Friday, February 3, 2017

Rundingan Damai SYRIA Ditangguh

WASHINGTON 1 Feb. – Rundingan damai yang diterajui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu Syria ditangguhkan sehingga 20 Februari ini bagi membolehkan gencatan senjata dilakukan dan masa diberikan kepada pihak pembangkang untuk mewujudkan sebuah barisan bersatu.

Rundingan ini dijadualkan bermula pada 8 Februari ini tetapi Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mengumumkan penangguhannya minggu lalu, tanpa memberikan alasan. Duta khas PBB ke Syria, Staffan de Mistura memberitahu, mesyua­rat tertutup Majlis Ke­selamatan yang memutuskan untuk menangguhkan rundingan itu dijangka dapat membantu meningkatkan persediaan supaya konflik di Syria dapat ditamatkan dengan segera.

 “Kita mahu memberi peluang kepada kedua-dua kerajaan supaya lebih serius dalam perbincangan ini dan pembangkang juga diberikan peluang untuk membentuk barisan bersatu,” kata de Mistura kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut. Minggu lalu, Rusia, Iran dan Turki mengadakan perbincangan di Astana, Kazakhstan dalam usa­ha untuk mengukuhkan usaha gencatan senjata di Syria, setelah menyaksikan lebih 10,000 nyawa terkorban setakat ini.

 “Jika gencatan senjata dipertahankan, kami harap ia akan dapat membantu rundingan ber­kenaan,” kata duta berkenaan. Ketika rundingan di Astana, Rusia yang mewakili kumpulan pembangkang Syria membentangkan draf Perlembagaan tetapi ditolak oleh Iran dan Turki. Ini kerana langkah hanya sebelah pihak yang cuba dilaksanakan oleh Rusia boleh mencetuskan kebimbangan di negara-negara Barat.

Dalam pada itu, kuasa-kuasa Barat mempersoalkan tujuan rundingan Astana sebelum ini dan bimbang perbincangan di Geneva bakal diketepikan begitu sahaja. “Amat penting jika ada sebarang pengesahan daripada PBB bahawa mereka yang akan mengetuai rundingan seterus­nya. PBB perlu menjadi tunjang utama dalam proses berkenaan,” kata Duta Perancis, Francois Delattre. – AFP  sumber

No comments: