Wednesday, November 28, 2018

Roboh Kuil, Kerajaan Pakatan Harapan Selalu Mungkir Janji, Kata Isham Jalil

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak dan adil terhadap pihak yang terlibat berhubung isu pemindahan tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya. 

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil berkata, ini kerana isu hal ehwal tanah yang berkaitan dengan pemindahan hak milik kuil tersebut kepada pemaju adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sendiri. 

“Hakikatnya Kerajaan Negeri Pakatan tidak mahu bertanggungjawab mahupun mengambil risiko. 

“Sebenarnya jika mereka mahu, mereka boleh buat keputusan untuk kekalkan kuil tersebut di situ dan merunding untuk membayar pampasan kepada pemaju. Mereka ada kuasa ini sebab hal ehwal tanah di bawah bidang kuasa mereka. 

“Jika isu tanah Ijok boleh ‘diselesaikan’ oleh mereka di luar mahkamah dengan cara ini, mengapa isu kuil ini tidak boleh?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook. 

Isham merujuk kepada isu penyelesaian tanah peneroka di Ijok yang dipertikaikan ketelusannya ekoran timbul isu berbangkit bersabit ‘kaedah’ yang digunakan menteri besar ketika itu Datuk Seri Azmin Ali. 

Ujarnya, kerajaan Selangor selalu berbangga dengan menguar-uarkan mereka adalah negeri terkaya di Malaysia dan Kerajaan Negeri banyak duit lebihan. 

Justeru katanya, adalah lebih baik ia digunakan sebaiknya demi keharmonian semua pihak. 

“Jika mereka betul-betul ikhlas kepada masyarakat India di Selangor, maka kekalkanlah tapak kuil tersebut di situ dan runding dan bayarlah pampasan kepada pemaju, kerana hubungan keharmonian kaum adalah lebih penting daripada bisnes dan kepentingan pemaju. 

“Atau adakah mungkin mereka berfikir sebaliknya dan melindungi kepentingan pemaju lebih daripada kepentingan masyarakat India seperti apa yang mereka telah buat untuk pemaju mengatasi dan menekan (atau “at the expense of”) orang-orang Melayu di Ijok,”sindirnya. 

Dalam pada itu kata Isham, isu pemindahan kuil itu sebenarnya isu lama namun ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Selangor, tidak ada rusuhan sebagaimana yang berlaku hari ini memandangkan kerajaan BN pada ketika itu telah memberikan komitmen untuk mengekalkan tapak kuil tersebut di lokasi asalnya. 

Ujarnya, isu hanya tercetus selepas Kerajaan Pakatan mengambilalih Selangor pada 2008, di mana hak milik tanah kuil tersebut telah diserahkan kepada pemaju dengan persetujuan ‘Kerajaan Negeri Pakatan dan ahli-ahli politik mereka’. 

“…hal hakmilik tanah dan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman ini adalah satu perkara yang tidak ‘straight forward’ dan mempunyai pelbagai pencanggahan pendapat, maklumat dan tuntutan, walaupun ianya telah dibawa ke mahkamah dan mahkamah telah membuat keputusan. 

“Namun selepas keputusan dibuat, masih terdapat percanggahan pendapat, maklumat dan tuntutan terhadap isu sensitif ini,” katanya. 

Kata Isham, beliau pada Februari lalu pernah mengatakan bahawa jika BN memerintah Selangor, kuil ini tidak akan diroboh. 

“Ini bukannya soal politik, namun ianya adalah soal janji. BN mempunyai ‘track record’ menunaikan janji. 

“Saya tidak percaya kepada Kerajaan Pakatan ini, mereka selalu mungkir janji. Namun sebaliknya jika masyarakat India masih lagi percaya kepada Kerajaan Pakatan setelah sekian kali ditipu oleh mereka, maka terpulanglah kepada anda,” kata beliau. -SuaraTv 
http://mindarakyat.blogspot.com/2018/11/roboh-kuil-kerajaan-pakatan-harapan.html

Ada niat untuk bunuh, kata PM

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan serangan terhadap seorang anggota bomba oleh perusuh dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights mempunyai niat untuk membunuh.
Kata perdana menteri, perbuatan itu jelas dilakukan oleh mereka yang tiada perasaan sehingga boleh membunuh mangsa.
“Melihat kepada keadaan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya mempunyai niat untuk membunuh.
“Kita sedang berusaha sebaik mungkin mencari pelakunya. Kita tidak ada banyak bukti tapi polis akan buat siasatan rapi bagi mencari siapa yang melakukan tindakan berkenaan. Kita boleh ada demonstrasi tapi mestilah secara aman… ini bukan demonstrasi.
“Ini adalah sesuatu untuk membunuh orang dan mereka datang dengan parang dan segala senjata,” katanya pada sidang media di IJN di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa setengah jam melawat Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera diserang perusuh itu.
Adib, 24, edang menerima rawatan di IJN selepas menerima rawatan awal dan dipindahkan dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
Memaklumkan keadaan terkini Adib, Dr Mahathir berkata jantung, paru-paru dan buah pinggang Muhammad Adib masih berfungsi berikutan kepakaran doktor-doktor di IJN.
Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.
Turut hadir melawat Muhammad Adib, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

https://www.malaysiakini.com/news/453840

Bomba: Adib cedera bukan kerana dilanggar

Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini menafikan dakwaan kecederaan anggotanya Muhammad Adib Mohd Kassim ekoran dilanggar jentera bomba, seperti yang didakwa.
Ketua Pengarah Bomba Mohamad Hamdan Wahid berkata individu dalam klip video yang tersebar - yang memaparkan seorang lelaki berpakaian sut kalis api berjalan di belakang jentera bomba yang sedang mengundur - bukan Adib, tetapi seorang lagi anggota bomba.
"Ada bukti menyatakan Adib yang dilanggar? Individu yang berdiri (dalam video itu) bukan Adib, tetapi Mohd Hazim Mohd Rahimi.
"Orang itu (Hazim) ada di sebelah saya ini," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamad Hamdan berkata lapan anggotanya yang berada di tempat kejadian juga boleh membuktikan perkara itu.
Hazim (dua dari kanan)
"Saya sendiri tak berani buat kenyataan selagi mereka (anggota bomba) tak tunjukkan bukti. Jangan buat kenyataan tak berasas...Orang yang buat kenyataan tak berada di tempat kejadian masa itu," katanya lagi.
Hari ini penjaga kuil Sri Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, S Ramaji menafikan Adib yang kini dirawat di IJN cedera akibat dipukul perusuh pada awal Selasa lalu.
"Jentera bomba itu mengundur agak jauh dan melanggarnya (sehingga menyebabkan Adib terjatuh) di atas kereta di belakangnya," kata Ramaji dalam sidang media, sambil menunjukkan rakaman video tersebut.
Sebelum ini Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dilaporkan ditarik keluar daripada kenderaan bomba dan dipukul, menyebabkannya patah tulang rusuk dan mengalami kecederaan dalaman.
Beliau kini beransur pulih dan tidak lagi berada di tahap kritikal.
Mohamad Hamdan berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut yang menurutnya tidak berasas.
"Kita akan buat laporan polis untuk melindungi anggota-anggota kita. Bukan cara bomba nak langgar anggota yang pergi sama-sama tugas dengan kita,” katanya lagi.
https://www.malaysiakini.com/news/453837

Tuesday, November 27, 2018

Tariq Ramadan mengaku terlibat dalam ‘permainan seks’

GLOBAL | Ahli akademik Switzerland Tariq Ramadan mengaku terlibat dalam “permainan seks” dengan dua wanita Perancis yang mendakwa dirogolnya dan menegaskan hubungan itu berlaku secara sukarela.
Pengakuan profesor pengajian Islam di Universiti Oxford yang sedang bercuti itu adalah yang pertama setelah hampir setahun kes itu berlangsung, lapor Reuters.
“Dia akhirnya boleh bercakap dengan bebas, dan dia lega,” peguamnya Emmanuel Marsigny dilapor sebagai berkata kepada pemberita.
Ramadan adalah cucu pengasas gerakan Islam terkemuka dunia Ikhwanul Muslimin Hassan al Banna.
Kes Ramadan dibicarakan di Paris.
Seorang pengadu kes yang hanya dinamakan sebagai Christelle, mualaf yang mengalami masalah kurang upaya selepas kemalangan jalan raya, mendawa dirogol Ramadan dalam sebuah hotel di selatan Perancis pada 2009.
Peguam Ramadan berkata beberapa siri pesanan teks di dua telefon bimbin pengadu menunjukkan hubungan berlaku secara sukarela.
Ramadan ialah bapa kepada empat orang anak.
Dia turut berdepan satu lagi dakwaan rogol oleh wanita Switzerland di Geneva
https://www.malaysiakini.com/news/448545

Isu kuil jadi alasan gagalkan himpunan PAS?

Ketua penerangan PAS berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu cuba memanfaatkan ketegangan isu kuil di Subang Jaya itu untuk menghalang himpunan yang dianjurkan parti itu pada bulan depan.
Menurut Nasrudin Hassan kejadian terbabit - yang turut melibatkan keganasan dan kecederaan pada awal pagi tadi - boleh dijadikan titik tolak kepada usaha menggagalkan himpunan berkenaan.
"Saya tidak boleh mengetepikan kemungkinan terdapat usaha pihak tertentu untuk menjadikan insiden rusuhan di USJ sebagai turning point bagi menghalang himpunan aman rakyat membantah Icerd yang dijangka berlangsung pada 8 Disember 2018 akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PAS bersama Umno dan pertubuhan bukan kerajaan merancang untuk mengadakan himpunan di Kuala Lumpur sebagai desakan kepada kerajaan menolak penerimaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
Bagaimanapun Putrajaya sudah mengesahkan secara rasmi untuk tidak meratifikasi Icerd.
PAS dan penganjur bersama menegaskan himpunan berkenaan akan tetap dijalankan dan ditukar menjadi majlis kesyukuran.
Semalam memetik kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man BH Online melaporkan himpunan tersebut terpaksa diteruskan kerana penganjur dan peserta sudah membuat tempahan bas serta hotel.
Kata anggota parlimen Kubang Kerian itu himpunan tersebut perlu diteruskan bagi mengelak kerugian dan kekecewaan penganjur dan peserta.
Nasrudin berkata memang ada pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh melalui provokasi tertentu supaya wujud ketegangan di negara ini.
Katanya pihak terbabit melaga-lagakan orang Islam dan Melayu dengan kumpulan lain.
"Sementara mereka (pula) cepat sembunyi diri setelah melontar batu," katanya berkias.
Pada masa sama Nasrudin juga menegaskan Islam dan umatnya yang berpegang teguh dengan syariat tidak akan menyerang rumah ibadat agama lain.
"Malah Islam melarang penganutnya menghina sembahan pihak lain," katanya.
Menurut bekas anggota parlimen Temerloh itu himpuan yang dianjurkan itu akan berlangsung secara aman.
"Inilah komitmen penganjur," katanya.
https://www.malaysiakini.com/news/453564

Asmuni dakwa ditawar jawatan MB jika keluar PH

IPOH: Seorang EXCO Perak mendedahkan dirinya pernah ditawar jawatan Menteri Besar oleh UMNO jika keluar Pakatan Harapan (PH)
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi mendakwa perkara itu berlaku pada 1 November lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Rakyat (AMANAH) Perak, berkata UMNO menghantar wakil mengajaknya untuk keluar dari PH seterusnya ditawarkan jawatan Menteri Besar bagi membentuk kerajaan bersama parti itu serta wakil rakyat PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“(Yang membuat tawaran adalah) Individu yang pernah berjawatan tinggi dalam UMNO Perak.
“Saya tolak bulat-bulat tawaran yang dibuat oleh individu yang sangat dikenali itu.
“Orang itu bertemu saya dengan membawa salam daripada Datuk Saarani Mohamad (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak dan Ketua Pembangkang) dan menawarkan jawatan Menteri Besar Perak kepada saya,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman media sosialnya di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas dakwaan wujudnya gerakan serius untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu oleh beberapa EXCO menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana didedahkan Saarani semalam, Asmuni berkata beliau dan AMANAH tetap berdiri teguh di belakang kepemimpinan Ahmad Faizal.
“Saya menegaskan di pihak AMANAH kami padu di belakang Menteri Besar untuk mendokong kerajaan yang ada pada hari ini.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti komponen PH yang lain turut berpendirian yang sama. Tidak ada sebarang masalah yang boleh cetuskan pertelingkahan dan kestabilan,” katanya.
Gerakan itu didedahkan Saarani yang mendakwa EXCO berkenaan sudah menghubungi sekurang-kurangnya lima ADUN UMNO dan ditawarkan dengan pelbagai tawaran supaya membantu usaha mereka dalam menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal di dalam DUN.
Saarani dipetik berkata, semua ADUN UMNO itu bagaimanapun sudah berikrar tidak akan berkomplot dengan mereka kerana parti itu mempunyai jalan tersendiri untuk menjadi kerajaan termasuk menerusi pilihan raya, bukan dengan cara mengkhianati mana-mana pihak.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan maklum balas Saarani gagal kerana panggilan telefonnya tidak berjawab manakala mesej yang dihantar kepadanya juga belum dibalas.
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/11/502331/asmuni-dakwa-ditawar-jawatan-mb-jika-keluar-ph#cxrecs_s

