BEIJING
8 Feb. – Polis China mula menggunakan cermin mata hitam yang dilengkapi
teknologi pengecaman wajah bagi mengenal pasti suspek penjenayah di
lokasi tumpuan ramai.
BBC melaporkan, cermin mata pintar itu
dihubungkan dengan pangkalan data dalaman polis mengenai suspek
bermakna anggota polis dengan pantas boleh mengimbas pergerakan orang
ramai sementara mengesan suspek.

Bagaimanapun para pengkritik bimbang penggunaan teknologi terbaharu itu akan memberikan lebih kuasa kepada kerajaan.
Menurut akhbar China, setakat ini cermin mata berkenaan sudah membantu polis menangkap tujuh orang suspek penjenayah.
Polis
China ketika ini menggunakan alat baharu itu di stesen kereta api di
bandar Zhengzhou, dengan tujuh suspek yang ditahan terbabit dengan
jenayah langgar lari dan pemerdagangan manusia.
Menerusi teknologi tersebut, pihak berkuasa turut mengenal pasti 26 individu yang menggunakan kad pengenalan palsu.
Malah,
teknologi itu membolehkan pegawai polis merakam gambar individu
mencurigakan sebelum membandingkannya dengan gambar yang disimpan
dalam pangkalan data dalaman polis.
Jika ciri
suspek sepadan dalam pangkalan data polis, maklumat tentang nama dan
alamat individu itu akan diserahkan kepada petugas berhampiran.
Namun
wujud kebimbangan bahawa kerajaan akan menggunakan teknologi itu bagi
mengesan pesalah politik atau etnik minoriti tertentu.
Ketika
ini, China memiliki kira-kira 170 juta kamera litar tertutup yang
menggunakan teknologi kecerdasan buatan, berkebolehan mengecam wajah
individu dengan 400 juta kamera baharu bakal dipasang dalam tempoh tiga
tahun lagi.