Kebanyakan mereka tidak lagi mempunyai tempat berlindung selepas rumah kediaman musnah akibat dibedil oleh pesawat pejuang kerajaan yang menyasarkan kumpulan militan berkenaan.
Menurut Norhidaya Imam, 20, jika pertempuran yang memasuki hari ke lapan itu tamat sekalipun, dia tidak mempunyai apa-apa lagi kerana rumahnya di Barat Dilay musnah akibat bedilan tersebut.
“Kami bekerja keras untuk membina rumah ini tetapi semuanya kini musnah,” katanya yang kini ditempatkan di pusat perlindungan di bandar Balo-i bersama-sama suami dan ba­yinya.
Norhidaya menambah, motosikal yang sering digunakan oleh suaminya untuk bekerja sebagai tukang kayu turut diambil oleh anggota militan terbabit yang bersembunyi di belakang rumah mereka sejak serbuan tentera kerajaan pada minggu lalu.
Sementara itu, pihak berkuasa negara ini yang memperhebatkan serangan roket ke atas kubu kuat kumpulan militan menggunakan helikopter, menggesa saki baki anggota militan tersebut menyerah diri demi menyelamatkan nyawa orang awam.
“Kami memberi peluang kepada mereka untuk menyerah diri kerana masih ada masa untuk berbuat demikian agar tiada pihak lain yang diheret dalam pertempuran ini dan tiada lagi bangunan yang musnah,’’ kata jurucakap tentera, Brig. Jen. Restituto Padilla kepada radio DZBB.
Ketika ditanya tentang tawaran menyerah diri itu, jurucakap presiden, Ernesto Abella berkata, ia bertujuan untuk mengurangkan kerosakan di kawasan terlibat dan paling pen­ting lagi mengelak kerugian besar di pihak awam.
Difahamkan kira-kira 2,000 penduduk bandar ini masih terperangkap di kawasan yang dikuasai kumpulan militan manakala Jawatankuasa Palang Merah bimbang mereka akan terperangkap semasa serangan bom dan kejadian berbalas-balas tembakan.
Wartawan AFP melaporkan, sepanjang pagi ini, beberapa buah helikopter melancarkan roket di bandar tersebut manakala asap hitam tebal kelihatan di bangunan-bangunan yang menjadi sasaran.
Ketua Tentera Filipina, Je­neral Eduardo Ano pula memberitahu Associated Press, setakat ini seramai tiga rakyat Malaysia, seorang Indonesia dan seorang lagi dipercayai anggota militan berketurunan Arab terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Eduardo turut memaklumkan komander kumpulan itu, Isnilon Hapilon masih bersembunyi dalam bandar itu manakala pihak berkuasa masih berusaha untuk mengesahkan sama ada seorang lagi pemimpin kumpulan tersebut telah terbunuh.
Walaupun pihak tentera melaporkan kepungan di Marawi akan berakhir dan pemeriksaan rumah ke rumah telah 70 peratus selesai tetapi anggota militan yang lengkap bersenjata terus memberi tentangan. – Agensi