Thursday, December 1, 2016

Minyak Sawit "Berdarah"

Jakarta 30 Nov. - Produk berasaskan minyak kepala sawit yang dijual oleh syarikat multi nasional hari ini didakwa menggunakan minyak sawit daripada ladang-ladang kelapa sawit yang menindas pekerjanya. Menurut Amnesty Internatio­nal, selain mengabaikan hak pekerja, ia juga melibatkan penggunaan buruh kanak-kanak dan bahan kimia berbahaya. Selain dijadikan minyak masak, minyak sawit adalah bahan utama dalam penghasilan produk-produk kegunaan ha­rian daripada biskut sehinggalah syam­pu, alat solek dan permintaan yang tinggi dalam industri itu memboleh­kan Indonesia muncul sebagai pengeluar utama dunia.

Bagaimanapun, Amnesty da­lam laporannya mendakwa, la­dang-ladang kelapa sawit di Indonesia yang minyak sawitnya dibekalkan ke sembilan buah syarikat utama dunia termasuk Kellogg, Colgate-Palmolive dan Unilever, telah melakukan pelbagai penganiayaan. Menurut Amnesty, dakwaan itu berdasarkan maklumat daripada 120 pekerja ladang-ladang milik dua buah anak syarikat agrotani berpusat di Singapura, iaitu Wilmar International dan tiga pembekal Wilmar di Pulau Sumatera dan di Kalimantan.

 “Syarikat-syarikat multinasi­onal ini menutup mata kepada eksploitasi hak pekerja yang berlaku dalam rantaian perbekalan mereka,” dakwa Penyiasat Kanan di Amnesty International, Meghna Abraham, “Pengeluar jenama terkemuka terus meraih keuntungan daripada penyalahgunaan hak ini. Penemuan ini akan mengejutkan pengguna yang berfikir bahawa mereka membuat pilihan yang beretika di pasar raya apabila membeli produk yang didakwa dihasilkan secara mampan.”

Antara penindasan yang dilakukan kata Amnesty, kanak-kanak berusia seawal lapan tahun melakukan kerja berbahaya di ladang-ladang dan wanita terpaksa bekerja keras bagi tempoh masa yang panjang tetapi gajinya dibayar di bawah paras minimum. Para pekerja juga terdedah kepada paraquat, sejenis bahan ki­mia toksik yang digunakan sebagai racun perosak, asap pembakaran hutan dan juga terpaksa bekerja berjam-jam lamanya untuk mencapai sasaran kerja yang tidak masuk akal, kata Amnesty.

 Industri minyak sawit berkali-kali sebelum ini didakwa gagal untuk melindungi hak pekerja dan memusnahkan hutan yang dilin­dungi untuk tujuan perladangan, sehingga menyebabkan banyak syarikat berjanji untuk menambah baik keadaan bekerja dan menghentikan penerbangan hutan. Wilmar dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengiktiraf dan menghormati hak kesemua pekerjanya dan mengalu-alukan laporan Amnesty.

Syarikat itu berkata, pihak­nya menghargai usaha mengete­ngahkan isu buruh dalam industri minyak sawit terutamanya di Indonesia dan menambah pihaknya menyiasat dakwaan itu dan akan bertindak menanganinya. Syarikat-syarikat multi nasional menyatakan perhatian mereka terhadap isu berkenaan dengan Unilever berjanji untuk memainkan peranan utama untuk mendepani cabaran itu. – AFP -  sumber

No comments: