Wednesday, December 7, 2016

Banjir Selatan THAI, 11 Maut

BANGKOK 5 Dis. – Banjir besar yang melumpuhkan 11 buah wilayah di selatan Thailand, me­ragut sekurang-kurangnya 11 nyawa sejak bermula Khamis lalu, manakala dua lagi dilaporkan hilang semalam. Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengawalan Bencana (DDPM), Chatchai Phromlert memaklumkan, dua lagi mangsa dilaporkan cedera selepas dihanyutkan arus deras di Surat Thani. Jelas beliau, daripada 11 kematian, tiga berlaku di Nakhon Si Thammarat dan masing-ma­sing dua korban di Surat Thani, Songkhla, Phatthalung dan Pattani.

 Tambah Chatchai seperti yang dilaporkan portal Bangkok Post, wilayah lain yang terjejas akibat banjir adalah Chumphon, Krabi, Trang, Yala dan Narathiwat, ke­seluruhannya membabitkan le­bih 366,000 penduduk di 68 daerah. Hujan berterusan berlaku semalam di kebanyakan wilayah terjejas, memaksa perkhidmatan kereta api di empat laluan tergendala.

 Sejumlah 2,400 hektar kawasan pertanian turut musnah selain beberapa kejadian tanah runtuh dilaporkan di beberapa kawasan. Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha telah mengarahkan agensi-agensi kerajaan tempatan menyelaras usaha bantuan bagi membantu mangsa banjir de­ngan berkesan. Kerajaan juga telah mengarahkan semua pusat pencegahan bencana memantau keadaan dan pasukan mencari dan menyelamat pula diminta sentiasa bersiap siaga sekiranya diperlukan. – BERNAMA -  sumber

No comments: