Friday, June 22, 2018

Guan Eng berbohong dalam maklumat projek TRX, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak menuduh Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyebarkan maklumat "separuh benar dan pembohongan" berhubung projek Tun Razak Exchange (TRX).
Kenyataan bekas perdana menteri itu dibuat selepas Lim mendakwa Putrajaya terpaksa membelanjakan RM2.8 bilion bagi menyelamatkan projek terbabit daripada gagal.
"Walaupun saya gembira kerajaan sekarang memutuskan untuk meneruskan projek TRX yang akan membawa puluhan ribu pekerjaan baru serta mewujudkan pusat kewangan bertaraf dunia di Kuala Lumpur, saya mahu menegaskan bahawa Lim hari ini menyebarkan maklumat separuh benar dan pembohongan dalam kenyataannya mengenai TRX City Sdn Bhd, iaitu syarikat yang memiliki tanah seluas 70 ekar dan 486 ekar masing-masing dalam projek TRX dan Bandar Malaysia.
"Lim sendiri mengakui, walaupun dengan suntikan tambahan sehingga RM2.8 bilion oleh Kementerian Kewangan Inc (MOF Inc), projek TRX akan bernilai sekurang-kurangnya RM7.8 billion dan menunjukkan keuntungan.
"Sudah tentu ia tidak boleh dianggap langkah menyelamatkan projek tersebut jika wang yang akan digunakan bakal menjana keuntungan," kata Najib dalam satu kenyataan pada 21 Jun.
Menurut bekas perdana menteri itu pengambilalihan TRXC oleh MOF Inc daripada 1MDB pada 31 Mac 2017 adalah pada kadar minimum RM1 dan ia adalah sebahagian daripada pelan rasionalisasi.
Kata Najib ekoran pengambilalihan tersebut ia mengandaikan pembayaran liabiliti 1MDB mulai 1 Apr 2017.
Menurutnya lagi Lim gagal menonjolkan nilai aset tanah yang signifikan untuk projek TRX dan Bandar Malaysia yang dikatakan bernilai RM30 bilion.
Tanah-tanah tersebut asalnya memang dimiliki kerajaan tetapi dipindahkan kepada 1MDB pada kadar nominal sebelum kembali kepada pemilikan kerajaan bersama liabiliti anak-anak syarikat 1MDB.
"Lebih penting, tiada wang dari TRXC disalahgunakan oleh 1MDB.
"Seperti amalan banyak syarikat lain, kira-kira RM3 bilion pinjaman antara syarikat dibuat pada masa tertentu oleh TRXC kepada 1MDB.
"Semua pinjaman antara syarikat ini dibayar semula oleh 1MDB mulai 31 Mac 2017, melalui kombinasi secara tunai dan dividen dibayar oleh TRXC kepada 1MDB.
"Pembayaran ini dilakukan dengan kelulusan MOF Inc dan dikaji serta diluluskan dengan teliti oleh juruaudit TRXC dalam kenyataan kewangan pada 31 March 2017," kata Najib.
Menurutnya lagi disebabkan TRXC dimiliki 100 peratus oleh 1MDB iaitu syarikat MOF Inc, 1MDB "tidak boleh mencuri RM3 bilion daripada dana sendiri bagi memberikan pinjamannya."
https://www.malaysiakini.com/news/430736

No comments: