Thursday, January 24, 2019

26 maut akibat banjir kilat, tanah runtuh di Sulawesi

MAKASSAR: Jumlah angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Indonesia meningkat kepada 26 orang, ketika pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus mengesan mangsa yang hilang.
Ribuan lagi penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing apabila hujan lebat dan angin kencang melanda bahagian selatan pulau Sulawesi, menyebabkan air sungai melimpah, sekali gus mengakibatkan banjir di wilayah berkenaan.
Ia turut menjejaskan beberapa kawasan di Makassar.
“Sehingga pagi ini, seramai 26 mangsa disahkan maut, manakala 24 lagi dilaporkan masih hilang, berbanding angka kematian yang dicatatkan semalam, iaitu lapan orang,” kata ketua agensi pengurusan bencana tempatan, Syamsibar.
Sehingga kini, lebih 3,000 penduduk sudah dipindahkan dan sekurang-kurangnya 46 mangsa sedang dirawat di beberapa hospital tempatan serta klinik kesihatan. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2019/01/523501/26-maut-akibat-banjir-kilat-tanah-runtuh-di-sulawesi

Alergi dengan Melayu & Islam, Lim Kit Siang Cipta Pembohongan

Kenyataan Media
23 Januari 2019 | 17 Jamadil Awal 1440H
ALERGI DENGAN MELAYU & ISLAM, LIM KIT SIANG CIPTA PEMBOHONGAN
1. Lim Kit Siang (LKS) sangat alergi dengan agenda menyatukan orang-orang Melayu dan memartabatkan Islam. Jika dibiarkan alergi ini tanpa dirawat, LKS dan DAP boleh mati kerananya.
2. Dia sangat tahu akan bahaya alergi ini terhadap kesinambungan hayat politik diri dan partinya kerana dia sudah menghidapinya sejak lama dahulu lagi. Putusnya hubungan PAS dengan DAP selama ini pun kerana alergi ini. Sebab itu LKS mahu DAP hanya berkawan dengan parti-parti yang tiada atau tidak kuat aspirasinya untuk menyatukan orang-orang Melayu dan memartabatkan Islam sahaja.
3. Menjelang semakin dekatnya hari membuang undi PRK Cameron Highland yang menyerlahkan lagi agenda Melayu dan Islam ini menerusi kerjasama PAS dan BN, LKS tiada pilihan selain mencipta pembohongan demi merawat alergi yang sedang dihadapinya.
4. Namun, nampak hodoh dan bodoh betul pembohongan LKS yang mengatakan bahawa Presiden PAS pernah merayu untuk menjadi calon Perdana Menteri. LKS seumpama merawat sakitnya dengan mengambil ubat tanpa nasihat daripada doktor dan ahli farmasi; ataupun, yang memberikan nasihat itu kepadanya juga orang yang rendah ‘intelligence quotient’nya.
5. Semua orang tahu DS Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang bukannya jenis orang yang kemarukkan kuasa. Sangat dimuliakan dan dihormati oleh ahli-ahli parti sendiri pun beliau sudah kurang selesa, apatah lagi untuk meminta-minta menduduki kerusi nombor satu dalam kerajaan yang tidak selari dengan etika Islam. Apabila tokoh lain mencadangkan nama beliau sebagai calon Perdana Menteri pun beliau menolaknya kerana lebih mahu ke laut menjadi nelayan.
6. Walaupun ramai orang dan banyak pihak mengakui akan kelayakan dan kemampuan beliau, namun begitulah sikap beliau terhadap jawatan selari dengan prinsip Islam dalam hal ini. Itulah rendah dirinya manusia yang sangat dibenci LKS dan DAP ini.
7. PAS bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada dengan UMNO atau DAP, asalkan dasar, tujuan dan usaha-usaha PAS seperti yang termaktub dalam perlembagaannya dihormati. Asas kerjasama ini adalah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t., “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (Al-Maaidah : 2). Bekerjasamanya PAS dengan DAP sebelum ini atas dasar kesediaan DAP menerima aspirasi politik Islam yang dibawa PAS. Berpecahnya PAS dengan DAP kerana DAP menolak dan menentang aspirasi itu.
8. Demikianlah juga kerjasama PAS dengan UMNO. Pernah bersama pada 70 an atas semangat perpaduan Islam dan sekarang kembali bersama pasca kejatuhan UMNO lalu menjadi pembangkang atas semangat yang sama. Oleh kerana DAP alergi sangat dengan agenda Melayu dan Islam, selama itulah LKS dan DAP akan terus bermusuhan terhadap PAS.
Sekian.
“Islam Memimpin”
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

https://berita.pas.org.my/alergi-dengan-melayu-islam-lim-kit-siang-cipta-pembohongan/

Elak tebang hutan, sila cepat bayar royalti

KOTA BHARU: Sekiranya benar Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap kehidupan masyarakat Orang Asli, sila percepat bayaran royalti petroleum kepada Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Dato' Mohd Amar berkata, Kelantan tidak akan menebang balak lagi sekiranya kerajaan pusat membayar royalti seperti termaktub dalam perjanjian.
"Dengan bayaran royalti sejumlah RM500 hingga RM700 juta setahun sudah dapat membantu rakyat di negeri ini termasuk masyarakat Orang Asli," katanya pada sidang media di Kota Darulnaim petang semalam.
Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjuran Sambutan Hari Murabbi Ummah di Bilik Gerakan.
Selasa lepas kerajaan Persekutuan mengambil tindakan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu terhadap kerajaan Kelantan dan lima syarikat berhubung aktiviti pembalakan dan perladangan di Pos Simpor, Gua Musang.
Pada Jumaat lepas Peguam Negara, Tommy Thomas dilapor mendakwa lesen pembalakan dikeluarkan kepada syarikat mengakibatkan Orang Asli dinafikan tanah adat dan menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan sistem ekologi dan landskap hutan.
Mohd Amar juga berkata, hasil yang diperolehi kerajaan negeri melalui pembalakan hanya sekitar RM100 hingga RM150 juta setahun.
Katanya juga kerajaan negeri tidak pernah mengganggu kehidupan masyarakat Orang Asli.
Malah penempatan disediakan untuk mereka sama ada lot kediaman atau tanah pertanian. - HARAKAHDAILY 24/1/2019

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/9506-elak-tebang-hutan-sila-cepat-bayar-royalti

Sultan Pahang dipilih sebagai Agong baru

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, kata sumber-sumber kepada Malaysiakini.
Pemilihan Sultan Abdullah dibuat selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja selesai jam 12.45 tengah hari tadi.
Agensi Berita Nasional (Bernama), memetik kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad turut mengesahkan perkara itu.
Sultan Abdullah, 59 ditabalkan sebagai Sultan Pahang bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah pada 12 Jan lalu.
Sultan Ahmad, 88 dilapor kini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula sekali lagi dipilih sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin itu berlangsung selama lebih satu jam.
Mesyuarat dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan.
Pemilihan itu diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lepas.

https://www.malaysiakini.com/news/461520

Kit Siang habis modal, fitnah Presiden PAS

RENTAK tari pemimpin DAP sangat sumbang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands terserlah kerakusan mereka menggunakan jentera kerajaan untuk menang PRK, manakala di alam siber parti cauvanis ini dibuli oleh netizen saban waktu. Ada sahaja tingkah mereka menjadi modal perlecehan dan komoditi gelak ketawa pasukan tentera siber. 

Dato’ Seri Najib Razak menembak santai mereka dengan puluhan ribu "likes" serta " share", kesombongan pemimpin utama DAP diredam dengan bergaya oleh Najib serta seteru DAP yang lain. Kini DAP dan pemimpin PH menghalakan serangan mereka terhadap PAS pula kerana tidak meletakkan calon, termasuk Kit Siang yang memfitnah Presiden PAS. 

Kenyataan Lim Kit Siang yang mendakwa Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerusi kepimpinan PAS bertemunya untuk membincangkan soal perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas adalah kenyataan tidak bertanggungjawab dan dilihat sekadar mahu meraih undi dalam PRK Cameron Highlands. 

Beliau mengungkit kisah silam menjelang PRU13 lebih tahun dahulu mendakwa bahawa pemimpin PAS mahu berbincang mengenai calon Perdana Menteri daripada Pakatan Rakyat kerana merasakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak sesuai. 

Kenyataan Lim Kit Siang bersifat jahat seolah-olah mendakwa pemimpin PAS mahu mencalonkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri namun mencadangkan calon lain iaitu veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah. Katanya apabila pemimpin DAP membantah dan bertegas Anwar harus terus menjadi calon PR, dan DAP tidak mencadangkan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai calon, pemimpin PAS menggugurkan subjek itu kerana tahu DAP tidak akan menyokong Tuan Guru sebagai perdana menteri dan cadangan menggantikan Anwar tidak lagi ditimbulkan. 

Dari mana fakta yang mengatakan Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu menjadi Perdana Menteri sedangkan kenyataan yang disebut pemimpin PAS hanya mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai PM, dan bukannya Tuan Guru Abdul Hadi. 

Jika sekalipun Anwar tidak dicalonkan oleh PAS sebagai PM, ini bermakna PAS memberikan banyak pilihan kepada Pakatan Rakyat calon yang boleh diangkat sebagai PM. Dan ini bukan juga bermakna PAS mahu mengangkat Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai PM. Apakah Lim Kit Siang sedang bermimpi di siang hari sehingga lupa terhadap kenyataannya sendiri itu? 

Tuan Guru Abdul Hadi dalam satu kenyataannya mengesahkan bahawa PAS tidak pernah mencalonkan diri untuk menjadi perdana menteri, atau menggelarkan diri sebagai perdana menteri menanti. Penafian Presiden PAS membuktikan PAS tidak tamakkan kedudukan dan jawatan untuk menjadi PM. PAS tidak pernah bercita-cita merebut jawatan PM daripada dulu sampai sekarang berbanding tokoh lain yang disebut-sebut bakal menjadi PM selepas ini. 

Apakah Lim Kit Siang sedang menggelupur mencari kemenangan Pakatan Harapan di Cameron Highlands sehingga membuat kenyataan di luar topik? Adakah sudah kering idea dan isu untuk diketengahkan bagi perjuangan Orang Asli dan pengundi di Cameron Highlands itu sehingga PAS yang tidak bertanding di PRK Cameron Highlands juga turut diheret sama dalam kempen PRK? 

Mungkinkah beliau sudah tidak ada jawapan ketika rakyat mula mengasak dan mempersoalkan di mana janji-janji manis seperti tercatat dalam Manifesto PH dalam PRU ke 14 tempoh hari? Apakah jawapan Lim Kit Siang ketika ramai pihak mula meragui kemampuan kerajaan PH serta mempersoalkan setiap menteri kabinet yang kelihatan gagal sepanjang hampir setahun ini pemerintahan PH 

Dalam usia veteran itu, Lim Kit Siang sepatutnya terlalu matang dalam berpolitik dan cerdik dalam membuat ulasan. Tokoh DAP ini menjinjing bagasi sejarah hitam semenjak tragedi 13 Mei 1969 dan beliau kelihatan tidak pernah mahu berubah. 

Kenyataan dangkal seperti itu tidak patut keluar dari mulut tokoh besar DAP itu, kerana ia akan memamah harga dirinya sendiri. Kepercayaan penyokong taksub padanya selama ini akan hilang terhakis dengan kenyataan berunsur fitnah, adu domba dan jahat seperti itu. Era kerajaan ‘baharu’ ini, rakyat semakin bijak mencerna isu politik dan mengenal yang mana fakta dan mana auta. 

Cukuplah Lim Kit Siang menjadi pembohong, dengan sikap suka menghina dan merendahkan Presiden PAS kerana semakin lama masyarakat semakin sayang dan percaya kepada keperibadian Presiden PAS yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam. - HARAKAHDAILY 23/1/2019

http://mindarakyat.blogspot.com/2019/01/kit-siang-habis-modal-fitnah-presiden.html

Hakim, peguam patut jaga adab, bukan menari bagai ‘kera kena belacan’

KUALA LUMPUR, 23 Jan — Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta ketua hakim dan peguam negara menjaga adab ketimuran, integriti dan maruah dengan tidak menari bagai “kera kena belacan”. 

Mengingatkan mereka supaya “tidak lebih Barat daripada Barat”, beliau berkata taraf mereka tidak sama dengan seniman, apatah lagi bagi yang”sudah tua hampir bersara atau sudah bersara”. 

“Kita wajib sedar di mana bumi kita berpijak, di bumi Malaysia yang bersifat seni ketimuran agama dan budayanya,” kata ahli parlimen Marang di Facebook hari ini. 

Presiden PAS merujuk perbuatan Tan Sri Richard Malanjum dan Tommy Thomas yang menari di pentas dalam satu majlis. Rakaman mereka tular di media sosial. 

Kejadian dalam majlis makan Pembukaan Tahun Perundangan 2019 dianggap boleh mencalar institusi kehakiman dan sistem keadilan negara. 

Turut sama, peguam Datuk S Ambiga dan peguam Siti Kassim sekaligus mengundang kecaman ramai terhadap integriti perundangan negara.

http://mindarakyat.blogspot.com/2019/01/hakim-peguam-patut-jaga-adab-bukan.html




Debat perdana calon PRK Cameron Highlands tiada sambutan

TANAH RATA, 24 Jan — Debat Perdana melibatkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang julung-julung kali diadakan dalam sejarah pilihan raya negara malam tadi tidak mendapat sambutan daripada penduduk tempatan seperti yang diharapkan. 

Walaupun kebanyakan tempat duduk kosong, ketiga-tiga calon tetap meneruskan hujah masing-masing dengan calon bebas Wong Seng Yee menampilkan jiwa petani dengan bertopi dan berkasut but petani. 

Selain Wong, debat bertajuk 'Apa perubahan yang diperlukan Cameron Highlands' disertai calon Pakatan Harapan (PH) M.Manogaran dan seorang lagi calon Bebas iaitu Salehuddin Ab Talib, manakala calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor tidak menyertainya. 

Program itu adalah anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan moderatornya felo kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faisal S. Hazis. 

Program itu dilihat mendapat sambutan yang dingin, mungkin kerana pada masa yang sama ada dua lagi program serupa di kawasan berhampiran, yakni Ceramah Perdana PH yang antara lain disertai Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Pidato Pemuda Umno dan PAS yang menampilkan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi. 

Mengenai apa yang kaum Orang Asli boleh harapkan daripada mereka, Manogaran dalam hujahnya antara lain menarik perhatian bahawa beliau sedia mengambil tindakan saman terhadap kerajaan negeri Pahang jika mengambil tanah Orang Asli untuk dimajukan dengan projek lain. 

Wong pula mahu merizabkan tanah Orang Asli, manakala Sallehudin berhasrat untuk memberi tumpuan kepada aspek pendidikan masyarakat itu, memandangkan pada masa ini kadar keciciran murid-murid dari kalangan anak-anak mereka agak tinggi. — Bernama
http://mindarakyat.blogspot.com/2019/01/debat-perdana-calon-prk-cameron.html

Kit Siang bohong fakta tuduh TG Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU: PAS menasihati pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang agar hentikan pembohongan fakta yang berterusannya terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Pengerusi Majlis Penasihat PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali berkata, Lim Kit Siang terus menerus membohongi fakta dalam isu yang berkait dengan Presiden PAS semacam melobi jawatan Perdana Menteri (PM) Malaysia. 

Menurutnya, beliau ketika itu sebagai Setiausaha Agung PAS sentiasa hadir dalam mana-mana perbincangan dua hala di kalangan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR). 

“Saya sentiasa hadir dalam setiap perbincangan di kalangan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR), sewaktu PAS berada di dalamnya. Dalam perbincangan dua hala antara PAS dengan DAP, dan kadang-kala PAS dengan PKR. 

“Saya selaku Setiausaha Agung PAS ketika itu sentiasa hadir. Tidak pernah ada mana-mana masa dalam perbincangan itu dikemukakan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi, dicadangkan oleh PAS untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. 

“Apatah lagi, Tok Guru tidak pernah menyebut dia berhasrat utuk menjadi Perdana Menteri, tidak ada sama sekali. 

“Jadi di manakah sumber yang menyebabkan Kit Siang terus menerus dan bukan sekali ini sebenarnya. Terus menerus berbohong mengenai isu ini,” tegasnya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini. 

Namun, kata Mustafa, beliau tidak menafikan mengenai cadangan PAS menawarkan jawatan itu kepada Tengku Razaliegh Hamzah. 

Menurutnya, idea cadangan Perdana Menteri kepada Tengku Razaliegh adalah sementara sebelum diserahkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas itu. 

“Tentang cadangan PAS mengenai Tengku Razaliegh untuk menjadi Perdana Menteri itu memang benarlah. Saya sudah terangkan dulu sebelum daripada ini, saya terangkan memang pada masa itu kalau kesediaan kita untuk menerima dia (Razaliegh) dan jawatan itu untuk dia. 

“Untuk pada permulaannya dan selepas itu Anwarlah. Bukan kita menolak Anwar sebagai Perdana Menteri, tapi didahului oleh Tengku Razaliegh,” jelasnya menangkis tuduhan pemimpin DAP itu. 

Beliau turut mendakwa, Pakatan Harapan mungkin mengambil idea dan format daripada cadangan PAS itu dalam melantik Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. 

“Barangkali Pakatan Harapan pun mungkin mengambil idea dan format daripada apa yang PAS cadangkan itu, untuk minta penyertaan Tun Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan. Sebab, Mahathir dahulu barulah Anwar,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau berharap Lim Kit Siang sebagai ahli politik veteran usahlah terus menerus melakukan pembohongan yang bercanggah dengan fakta dan kenyataan. 

Ketika ditanya, apakah dakwaan Kit Siang kerana parti itu terdesak menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, beliau berkata pemimpin DAP itu cuba discreditkan isu Tok Guru dengan pembohongan. 

“Boleh jadi juga kerana isu (PRK) ini, Kit Siang cuba nak ‘discreditkan’ isu Tok Guru ini dengan buat kenyataan bohong seperti ini. 

“Seruan Tok Guru supaya masyarakat pengundi-pengundi di kalangan orang Melayu menolak calon DAP,” jelas veteran PAS itu. 

Menurutnya, Lim Kit Siang amat mengetahui fakta dan kenyataan sebenar kerana sama-sama terlibat dalam setiap kali perbincangan tersebut. 

Harakahdaily difahamkan, dakwaan bohong terhadap Presiden PAS itu berkisar perbincangan Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu, mengenai jawatan Perdana Menteri.

http://mindarakyat.blogspot.com/2019/01/kit-siang-bohong-fakta-tuduh-tg-abdul.html