Anggota bomba diserang dilaporkan parah, ditempatkan di ICU

SUBANG JAYA: Seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, USJ25 jam 1 pagi tadi dilaporkan cedera parah dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.
"Akibat diserang perusuh, mangsa yang dipercayai mengalami patah tulang rusuk serta kecederaan dalaman lain kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Mangsa kini ditempatkan di unit ICU bagi membolehkan kesihatannya dipantau," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan, seorang anggota bomba yang datang ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar kuil berkenaan bersama pasukannya cedera diserang kumpulan perusuh.
Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke SJMC untuk rawatan lanjut.
Selain itu, serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) turut dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.
Antara kerosakan ialah cermin depan dan belakang pecah, tayar pecah serta tercabut, pintu jentera tercabut selain kemek pada bahagian badan kenderaan dipercayai akibat diserang dengan objek keras.
Jentera bomba yang dirosakkan sudah dibawa ke Balai Polis USJ8 bagi membolehkan siasatan di lakukan oleh polis.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/11/502494/anggota-bomba-diserang-dilaporkan-parah-ditempatkan-di-icu#cxrecs_s

Tak sampai 24 jam, insiden tercetus lagi di kuil Seafield

Kekecohan tercetus lagi di sekitar kuil Seafield Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya tidak sampai 24 jam selepas rusuhan awal pagi kelmarin.
Kekecohan terbaru berlaku ketika kira-kira 2,000 individu berkumpul di kawasan kuil itu sejak malam semalam, meskipun polis telah menggesa orang ramai bersurai.
Meskipun jumlah yang berkumpul semakin berkurangan, dalam kejadian terbaru sekitar pukul 1 pagi tadi, terdapat kebakaran baru dilihat di kawasan itu.
Beberapa individu dilihat menyerang lori bomba yang tiba di tempat kejadian. Mereka membaling objek ke arah lori bomba dan turut cuba menghalang petugas media yang berada di lokasi daripada membuat rakaman.
Sekumpulan besar individu turut berarak ke kompleks Once City dan menyerang pejabat pemaju yang merupakan pemilik tanah kuil berkenaan.
Anggota polis dan sekurang-kurangnya sebuah lori Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berada di tempat kejadian.
Sementara itu, bekas pengerusi jawatankuasa kuil berkenaan, M Nagaraju berkata, kebanyakan individu yang berkumpul di luar kuil itu bukan penduduk tempatan.
Justeru, katanya, mereka sukar dikawal.
"Kami cuba nasihatkan mereka, tapi mereka enggan dengar.
"Kami faham kemarahan mereka, tapi ini bukan cara bertindak balas," katanya.
https://www.malaysiakini.com/news/453544

Status FB YB Ganabatirau Mengguris Rakyat

Saya amat kesal dengan status yang telah dinaikmuat dalam akaun fb milik YB Ganabatirau yang merupaka ahli DAP dan salah seorang EXCO Kerajaan Negeri Selangor berkaitan kejadian pergaduhan dua kumpulan isu Kuil Sri Mariamman USJ.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan kerukunan hidup bersama pelbagai bangsa dan agama, saya berpandangan bahawa status YB Ganabatirau itu adalah keterlaluan, lebih-lebih lagi beliau menaikmuat status yang boleh dianggap sebagai provokasi tanpa mendapatkan maklumat dan pandangan pihak ketiga terlebih dahulu. Saya amat yakin, status beliau itu dimuatnaik berdasarkan emosi tanpa sandaran kajian dan konsultasi dengan pihak berwajib lain. 

Sejak memegang jawatan Exco, sikap yang ditunjukkan oleh beliau kepada umum, banyak menimbulkan tanda tanya dan keresahan termasuk juga berkaitan dengan isu pemberian tanah di Ijok sedikit masa lalu.

Saya menuntut agar YB Ganabatirau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat khususnya kepada masyarakat Islam/Melayu atas keterlanjuran beliau. Beliau mesti berjanji bahawa tidak akan mengulangi kesilapan dan tidak berlagak sombong terhadap rakyat berbilang bangsa dan agama. Sebagai salah seorang pemimpin kerajaan, YB Ganabatirau mesti bijak "menempatkan" dirinya untuk tidak dilihat berpihak.

Dalam masa yang sama saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kukuhkan toleransi dan saling menghormati adat budaya, agama, kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara. 


Dato' K Deepakaran
Ketua DHPP Selangor26 November 2018.

http://mindarakyat.blogspot.com/2018/11/status-fb-yb-ganabatirau-mengguris.html