Friday, February 3, 2017

Kembar Berpegangan Tangan dalam Kandungan

LONDON 1 Feb. – Sepasang bayi kembar seiras mendapat perhatian ramai baru-baru ini selepas selamat dilahirkan ‘dengan penuh kebimbangan’ apabila tangan ke­dua-duanya saling berpegangan ketika berada dalam kandungan ibu.

Portal mirror.co.uk melaporkan, ibu pasangan kembar itu, Hayley Lampshire, dari Oxfordshire, mendedahkan anak kembarnya berkongsi kantung amniotik, tidak seperti kebiasaan iaitu seorang bayi berada dalam kantungnya sendiri. Menurut Lampshire, doktor memberi amaran, satu-satunya cara untuk mereka terus hidup semasa kehamilan adalah de­ngan tidak meninggalkan satu sama lain atau mungkin berdepan masalah tali pusat berpintal.

 Wanita berusia 27 tahun itu mengakui amat bimbang namun terkejut apabila melihat dua anak lelakinya itu kekal berpelukan dan berpegangan tangan setiap kali imbasan dilakukan. Malah Lampshire berkata, ketika pasangan kembar Rowan dan Blake dilahirkan menerusi pembedahan pada 25 Ogos tahun lalu, kedua-dua­nya masih tetap berpelukan.

“Disebabkan mereka berada di dalam kantung amniotik yang sama, tali pusatnya boleh berpintal jika mereka bergerak, sekali gus menghalang oksigen dan bekalan makanan. Jadi, mereka langsung tidak boleh berenggang. “Kami lega apabila mereka selamat dilahirkan dan kini dalam keadaan sangat baik. Saya dan suami pada mulanya amat takut, tetapi kami ingin berkongsi cerita ini untuk meyakinkan orang lain untuk tidak putus harapan,” jelasnya.  sumber

No comments: