Monday, January 30, 2017

MYANMAR Putar Belit Kenyataan Mangsa Rogol

YANGON 29 Jan. – Media antarabangsa mempersoal integriti sebuah suruhanjaya yang menyiasat kes rogol melibatkan wanita etnik Rohingya selepas didapati cuba memutar belit ke­nyataan mangsa ketika menemu bual mereka. Menurut portal berita Asia Correspondent, Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi menubuhkan suruhanjaya tersebut untuk mendapatkan keterangan saksi tentang kejadian rogol yang berlaku di perkampungan etnik Rohingya.

Namun agensi berita antarabangsa, BBC World Service mendakwa, stesen penyiaran milik kerajaan itu telah menggunakan sari kata yang salah semasa menayangkan sesi temu bual dengan saksi kes terbabit. Stesen penyiaran tersebut dilaporkan turut memadam sebahagian daripada kenyataan sebenar saksi ketika ditanya sama ada pernah melihat sendiri kejadian seumpama itu. Wakil suruhanjaya siasatan dalam rakaman berkenaan juga dilihat sengaja mengelirukan saksi dan memaksa mereka memberikan jawapan tanpa mahu mendengar penjelasan yang diberikan.

Kerajaan Myanmar bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan operasi pembunuhan kejam untuk menangani pemberontakan yang dijalankan di kawasan perkampungan etnik minoriti itu tidak menyalahi undang-undang. Dalam pada itu wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee yang membuat lawatan ke negara itu awal bulan ini menegaskan bahawa rakaman memaparkan anggota polis Myanmar memukul penduduk Rohingya bukan kes terpencil, sebaliknya adalah amalan biasa pasukan berkenaan terhadap etnik minoriti itu. Lee turut berpendapat, sera­ngan terhadap pos kawalan sempadan pada Oktober tahun lalu adalah kesan daripada tindakan diskriminasi yang sudah berlanjutan selama lebih sedekad minoriti Islam di negara ini.

“Individu terdesak terpaksa mengambil tindakan terdesak,” jelasnya bagi menggambarkan punca kejadian yang tercetus di Rakhine. Beliau akan membentangkan laporannya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac ini termasuk pemerhatian dan cadangannya untuk menangai kekejaman terhadap etnik Ro­hingya kepada kerajaan Myanmar. sumber

No comments: