Thursday, May 31, 2018

Palestin - Perang besar bakal tercetus?

GAZA CITY 30 Mei - Israel bertindak mengebom sebanyak 25 kedudukan pergerakan Hamas selepas sera­ngan roket dan mortar bertalu-talu dilancarkan dari Genting Gaza selain menafikan dakwaan Palestin bahawa gencatan senjata dicapai selepas ketegangan terburuk antara kedua-dua pihak tercetus sejak perang 2014.
Serang balas itu menimbulkan kemungkinan satu lagi perang besar bakal tercetus di wilayah terkepung tersebut yang ditadbir pergerakan Hamas, dan akan menjadi yang keempat sejak 2008.
Israel menyasarkan lebih da­ripada 60 kedudukan tentera di Genting Gaza dalam tempoh 24 jam dengan mendakwa sekurang-kurangnya 70 roket dan mortar ditembak ke wilayah mereka sepanjang semalam de­ngan sebahagian besar serangan terbabit berjaya dipintas.
Rejim Zionis memaklumkan, sebanyak tiga orang tentera Israel cedera dengan tiada laporan kehilangan jiwa daripada pihak Palestin.
Malam semalam, juruca­kap pergerakan Islamic Jihad mendakwa satu gencatan senjata dengan Israel telah dicapai ketika Timbalan Ketua Hamas, Khalil al-Hayya menegaskan pergerakan tersebut komited terhadap langkah terbabit jika Israel turut berbuat demikian.
Dalam pada itu, keadaan di Genting Gaza hari ini tenang berbanding semalam.
Tentera Israel enggan mengulas mengenai dakwaan gencatan senjata itu namun Menteri Risikannya, Yisrael Katz menafikan sebarang rundingan mengenai­nya.
“Israel tidak mahu situasi semasa bertambah buruk namun pihak yang memulakan keganasan itu perlu menghentikannya. Israel akan memastikan Hamas membayar setiap serangan ke atas Israel,” katanya.
Keganasan semalam berlaku ekoran kekacauan terburuk di sepanjang sempadan antara Israel dan Gaza.
Dalam satu kenyataan bersama yang jarang berlaku, Hamas dan Islamic Jihad mengumumkan tanggungjawab mereka di atas serangan roket dan mortar tersebut dan mendakwa sebagai langkah balas kepada serangan Israel ke atas kedudukan mereka.
Sebanyak tiga anggota Islamic Jihad terbunuh dalam serangan tentera Israel pada Ahad lalu dan kumpulan itu berikrar untuk membalas pembunuhan tersebut.
Sementara itu, Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dijangka bermesyuarat bagi membincangkan keganasan tersebut atas permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengadakan mesyuarat tergempar.
“UNSC sepatutnya marah dan bertindak balas terhadap keganasan terbaharu itu yang di­sasarkan ke atas orang awam Israel yang tidak bersalah,” kata Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley.
Kuwait yang merupakan anggota bukan tetap yang mewakili negara Arab mengedarkan draf resolusi meminta pertimbangan langkah untuk menjamin keselamatan dan perlindungan orang awam Palestin. – AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/perang-besar-bakal-tercetus-1.682479#ixzz5H5aVu1Y1 
© Utusan Melayu (M) Bhd

Henti arah guru sedia dokumen tugas

KUALA LUMPUR 31 Mei - Kementerian Pendidikan berharap semua sekolah agar tidak lagi meminta para guru menyediakan dokumen berkaitan tugas mereka untuk tahun 2017 dalam pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMG2).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, pihak kementerian mahu guru-guru menguruskan tugas semasa terutama yang berkaitan penyampaian pendidikan berkualiti tinggi kepada murid manakala audit penilaian kendiri itu dilaksanakan pihak sekolah.
“Kekeliruan berlaku disebabkan ketidakfahaman terhadap beberapa perkara seperti tidak jelas berkaitan dokumen yang perlu dibawa untuk diaudit. Evidens yang sepatutnya dibawa hanyalah merupakan dokumen pengurusan sedia ada terpilih sahaja.
“Tidak jelas tentang evidens menyebabkan guru diminta menyediakan evidens baharu yang membebankan, sedangkan evidens yang diaudit hanyalah merupakan dokumen pengurusan sedia ada yang disediakan sekolah dari semasa ke semasa,” demikian menurut kenyataan.
Maklum balas daripada 4,735 sekolah yang telah diaudit menunjukkan kebanyakan sekolah menjadikan SKPMG2 sebagai panduan pengurusan sekolah dan bimbingan semasa sesi audit membantu meningkatkan kefahaman dalam melaksanakan penilaian kendiri.- UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/henti-arah-guru-sedia-dokumen-tugas-1.682841#ixzz5H5ZsaSC0 
© Utusan Melayu (M) Bhd

SUK Kelantan: Saya tak kata larangan ke atas Husam arahan istana

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhamad menafikan beliau berkata arahan untuk menghalang Naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa dan pengerusi AMANAH negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah daripada memasuki istana dan premis kerajaan negeri datang dari pihak Istana.
Nazran berkata beliau hanya memaklumkan kepada media tempatan bahawa beliau telah menerima arahan itu daripada 'pihak atasan', lapor NST.
Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawabnya untuk melaksanakan tugas yang diberikan oleh `pihak berkuasa atasan' dan juga dari kerajaan negeri.
"Tidak pernah keluar dari mulut saya bahawa arahan itu berasal dari Istana dan saya juga beritahu wartawan bahawa saya tidak tahu sebab kedua-dua mereka dihalang.
"Akhbar yang membuat kesimpulan mereka sendiri," katanya ketika ditemui NST di pejabatnya hari ini.
Sementara itu, akhbar itu memetik Husam sebagai berkata beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
"Saya tidak akan mengulas lanjut mengenai isu ini. Ramadan adalah bulan suci bagi umat Islam, oleh itu, lebih baik bagi saya untuk tidak memberikan sebarang komen, "katanya.
Terdahulu, dilaporkan hari ini bahawa arahan untuk menghalang Husam yang juga bekas ADUN Salor dan Wan Abdul Rahim memasuki bangunan istana dan bangunan kerajaan negeri dibuat selepas pekeliling dikeluarkan oleh Nazran.
Nazran dilaporkan berkata pekeliling itu telah diedarkan kepada lebih 2,000 penjawat awam di negeri itu.
https://www.malaysiakini.com/news/427576

Najib: HSR boleh jana RM650 bilion, lebih 400k kerja

Projek kereta api laju (HSR) Singapura – Kuala Lumpur bukan diilhamkan hanya berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh satu negara sahaja.
Keputusan untuk projek ini dibuat berdasarkan kepada kajian terperinci terhadap manfaat dari kos yang dibuat oleh kedua-dua pihak bertahun lamanya yang turut membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi bagi kedua-dua negara.
Projek ini mempunyai potensi untuk membentuk masa depan dan bagaimana kita dapat bekerjasama bagi faedah bersama. Kajian turut menunjukkan Malaysia adalah penerima manfaat utama bagi projek ini memandangkan majoriti landasan adalah di negara ini.
Menggabungkan secara integrasi dua bandar utama dan ekonomi di Asia Tenggara akan menghasilkan manfaat yang besar yang melangkaui jualan tiket dan kos bagi infrastruktur itu.
Ia adalah sebahagian daripada agenda transformasi dan visi kita untuk Malaysia baharu yang akan mewujudkan industri baharu, kaedah baharu untuk kerjasama antara dua negara, meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan gaya serta taraf hidup lebih baik untuk semua rakyat.
Ia juga akan mewujudkan satu pusat pertumbuhan baharu dan memberi nafas baharu kepada bandar seperti Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Melaka dan Seremban di mana manfaat berganda daripada projek ini adalah sangat besar.
Pada ketika kita memahami bahawa ia adalah prerogatif kerajaan baharu Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk membatalkan projek ini, saya kecewa dengan keputusan terburu-buru untuk membatalkannya dan menggesa kerajaan untuk bersikap lebih telus dan mengadakan rundingan sebelum membuat apa-apa keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan ekonomi, peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Saya turut merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi pencerahan bagaimana keputusan dibuat kerajaan BN terdahulu bersama kerajaan Singapura bagi projek ini.
Kenaikan nilai hartanah
Pertama, kerajaan baharu mendakwa kos projek ini adalah RM110 bilion. Jawatankuasa bersama Malaysia – Singapura, sehingga awal tahun ini telah mengunjurkan kos bagi projek ini adalah kira-kira RM72 bilion, termasuk pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia, berasaskan kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum ini.
Kos sebenar hanya diketahui apabila tender sepenuhnya bagi mereka bentuk, membina, pembiayaan dan penyelenggaraan kesemua stok guling (rolling stock) dan aset keretapi HSR, yang dijangka ditutup sepenuhnya pada 28 Disember, 2018.
Sehubungan dengan itu, kerajaan seharusnya memberitahu kita bagaimana mereka memperolehi angka RM110 bilion? Adakah angka ini juga dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi ‘hutang negara?’
Saya juga terkejut dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa Malaysia tidak mendapat pulangan sesen pun daripada projek HSR.
Realitinya, projek infrastruktur seperti HSR ini, membawa pulangan dan manfaat dalam bentuk kenaikan nilai hartanah, kepesatan ekonomi setempat, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan pendapatan tinggi, kemasukan tenaga pakar ke dalam negara dari Singapura serta pelancongan.
Saya mahu bertanya kepada Dr Mahathir, apakah projek-projek Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Central Spine Road yang tiada tol, projek LRT, MRT dan monorel mendapat pulangan dari hasil tiket sahaja? Sudah tentu tidak.
Projek-projek infrastruktur ini mendatangkan pulangan kepada negara dari segi kepesatan ekonomi. Kerajaan akan meraih pendapatan daripada cukai yang diperoleh daripada ekonomi yang lebih rancak. Manakala, rakyat pula mendapat kemudahan dan peluang pekerjaan kerana dapat berhubung dengan mudah.
Rasional yang sama digunakan dalam pembinaan HSR ini. Untuk pengetahuan rakyat Malaysia, laluan penerbangan Kuala Lumpur Malaysia adalah yang tersibuk di dunia.
Terdapat permintaan yang luar biasa terhadap perjalanan Kuala Lumpur-Singapura ini. Kerana itulah HSR ini sebenarnya sangat menguntungkan negara.
Projek jangka panjang
Saya juga ingin bertanya adakah agensi terlibat dengan projek ini sudah diberi ruang untuk membentangkan kes mereka kepada kabinet dan Majlis Penasihat Kerajaan? Adakah kajian impak ekonomi dan penilaian impak alam sekitar sudah dibentangkan dan dipertimbangkan? Bolehkah kajian ini kini didedahkan kepada umum?
Unjuran yang terkandung dalam laporan berkenaan yang pernah saya lihat menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi GNI sehingga 2069. Manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069.
Untuk lebih telus, laporan ini seharusnya ditunjukkan kepada orang awam sebagaimana dilakukan kerajaan BN sebelum ini ketika laporan dipamerkan kepada orang ramai untuk maklum balas.
Adakah pembatalan ini adalah keputusan seorang sahaja? Saya difahamkan Menteri Pengangkutan baharu telah membuat kenyataan bahawa projek HSR ini tidak pernah dibincangkan dalam kabinet manakala Menteri Kewangan baharu enggan memberi ulasan tentang pembatalan projek HSR ini.
Projek HSR ini adalah projek jangka panjang dengan pelaburannya akan dapat diperolehi kembali pada dekad mendatang, dari pertumbuhan trafik selain kesan limpahan manfaat ekonomi berkaitan projek ini.
Impak ekonomi dari projek HSR ini juga turut mengambil kira analisa kewangan dan laporan Bank Dunia bagi unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini dan beberapa tahun akan datang.
Dengan pembatalan projek ini, prospek pertumbuhan KDNK Malaysia akan menyusut dan pertumbuhan peluang pekerjaan akan terencat? Kerajaan baharu perlu mengambil kira faktor ini dan mempunyai langkah pilihan bagi mengisi jurang kekurangan ini.
Zaman kini sudah berubah dan ekonomi hari ini lebih sofistikated dari dulu dan adalah mengecewakan jika Perdana Menteri gagal melihat pulangan projek ini sebagai pemangkin ekonomi seperti HSR ini di luar skop hasil jualan tiket sahaja.
Jangan membuat keputusan semata-mata kerana dendam kesumat terhadap individu ataupun kerajaan BN. Keputusan yang dikaburi emosi hanya akan merugikan rakyat.

DATUK SERI NAJIB RAZAK adalah anggota parlimen pembangkang bagi kawasan pekan dan merupakan bekas pengerusi BN.
 

Piala Dunia Free & Tabung Derma Malaysia



Walaupun saya tahu sangat ramai peminat bolasepak di Malaysia ini bergembira dengan keputusan kabinet memberi penyiaran percuma piala dunia, serta ia dianggap hadiah kepada 'sekumpulan' rakyat. 

Namun perlukah untuk berhabis RM 40 juta bagi mendapat hak siaran di RTM, khususnya sewaktu hasil-hasil negara sudah berkurang disebabkan :-

- 'zerorated' GST, 
- kemungkinan pampasan RM 500 juta kerana menamatkan projek HSR, 
- bayar syarikat konsesi untuk bersedia hapuskan toll dan diskaun,
- hutang negara diwartakan lebih RM 1trillion
- tax holiday selama 3 bulan & penangguhan SST  
- Harga RON95 dikekalkan dengan tanggungan subsidi 
- kena bayar hutang tertunggak 1MDB, berbillion
- kena bayar hutang tertunggak SRC, berbillion

Semua di atas ni sangat bagus untuk rakyat (kecuali kena tanggung hutang 1MDB & SRC) dan menggembirakan namun

Sedikit pelik kerana pada waktu yang sama, diumumkan tabung Harapan Malaysia untuk rakyat menderma bagi membayar sebahagian hutang negara. Adalah lebih baik, puluhan juta kos penyiaran piala dunia, dimasukkan dalam tabung bayar hutang tadi atau menambah bonus aidilfitri berbanding hanya RM 400.

KECUALI Jika pihak kementerian mampu memberikan expected RETURN penyiaran tersebut hasil dari iklan-iklan besar hinggakan pulangan menjadi lebih BESAR dari kos. Maka jika itu wujud, barulah tindakan itu justified. Kerajaan yang baik mesti membuat homework dan dibentangkan juga hasilnya agar tiada pertikaian tidak sihat.

Sekadar pandangan, meyahut keterbukaan kerajaan yang menjemput kritikan membina dan cadangan serta teguran.

Apa pandangan kalian pula? kita berdiskusi dengan bahasa sihat inshaALlah.


ZAR