Wednesday, May 31, 2017

Pulau Batu Tersusun Jadi Misteri



SETIU, 31 Mei — Jika ke Pulau Redang, pengunjung pastinya akan diperkenalkan dengan satu lagi lokasi “wajib kunjung” yang terletak berdekatan pulau itu iaitu Pulau Kerengga atau lebih dikenali sebagai Pulau Batu Tersusun.

Keunikan pulau kecil ini terletak pada susunan batu-batu pelbagai bentuk dan saiz secara menegak seperti dibuat oleh seseorang ibarat dalam sebuah taman. 


Namun sehingga kini tiada siapa yang tahu bagaimana batu-batu itu tersusun begitu rupa atau tiada siapa yang mengaku telah menyusunnya.

Untuk sampai ke pulau ini, pengunjung hanya perlu mangambil masa kira-kira 10 minit menaiki bot laju.

Seorang pengunjung setia pulau itu, Habsah Muda, 53, berkata hampir 15 tahun beliau berulang-alik ke pulau itu dan susunan batu- batu itu tetap menjadi perhatiannya.
“Yang peliknya, tiada seketul batu pun daripada susunan itu jatuh atau formasinya bertukar meskipun ia sudah terlalu lama berada di situ, malah dalam pemerhatian saya susunan batu itu semakin bertambah.


“Pernah juga terfikir siapa yang menyusunnya kerana di situ tiada kemudahan dan bukanlah pulau tumpuan seperti kawasan lain,” katanya kepada Bernama.


Sementara itu, seorang tukang masak sebuah resort di Pulau Redang, Zainab Kadir, 57, berkata sebelum berkhidmat di resort itu lagi beliau telah menyedari kehadiran pulau kecil berkenaan yang mempunyai batu-batu tersusun rapi.


“Selama tujuh tahun bekerja di pulau ini, tiada yang mengetahui asal-asul susunan batu itu termasuk penduduk tempatan.


“Pulau itu memang mempunyai keistimewaan kerana sentiasa bersih seperti dijaga namun tiada penghuni mahupun keperluan asas di pulau berkenaan,” katanya.


Zainab berkata pernah ketika berkunjung ke pulau itu, beliau tanpa sengaja telah tersepak batu-batu yang tersusun menyebabkan ada yang terjatuh.


“Bila saya cuba susun balik tidak berjaya..,bila saya datang kembali dua minggu selepas itu, batu itu telah kembali kepada tempat asalnya dan ini terus menjadi tanda tanya, siapa yang menyusun semula batu-batu itu kembali seperti sedia kala,” katanya. — Bernama

Pu
- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/penduduk-hairan-pulau-batu-tersusun-terus-jadi-misteri#sthash.jF3MIuGc.dpuf

No comments: