Wednesday, January 4, 2017

Gunting Tertinggal dalam Perut 18 Tahun

HANOI 3 Jan. – Sepasukan doktor di Vietnam berjaya mengeluarkan sebilah gunting bedah yang terbiar di bahagian perut seorang lelaki sejak 18 tahun lalu dalam satu pembedahan yang berlangsung selama tiga jam, baru-baru ini.

 Akhbar Tuoi Tre yang dipetik portal BBC melaporkan, pembedahan mengeluarkan gunting sepanjang 15 sentimeter itu berlangsung di sebuah hospital di wilayah Thai Nguyen, utara negara ini dengan dibantu oleh doktor pakar yang diterbangkan khas dari Hanoi. Pesakit berusia 54 tahun itu hanya menyedari kewujudan gunting berkenaan apabila menjalani ujian ultra bunyi di hospital selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, bulan lalu. Ujian itu menunjukkan terdapat perkakas tajam di perut kiri­nya dan pemeriksaan susulan me­ngesahkan kewujudan sebilah gunting bedah.

 Lelaki itu, Ma Van Nhat yang dipetik Vietnam Express berkata, gunting itu mungkin tertinggal se­masa dia menjalani pembedahan pada 1998 di Hospital Besar Bac Khan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Katanya, sejak pembedahan itu, dia tidak berasa apa-apa sehinggalah mengalami sakit perut luar biasa yang masih tidak sembuh walaupun selepas mengambil ubat tahan sakit.

Pakar bedah berkata, gunting berkenaan tersangkut pada beberapa organ berhampiran perut mangsa. Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengarahkan Hospital Besar Bac Kan membuat laporan bagi mengambil tindakan terha­dap pihak yang cuai sehingga perkara berkenaan boleh berlaku. Pengarah Hospital, Trinh Thi Luong berkata, beliau akan menyiapkan laporan itu namun doktor di pusat perubatan berkenaan jarang menyimpan rekod pesakit lebih daripada tempoh 15 tahun. Van Nhat masih perlu menjalani beberapa rawatan susulan bagi memastikan dia sembuh sepenuhnya.  sumber

No comments: