Sunday, February 24, 2019

Biarlah Anwar percaya fitnah RM90 juta

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, biarlah Dato’ Seri Anwar Ibrahim percaya fitnah RM90 juta.

“Kami ahli PAS tetap tidak percaya Dato’ Seri Anwar melakukan liwat,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, kalau 30 juta rakyat Malaysia mempercayainya tetapi ahli PAS seramai sejuta orang tetap tidak percaya.
“Inilah prinsip Islam yang PAS pegang. PAS masih unggul, mutu dan bergaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2019

Anwar disebalik desakan Tun M letak jawatan?

MENARIK juga membaca kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi, bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berada “Di belakang tabir” usaha untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad dari jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.
Sebelum Dr Boo Cheng Hau dari DAP menyuarakannya, orang politik pertama yang mendesak supaya Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah aktivis PKR bernama Kim Quek yang nama sebenar beliau ialah Yong Thye Chong.
Kim Quek menyertai PKR pada 26 Ogos 2007 di mana kemasukan beliau ke dalam PKR ini diraikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar serta Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan lain-lain pemimpin PKR dalam satu majlis sambutan di Ibu Pejabat PKR.
Desakan supaya Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ini Kim Quek nyatakan dalam satu tulisan beliau yang bertajuk “Mahathir Must Step Down To Save Reformasi” yang disiarkan oleh portal berita Malaysia Kini pada 15 Disember 2018.
Kata Kim Quek, Tun Dr Mahathir “is no reformist”, “is reluctant to bring in institutional reforms”, “has not abandoned his racist conviction”, “has autocratic style of rule” dan “has never intended to honour the Harapan consensus of passing the premiership to Anwar”.
Dalam satu lagi tulisan Kim Quek yang bertajuk “Will This Be Mahathir’s Finest Moment?” yang disiarkan oleh portal berita Malaysia Kini pada 17 Disember 2018 pula disebut “Mahathir’s background would make him ill-fitted as leader of this reformist coalition”.
Sebaliknya, kata Kim Quek, pemimpin yang paling layak menggalas tugas Tun Dr Mahathir ialah Datuk Seri Anwar selaku “founder and leader of the Reformasi movement and successor-designate to Mahathir” di mana “Anwar would be a shoo-in for this task”.
Tulisan Kim Quek ini diikuti oleh beberapa tulisan lain oleh kolumnis-kolumnis portal berita Malaysia Kini yang mengulangi desakan sama, iaitu supaya Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan, khususnya P Gunasegaram, Francis Paul Siah dan S Thayaparan.
Begitupun, tidak diketahui sama ada ada dalang atau tidak di balik tulisan Kim Quek ini. - HARAKAHDAILY 24/2/2019

Saturday, February 23, 2019

4 soalan kepada Menteri Kewangan

APABILA ditanya berapa jumlah Hutang Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember 2018, YB Menteri Kewangan menjawab:
1. Kita ikut definisi IMF;
2. Hutang kerajaan masih melebihi RM1 trilion;
3. Hutang kerajaan termasuk jaminan kerajaan, contoh. 1MDB;
4. "Let me get the details".
Persoalan:
1. Adakah definisi Hutang Kerajaan Persekutuan oleh Bank Negara Malaysia berbeza dengan definisi hutang oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)?
2. Mengapa Kerajaan Malaysia tidak mengikut definisi hutang yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia?
3. Adakah Menteri Kewangan masih belum melihat 'balance sheet' Kerajaan Malaysia berakhir 31 Disember 2018, walaupun sudah hampir dua bulan akaun ditutup?
4. Di manakah rakyat boleh melihat jumlah Hutang Kerajaan Persekutuan yang tercatat di dalam akaun Kerajaan Persekutuan berakhir 31 Disember 2018?
SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi Pemuda PAS
22 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 22/2/2019

Najib: Kerusi kosong di program PH petanda apa?

PRK SEMENYIH | Bekas perdana menteri Najib Razak menyindir beberapa program anjuran Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya kurang mendapat sambutan, dan berkata ia merupakan pentanda awal BN akan menang.
Beliau mendakwa kehadiran penduduk Semenyih ke progam "bossku" lebih ramai berbanding sambutan terhadap acara PH, termasuk yang menampilkan timbalan presiden PKR yang juga bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan menteri besar sekarang Amirudin Shari.
"Azmin kata saya takut untuk datang (berkempen di Semenyih), tetapi saya tak takut. Saya juga tak pasti Azmin dapat sambutan seperti ini atau tidak.
"Malam ini kita buat program di Taman Tasik Kesuma, lebih 1,000 hadir. Ceramah MB (Selangor) saya tengok banyak kerusi kosong.
"Itu alamatnya apa? Petanda awal kita menang kali ini," katanya dalam program ceramah di Rinching, Semenyih malam tadi.
Selepas PRK Cameron Highlands, Najib sekali lagi giat berkempen di Semenyih dan sudah beberapa kali menyertai kempen bagi membantu calon BN Zakaria Hanafi.
Pemerhatian Malaysiakini mendapati program beliau lebih banyak bertumpu di kawasan '50-50' antara PH dan BN, seperti Bukit Mahkota, Beranang, Bandar Tasik Kesuma dan Bandar Rinching Seksyen 5-6.
Siri program 'bossku' Najib - penjenamaan semula beliau selepas PRU ke-14 dengan imej yang lebih santai serta penggunaan sindiran dalam kritikan terhadap PH - dilihat mendapat sambutan memberangsangkan.
Sebelum penamaan calon, Azmin berkata beliau ingin melihat sama ada Najib hadir ke Semenyih selepas mula menyertai kempen PRK dengan lebih aktif di Cameron Highlands.
Azmin juga secara tidak langsung mempersoalkan ketiadaan isteri Najib, Rosmah Mansor, dalam programnya. Ia berbeza ketika Najib masih menjadi perdana menteri apabila Rosmah sering di sisinya dalam majlis-majlis rasmi.
Sementara itu, Najib juga menyorot kembali pentadbirannya dengan berkata beliau sentiasa berusaha memberi kesenangan kepada rakyat ketika menjadi perdana menteri.
Antara yang dibangkitkannya ialah pemansuhan empat tol pada 2017, iaitu di Batu Tiga Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor, Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di Kedah dan tol Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor.
Katanya, ia berbeza dengan PH yang gagal melakukan perkasa sama walaupun ia terkandung dalam manifestonya.
Bagaimanapun untuk rekod, janji penghapusan tol secara berperingkat itu tidak termasuk dalam sepuluh janji 100 hari PH.

https://www.malaysiakini.com/news/465282

Muhyiddin: Tiada kompromi terhadap perbuatan hina agama

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan menghina agama yang boleh menjejaskan keharmonian di kalangan masyarakat.
Dalam kenyataan hari ini , beliau berkata mereka yang berbuat demikian akan ditahan mengikut proses undang-undang, dihadapkan ke mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan.
Beliau merujuk beberapa kes melibatkan dakwaan penghinaan terhadap agama baru-baru ini, antaranya peletakan berhala di sebuah surau di Klang dan dakwaan penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh seorang individu di laman sosial.
Beliau menyifatkannya sebagai "amat berbahaya" dan telah menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.
"Ini termasuk mesej-mesej penghinaan terhadap agama Islam yang disebarkan di media sosial," katanya lagi.
Siasatan polis mendapati berhala Datuk Gong yang diletakkan di Surau Sabihul Huda di Klang dicuri daripada sebuah rumah yang terletak 50m daripada surau itu, selepas pemiliknya membuat laporan polis.
Polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan mencemarkan tempat sembahyang dengan niat mencemarkan sesuatu agama.
Berhubung kes penghinaan terhadap Najib Muhammad pula, Muhyiddin berkata siasatan polis telah selesai.
"Saya percaya timbalan pendakwa raya akan membuat keputusan mengenai pendakwaan saspek tersebut di mahkamah dalam masa terdekat," katanya lagi.
Selasa lalu, Ketua Polis Pahang Mohd Zakaria Ahmad berkata suspek berusia 68 tahun itu telah ditahan di rumahnya di Mentakab pada 19 Februari lalu dan diserahkan kepada polis Batu Pahat, di mana laporan terhadapnya dibuat. 

https://www.malaysiakini.com/news/465289

Letak jawatan bukan pilihan buat Dr M

“Apa yang tidak membunuh anda akan membuatkan anda lebih kuat”, merupakan sebuah ungkapan ahli falsafah Jerman Friedrich Wilhelm Nietzshe.
Tindakan meminta Tun Dr Mahathir Mohammad untuk meletak jawatan, hanya kerana beliau mengatakan buku manifesto bukannya kitab suci, memperlihatkan niat Dr Boo Cheng Hau untuk menabur fitnah terhadap Perdana Menteri dan menafikan ruang yang diperlukan beliau untuk membaiki negara.
Pada umumnya, Pakatan Harapan adalah satu gabungan yang baru. Sebab itulah ramai yang masih meraguinya. Umno dan Barisan Nasional (BN), meskipun kini sudah pecah berderai dan masih tidak mampu bersatu, masih yakin bahawa Pakatan Harapan akan jatuh tersungkur menjelang 2023, atau mungkin lebih awal.
Muslihat mereka adalah mengipas api agama dan perkauman dengan memperlihatkan Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan yang tidak dapat - dan enggan - mempertahankan kepentingan politik dan identiti Melayu. 
Pada waktu yang kritikal ini, adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila Dr Boo Cheng Hau meminta peletakan jawatan Perdana Menteri, kerana ini menimbulkan krisis kepimimpinan dalam Pakatan Harapan sendiri.
Ditambah pula, walaupun dikatakan sudah ada calon Perdana Menteri seterusnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipersetujui semua pihak di dalam Pakatan Harapan, sebarang usaha untuk menukar pemimpin pada pertengahan penggal adalah sangat bahaya. Bukan hanya untuk politik identiti Melayu sahaja, tetapi Malaysia secara keseluruhannya.
Umno dan PAS, misalnya, telah berubah menjadi satu pakatan acuh tak acuh, seperti gerakan guerilla. Ada kalanya mereka mendakwa akan bekerjasama, ada kalanya mereka menafikan usaha sama tersebut. Yang pasti, mereka bertunjangkan rancangan dan kepentingan jangka masa pendek.
Terpedaya tipu helah Umno, PAS
Apabila Pakatan Harapan lemah, Umno dan PAS akan menghentam mereka secara bertalu-talu dengan pelbagai fitnah, terutamanya tuduhan yang DAP merupakan tuan boneka yang sebenar. Lagipun, Hadi Awang kini mempertahan dan mengakui pembohongan sebagai alat strategi.
Pada saat yang genting ini, dengan musuh daripada luar sedaya upaya cuba memecah-belahkan Pakatan Harapan, ia amat mengejutkan dan tidak masuk akal apabila Dr Boo Cheng Hau dengan begitu mudah terpedaya dengan helah Umno dan PAS. Malahan, DAP dan keseluruhan kepimpinan atasan pun tidak bersetuju dengan pandangan Dr Boo Cheng Hau.
Walau bagaimanapun, nasi sudah jadi bubur. Mengizinkan retorik peletakan jawatan Tun Dr Mahathir disiarkan di khalayak ramai memberi isyarat yang Dr Boo Cheng Hau sanggup menjadi lidah pembangkang.
Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh Dr Boo Cheng Hau: beliau harus menyoal dirinya sendiri - wajarkah beliau letak jawatan memandangkan fakta menunjukkan yang beliau telah terperangkap dengan godaan pembangkang? Jikalau beliau tidak mampu berdepan dengan kebenaran, jelas sekali beliau amalkan dwistandard terhadap diri beliau dan orang lain.
Dalam semua perihal berkaitan tempoh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr Boo Cheng Hau sepatutnya faham yang perihal tersebut bergantung kepada keputusan undi tidak percaya dalam parlimen, yang seharusnya dibuat dalam sesi Parlimen. 
Pelucutan jawatan Perdana Menteri adalah satu isu yang sangat serius, dan tidak boleh dipandang enteng. Dr. Boo Cheng Hau kelihatan cuba memperkecil proses di mana jawatan dan kuasa Perdana Menteri diasaskan. 
Kepada yang ingin melihat Tun Dr Mahathir turun, isunya adalah pengunaan kaedah yang betul. Persoalannya, bolehkah isu ini dibawa ke parlimen? Kalau tidak, Dr. Boo Cheng Hau tiada lokus standi sama sekali.
Pimpinan tertinggi PH telah pun menyuarakan sokongan penuh mereka terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Persembahan wayang kulit oleh pakatan durjana baru, Umno-PAS-MCA, terkecundang lagi. 
Fokus paling utama PH semestinya ke arah membangunkan negara melalui perlaksanaan janji-janji Manifesto. Perkara selain itu hanyalah kicauan burung.

RAIS HUSSIN merupakan Presiden & CEO EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, kesederhanaan, inovasi dan kerapian.

https://www.malaysiakini.com/news/465305

Anwar dapat faedah jika berlaku undi tak percaya kepada PM

Pengalaman PAS sebagai parti tertua di dalam negara banyak mengajar parti itu dalam mengenal kawan mahupun lawan dalam dunia politik. 

Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sikap berpura-pura, tikam belakang dan berbuat apa saja asalkan tercapai cita-cita di kalangan lawan cukup masak diketahui PAS. 

Justeru, mengulas mengenai penafian Ketua Setiausaha PH akan adanya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang dan menyatakan Majlis Presiden PH kekal menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, Ustaz Khalil berkata, Datuk Saifuddin Abdullah patut memberitahu rakyat bilakah kali terakhir Majlis Presiden PH bersidang. 

Selain itu, katanya, Saifuddin patut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH. 

“Jika dua atau tiga bulan lepas ia tidak masuk akal kerana di dalam politik, esok macam-macam boleh jadi. Seperti kata Menteri Kewangan minggu lepas, Da Ma Cai yang menaja rombongan pegawai kanan PDRM ke Turki, sekarang sudah pusingan-U pula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ustaz Khalil turut membidas teori tidak masuk akal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahukan usul gerakan undi tidak percaya ke atas Dr Mahathir pada sidang Dewan Rakyat tidak lama lagi. 

Beliau menegaskan, PAS langsung tidak mendapat apa-apa faedah jika berbuat demikian mahupun menyokong usul sedemikian. 

Sepatutnya, beliau berkata, wajar dikaji siapa yang untung jika berbuat demikian serta siapa yang benar-benar marah bila PAS bangkitkan kisah ini. Sekali lagi sejarah tidak pernah menipu. 

“PAS tidak mendapat apa-apa faedah jika berlaku undi tidak percaya, yang paling mendapat faedah ialah Anwar. Jika kita lihat reaksi pertama beliau ketika mula kecoh isu ini, beliau memang marah dan tidak sangka tindakan beliau di belakang tabir dihidu PAS. 

“Semua orang tahu Anwar idamkan jawatan Perdana Menteri, begitu juga semua orang tahu bagaimana DAP tidak percaya kepada Dr Mahathir. 

“Ketika cubaan Anwar pada 2008, ia terhalang apabila Speaker Dewan menolak usul tersebut namun dengan Nga Kor Meng dari DAP menjadi Speaker Dewan Rakyat kali ini, usul tersebut akan mendapat laluan mudah jika diangkat,” katanya.

http://mindarakyat.blogspot.com/2019/02/anwar-dapat-faedah-jika-berlaku-undi.html

Mana Clare dapat dana bayar peguam?

Anggota BN yang juga seorang peguam, Adzly Abd Manas mempersoalkan sumber kewangan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown ketika berdepan saman daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dia berkata sumber kewangan PAS jelas tetapi tiada pihak yang bertanya bagaimana Clare membiayai bayaran guaman.

“Untuk meneruskan kes litigasi ini kosnya amat-amat tinggi. Kita sudah tahu PAS memang dapat (dana) daripada ahli, orang panggil 'tin milo' (tabung derma).

"Tetapi kita tak pernah tanya pun mana Clare dapat duit. Agak-agaknya dia dapat duit daripada mana untuk cari (dan bayar) peguam?" soalnya ketika Program Bual Bicara Santai Bawang Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih di bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) Taman Kantai Permai semalam.

Adzly mempertahankan keputusan Hadi untuk menyelesaikan saman itu di luar mahkamah dengan berkata ia bagi mengelakkan pembaziran wang dan masa.

“Kalau diteruskan kita hanya menghabiskan masa dan duit nak bayar peguam sahaja. Mana nak cekau duit ni?" soalnya lagi.

Dia turut mempersoalkan langkah Clare yang tidak meneruskan tuntutan balasnya terhadap Hadi walaupun boleh berbuat demikian.

“Dalam kes litigasi, apabila plaintif atau penuntut (claimant) menarik kes, tuntutan balas oleh defendan akan menjadi tuntutan utama (main suit) secara automatik. Maknanya dia (Brown) boleh teruskan saman," katanya lagi.

Dalam penyelesaian luar mahkamah antara Hadi dengan Clare pada 1 Februari lalu, Hadi menarik balik tuntutan daripada defendan; manakala Clare selaku defendanmenarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi; serta tiada perintah berkenaan kos untuk kes itu.

Kedua-dua pihak juga dilaporkan tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian ini

Abdul Hadi mengambil tindakan undang-undang terhadap Brown di London pada 21 April 2017.

Ia selepas laporan portal Sarawak Report mendakwa pemimpin PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

http://mindarakyat.blogspot.com/2019/02/mana-clare-dapat-dana-bayar-peguam.html