah runtuh itu yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi tadi.Beliau berkata, penduduk tidak perlu merasa khuatir kerana anggota polis akan ditempatkan bagi mengawal kediaman mereka yang ditinggalkan. Orang ramai juga tidak dibenarkan berada di kawasan kejadian yang merangkumi radius seluas 600 meter itu, katanya. Satu lencongan jalan baharu akan dibina segera untuk kegunaan penduduk, tambahnya.

 Supramaniam berkata, siasatan mendapati runtuhan tanah itu berpunca daripada pengaliran air bawah tanah yang deras. Kejadian tanah runtuh itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal yang dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, cedera dipercayai mengalami patah tangan dan kaki dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.- BERNAMA sumber

No comments: