Monday, October 21, 2019

BMF: Asmuni jangan politikkan kehendak umat

DEWAN  Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) menyelar tindakan Asmuni Awi yang melarang kempen BMF di masjid dan pernyataan bahawa kempen ini BMF berunsur politik.

Pemuda PAS seluruh Negeri Perak berdiri teguh bersama Jabatan Mufti Negeri Perak dalam menyokong kempen mengutamakan produk Muslim seperti yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi Mufti bertarikh 10 September 2019.

Larangan mengadakan kempen Buy Muslim First (BMF) di masjid serta menuduhnya sebagai gerakan politik pihak tertentu menunjukkan paranoid tidak masuk akal oleh Exco Kerajaan PH Negeri Perak, Asmuni Awi.

Malah, beliau sendiri tanpa sedar telah menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk bertindak melampaui kuasanya hingga bertindak memanggil Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zambri Hashim untuk menemuinya.

Ianya jelas bersifat memaksa yang boleh ditafsirkan sebagai keangkuhan diri, walhal pihak Mufti berada di bawah kuasa Tuanku Sultan serta bertanggungjawab terhadap baginda.

Kami juga kesal Asmuni bermain istilah secara mengelirukan dengan membawa pemisahan antara halal dan Muslim, sedangkan keduanya sangat berkaitan.

Secara nyata, hakikatnya Asmuni telah dilihat cuba campur tangan terhadap perkara ini secara tidak wajar, justeru DPPN Perak menyeru agar kita berdiri teguh bersama Jabatan Mufti Negeri Perak dan mempertahankan pendirian Jabatan Mufti dalam memastikan kempen ini terus bergerak dengan baik sehingga umat islam bersatu dalam perjuangan memperkukuhkan ekonomi ummah ini.

HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak - HARAKAHDAILY 20/10/2019

No comments: