Thursday, September 13, 2018

MIC tak tanding kerusi tradisi di Port Dickson

PRK PD | Parti komponen BN, MIC mengumumkan bahawa tidak akan bertanding pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson meskipun ia merupakan kerusi tradisi mereka. 
Presiden MIC, Tan Sri SA Vignewaran berkata keputusan MIC dibuat secara sebulat suara di mesyuarat Majlis Tertinggi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) hari ini.
Jelasnya, keputusan itu dibuat susulan kenyataan BN yang berhasrat untuk membincangkan sama ada akan bertanding di PRK itu.
"Kami kecewa dengan Umno yang tidak berbincang dengan kami sebelum membuat kenyataan hasrat bertanding.
"Kita hanya tiga parti komponen parti sahaja di BN. Nampaknya, tidak ada perubahan di BN," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Beliau juga menegaskan bahawa keputusan itu muktamad dan telah memaklumkannya kepada MCA.
"Kalau Umno nak tanding biar mereka tanding. Kita tidak akan campur tangan.
"Saya telah pun memberitahu keputusan saya kepada MCA. Dan mereka sokong penuh dengan pendirian kami," katanya.
Danyal Balagopal Abdullah semalam meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen.
MIC mewakili BN bertanding di Port Dickson sejak empat penggal yang lalu.
Kawasan ini yang dibangunkan pada tahun 1974 dengan nama Teluk Kemang, dianggap sebagai kubu kuat BN dan MIC sehinggalah kerusi itu ditawan Datuk Kamarul Bahrin Abbas dari PKR pada tahun 2008.
Dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, Danyal mengekalkan kemenangan parti PKR dengan memperoleh 59 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.
Menurut data PRU ke-14, kawasan parlimen ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus.
Mengulas lanjut, Vigneswaran turut menyatakan kemungkinan mewujudkan semula Gagasan Perikatan yang merupakan satu gabungan merangkumi Umno, MCA, MIC, PAS, Gerakan dan Parti Progresif Rakyat pada tahun 1972 sebelum PAS diusir keluar pada tahun 1977.
"Saya kagum dengan layanan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
"Saya telahpun memberi jaminan bahawa walaupun PAS merupakan parti berasaskan agama, partinya tidak sesekali campur tangan atau mengancam agama lain," jelasnya.

https://www.malaysiakini.com/news/442916

No comments: