Minggu lepas seorang jurucakap tentera berkata, kumpulan militan yang cuba merampas bandar Marawi pada 23 Mei lalu, mendapat tentangan hebat daripada tentera Filipina.

Rangkaian agensi berita milik militan Daesh, Amaq telah menyiarkan laporan kononnya tentera Filipina telah gagal dalam usaha awalnya untuk merampas semula bandar ber­kenaan selepas lebih 200 anggotanya terbunuh dan ramai lagi melarikan diri.
Jurucakap tentera, Brigadier General Restituto Padilla bagaimanapun menolak laporan itu sambil menyifatkannya sebagai satu propaganda.

“Patutkah kita mempercayai laporan bahawa militan Maute telah mengawal dua pertiga daripada bandar Marawi? Dengan 202 pengganas di­sahkan terkorban, perlukah kita memberi mereka peluang menyiarkan pembohongan sebegitu?

“Daripada 96 kawasan, mereka hanya mengawal Ma­rinaut, Lulut, Mapandi serta Daerah Komersial Bongolo iaitu hanya 20 peratus daripada keseluruhan bandar Marawi. Jumlah itu juga semakin berkurang setiap hari,” tegas Restituto. 

Sementara itu, jurucakap tentera kerajaan mendakwa kumpulan Maute telah membunuh orang awam yang me­larikan diri selepas ditangkap untuk dijadikan tebusan.

Seramai 600 penduduk awam dipercayai masih lagi terperangkap di kawasan pertempuran selepas 200,000 penduduk melarikan diri dari bandar Marawi apabila ditawan militan. – AFP