Orang Rohingya dibunuh kerana kaum atau etniknya. Mereka dianggap tidak wujud. Kerajaan Myanmar tidak mahu mengiktiraf adanya orang Rohingya. Mereka dianggap sebagai pendatang Bangla yang tidak bernegara. Mereka bukan saja dihalau tetapi dibunuh, dibakar dan dirogol. Pihak tentera menghalang liputan wartawan ke wilayah Rakhine di mana berlaku genosid itu dan maklumat mengenainya sukar untuk diketahui. Namun gambar-gambar yang dikeluarkan oleh agensi pemantau hak asasi manusia, Human Rights Watch, antaranya melalui satelit sukar untuk dinafikan.

Tetapi Suu Kyi enggan menyifatkan pembunuhan yang, berlaku ke atas kaum Rohingya itu sebagai genosid. Pemimpin de facto Myanmar itu malah tidak pun menyebut nama Rohingya dalam ucapannya di sebuah forum perniagaan di Singapura dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke republik itu. Inilah pertama kali beliau bercakap yang isinya boleh dikaitkan dengan masalah Rohingya. Selama ini beliau membisu seribu bahasa. Tetapi apabila beliau bersuara, ia menghampakan banyak penyokong perjuangan pro-demokrasi beliau di seluruh dunia.

Suu Kyi hanya berkata bahawa perdamaian dan pemulihan hubungan baik dalam Myanmar adalah penting baginya. Pemulihan hubungan baik atau rekonsiliasi merujuk kepada pengakhiran perseteruan pelbagai pihak bukan saja antara kaum, malah dalam bentuk lain. Apa yang difahamkan bahawa di Myanmar ialah antara pihak prodemokrasi dan golongan tentera.

Namun begitu, beliau menyatakan perkara ini dalam kerangka bahawa pelabur tidak akan mahu mencurahkan dana mereka masuk ke Myanmar jika negara itu tidak stabil. Maka apa yang dikatakan beliau adalah semata-mata kerana soal kepentingan ekonomi tanpa sedikit pun merujuk kepada nyawa orang Rohingya yang sedang terbang dalam suasana berlakunya genosid, iaitu kaum itu sedang dipupuskan.

Pihak agensi hak asasi manusia yang menyebut berlakunya genosid dan pempupusan etnik telah menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melakukan siasatan. Buat masa ini suruhanjaya penasihat Pertubuhan PBB diketuai oleh bekas Setiausaha Agungnya iaitu Kofi Annan. Lantikan beliau dibuat sendiri oleh Suu Kyi. Kofi Annan seperti juga Suu Kyi adalah juga pemenang Hadiah Nobel bagi Keamanan.

Kofi Annan meraih hadiah itu pada tahun 2001. Beliau adalah pemenang bersama dengan PBB sendiri. Kemenangan beliau adalah kerana kejayaannya menggagahkan semula PBB dengan komitmennya terhadap hak asasi manusia.

Suu Kyi pernah bekerja dengan PBB selama tiga tahun dan memperjuangkan demokrasi sejak kebangkitan rakyat Myanmar pada tahun 1988. Hanya pada tahun ini barulah parti pimpinannya Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) menubuhkan kerajaan di Myanmar. Tetapi sistem demokrasi di Myanmar walaupun diterima oleh dunia dan pejuang prodemokrasi NLD adalah sesuatu yang tidak normal. Ini kerana ia masih dikuasai secara besar oleh pihak tentera. Dalam parlimennya, telah ditetapkan bilangan tertentu untuk pihak tentera. Ia bukanlah demokrasi yang biasa diamalkan pada dunia hari ini. Namun keadaan ini dikompromi oleh dunia kerana ia diharapkan dapat menjamin kestabilan, keamanan dan pembaikan untuk masa depan.

Malah perlembagaan Myanmar yang sebelum ini digubal oleh pihak tentera tidak membenarkan Suu Kyi menjadi presiden walaupun beliau adalah pemimpin de facto negara itu. Maka beliau terpaksa berpuas hati bergerak sebagai Menteri Luar.

Kehadiran beliau di Singapura adalah atas tujuan mendapatkan pelaburan. Singapura pula merupakan negara yang paling banyak menanam modal di Myanmar. Bagaimanapun sejak Suu Kyi memegang kuasa, banyak negara Barat yang datang untuk melabur.

Kalau mengikut jadual, Suu Kyi sepatutnya mengadakan lawatan ke Indonesia selepas Singapura tetapi dibatalkan kerana kebimbangan terhadap kemarahan yang timbul oleh orang Islam di sana berhubung dengan genosid Rohingya itu. Kedutaan Myanmar di Jakarta juga terancam dengan serangan bom.

Dalam ucapannya di forum perniagaan itu, beliau menyatakan bahawa Myanmar telah melalui keadaan tidak stabil pada masa lalu tanpa sedikit pun menyebut mengenai isu Rohingya itu. Sebagai seorang yang mendokong demokrasi dan kuat berpegang pada agama Buddha Theravada tentunya beliau sedar mengenai kesengsaraan manusia dalam soal Rohingya. Ketika di bawah tahanan pihak tentera dahulu, beliau dilaporkan kuat melakukan meditasi dengan menekankan soal nilai kasih sayang pada manusia.

Namun ada sesuatu yang sukar beliau hadapi berhubung dengan orang Islam. Ketika diwawancara bila baru saja menjadi kerajaan, beliau berasa tidak selesa apabila mendapat tahu wartawan yang menemu bual itu beragama Islam.

Langkah beliau melantik Kofi Annan untuk mengetuai suruhanjaya untuk isu Rohingya itu menunjukkan pemimpin Myanmar itu sedar mengenai perkara itu. Namun tidak diketahui sikap peribadinya mengenai perkara itu atau kemungkinan beliau sedang berpolitik pragmatik kerana pihak tentera menganggap isu Rohingya adalah soal keselamatan dan integrasi nasional yang terletak dalam bidang kuasa mereka.

Isu Rohingya menjadi bertambah rumit kerana ia tidak segera diselesaikan dengan baik. Ini adalah kegagalan kerajaan-kerajaan tentera Myanmar sebelum ini sejak ia mencapai kemerdekaan pada tahun 1948. Sememangnya konflik di Myanmar adalah kompleks dan masalah mereka juga unik. Lebih-lebih lagi Myanmar berjiran dengan Bangladesh dan India. Tetapi negara-negara ASEAN juga memiliki masalah yang kritikal sejak selepas Perang Dunia Kedua berhubung dengan etnik, integrasi nasional dan kestabilan. Tetapi setelah 50 tahun lebih banyak perkara dapat diselesaikan. Tidak ada penduduk yang dihalau atau tidak diiktiraf kewarganegaraannya. Walaupun antara mereka adalah keturunan pendatang. Akhirnya semua diterima untuk berada dalam negara-negara ASEAN untuk hidup aman dan makmur. sumber