Sunday, April 26, 2020

Pertubuhan Rohingya mohon maaf, tak sependapat dengan Zafar

Suatu gabungan pertubuhan berkaitan pelarian Rohingya membidas kenyataan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani, serta memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani 17 pertubuhan berkenaan, mereka menyifatkan kenyataan Zahar itu sebagai tidak bertanggungjawab dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu terbabit.
Menurut NGO berkenaan, Zafar - yang mengeluarkan kenyataan sehingga menimbulkan salah faham serta sentimen negatif kepada pelarian Rohingya - tidak pernah dilantik sebagai presiden mereka.
"Dia (Zafar) bukan pemimpin kami dan sebenarnya kami tiada pemimpin di Malaysia. Dia tiada hak untuk mengeluarkan kenyataan mewakili kami.
"Oleh itu, semua pelarian Rohingya menentang kenyataan yang tidak realistik dan tidak bertanggungjawab itu.
"Dia telah digunakan oleh musuh kita di sini dan di Myanmar untuk mencemarkan imej kami mengganggu perlindungan sementara yang aman di Malaysia sementara kita menunggu sama ada untuk kembali ke Myanmar atau akan ditempatkan semula ke negara ketiga," kata kenyataan itu, hari ini.
Isu Rohingya menjadi perhatian ramai di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa memintas cubaan sebuah bot membawa pelarian Rohingya memasuki negara ini pada 16 April lalu.
Nafi buat kenyataan
Bot tersebut membawa kira-kira 200 orang Rohingya yang mahu memasuki Malaysia menerusi perairan Langkawi.
Tindakan itu mendapat perhatian Zafar yang kemudiannya mengeluarkan kenyataan supaya kerajaan bertanggungjawab terhadap pelarian berkenaan.
Zafar turut didakwa mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Malaysia, menuntut hak kerakyatan penuh.
Bagaimanapun, dia menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu.
Kenyataan Zafar termasuk surat tuntutan yang tersebar di media sosial telah menimbulkan rasa kurang senang rakyat negara ini.
Polemik terbaru itu juga menyaksikan sesetengah pihak membangkitkan masalah yang dibawa etnik Rohingya dan menjadikan ia sebagai salah satu alasan menjustifikasi sikap kerajaan sekarang.
Dalam kenyataan itu, NGO berkenaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang membenarkan mereka tinggal di negera ini.
"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua rakyatnya kerana membenarkan kami tinggal di negara ini buat sementara waktu.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan beliau namun kami tidak mempunyai kuasa untuk menghalang beliau daripada berbuat demikian," menurut kenyataan itu lagi
Kenyataan itu turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Zafar berdasarkan undang-undang negara ini.
malaysiakini.com/news/522624

ADUN Penaga terjah kegiatan judi terselindung

KEPALA BATAS: Kegiatan perjudian atas talian yang berselindung disebalik premis perniagaan tambah nilai telekomunikasi telah mendapat perhatian serius ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah di Simpang Tiga Tok Labu, di sini kelmarin.

Bertindak atas aduan penduduk, beliau bersama Imam Masjid Permatang Tok Labu, Saad Don dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Pasir Gebu dan Tok Labu, Azhar Hasanuddin telah melakukan tinjauan.
Ternyata aduan penduduk benar di mana premis sama yang sebelum ini pernah dua kali diserbu polis masih menjalankan operasi sama di mana Ustaz Yusni serta-merta menghubungi pemilik kedai sebelum bersetuju menutupnya.
Terdahulu, beliau dalam Sidang DUN pada 17 April lalu telah mengemukakan soalan bertulis berkaitan di mana pihak kerajaan mengaku memandang serius isu berkenaan dan telah menutup 9 premis berkaitan.
Ustaz Yusni juga dalam pada itu berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kerjasama pihak polis dapat mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas premis-premis yang masih degil beroperasi.
DUN Pnaga mempunyai 91.2 peratus penduduk Melayu, 7.5 peratus berbangsa Cina dan 0.39 peratus India dengan selebihnya lain-lain bangsa iaitu 0.19 peratus. – HARAKAHDAILY 25/4/2020

Ahli majlis pimpinan Wanita PKR persoal pemecatan ahli

Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR mempersoalkan tindakan lembaga disiplin parti itu yang menggantung dan memecat sekurang-kurangnya 500 anggota parti, termasuk Ketua Wanita PKR Haniza Mohd Talha dan Adun Batu Lintang See Chee How.

Ginie Lim Siew Lin hari ini mendakwa tindakan tersebut, termasuk meminta Naib Presiden PKR Tian Chua mengemukakan surat tunjuk sebab memperlihatkan parti itu menyimpang jauh daripada prinsip terasnya iaitu prinsip keadilan.

Beliau turut menggesa tindakan tersebut dihentikan supaya semua pimpinan parti dan ahli dapat bekerjasama untuk memerangi wabak Covid-19.

Lim yang juga Ketua Wanita PKR Melaka itu menambah bahawa PKR menggunakan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kini dilaksanakan di negara sebagai peluang untuk menggantung ahli supaya dapat menghalang sebarang protes atau bantahan.

Adun Machap Jaya itu turut mendakwa bahawa tindakan tersebut jelas dibuat secara terburu-buru ekoran mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) secara dalam talian pada 21 Mac.

“Namun dalam mesyuarat tersebut tiada nama dibentangkan untuk MPP menentukan sebarang hukuman seperti memecat atau menggantung keanggotaan, atau melucut atau menggantung jawatan mengikut Perkara (d) Fasal 9 Perlembagaan Parti.

“Maka sejauh manakah pelucutan keanggotaan mematuhi Fasal 9 Perlembagaan Parti. Apakah kes membabitkan aduan diterima oleh Lembaga Disiplin (LD) disiasat dan dikemukakan cadangan keputusan untuk MPP menentukan hukuman?

“Apakah mesyuarat tergempar MPP pada 21 Mac memberi kuasa kepada Setiausaha Agung untuk menentukan sebarang hukuman bagi kes membabitkan aduan anggota parti?,” katanay dalam satu kenyataan media hari ini.

Turut dilaporkan sebelum ini ahli PKR lain seperti Ketua penerangan sayap Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah yang dikenali sebagai Ratu Naga juga menerima surat rasmi pemecatannya pada 9 April lalu.

“Persoalan sekarang bukan berkenaan political survival Tian Chua, Haniza Talha mahupun See Chee How, ataupun mereka yang mengisytihar keluar parti, tetapi persepsi umum terhadap parti yang mengamalkan budaya pilih kasih dan pendakwaan berpilih terhadap mereka yang berani menyuarakan pandangan berbeza.

“Presiden (PKR) Anwar Ibrahim sendiri pernah menjadi mangsa pendakwaan berpilih dan konspirasi politik. PKR telah ditubuhkan untuk melawan ketidakadilan bagi mengembalikan pada tempatnya yang betul.

"Maka, amat mendukacitakan apabila parti menghakimi anggota parti disebabkan perbezaan pandangan dan tindakan yang dianggap menjejaskan kepentingan parti.

"Hukuman atas sebab jenayah fikiran (thoughtcrime) dan pencegahan awal (pre-emptive) akan terus menghakis semangat demokrasi dan progresif parti,” katanya.

Lim juga menggesa supaya parti tersebut tidak melupakan ulang tahun Black 14, yang merujuk ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar terhadap empat tuduhan rasuah pada 14 April 1999 dan aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001.

https://mindarakyat.blogspot.com/2020/04/tanda-tanda-nak-retak-lagi-pkr-ahli.html

Laut China Selatan punca perang dunia ketiga?

Mutakhir ini tersebar berita kapal-kapal perang China dan Amerika sedang berlegar di Laut China Selatan sehingga dikatakan mengganggu kerja penggalian minyak oleh Petronas. Kapal perang Australia juga dilihat meronda bersama dengan kapal Amerika. Ini menyebabkan kegelisahan negara-negara yang ada kepentingan di Laut China Selatan (LCS).
Apa pentingnya LCS?
Umum mengetahui bagaimana China telah mendakwa bahawa LCS adalah milik mereka walaupun mendapat bantahan dari negara-negara persisiran; Malaysia, Vietnam dan Filipina. Apa tidaknya, bukan saja LCS adalah laluan strategik perdagangan antarabangsa tetapi mempunyai khazanah yang cukup bernilai:
  1. 11 bilion tong simpanan minyak mentah
  2. 190 trillion meter kubik gas asli
  3. 30% barang dagangan dunia lalu di sini.
  4. 10% sumber perikanan dunia
Dengan nilai yang begitu tinggi dan kepentingan dagangan yang penting, maka adalah sesuatu yang logik LCS menjadi rebutan semua negara persisiran.
China telah mendakwa bahawa 80% dari LCS adalah milik mereka berdasarkan sejarah perjalanan maritim mereka pada kurun ke-15. Malah mereka telah melakar sempadan sendiri di LCS apa yang dikenali sebagai “9 Dash Line” (bawah). Ini bertentangan sama sekali dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa–bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (Unclos). Konvensyen ini menyatakan bahawa sesebuah negara hanya boleh memiliki kawasan laut sejauh 200 batu nautika (exclusive economic zone) dari perairan mereka. Tetapi ini semua tidak diendahkan China.
Satu ketika Kepulauan Spratly adalah merupakan pulau-pulau kecil yang tidak mempunyai penghuni tetapi kini China telah membina tujuh pusat ketenteraan yang melingkungi kawasan tersebut apa yang dinamakan sebagai “The Cabbage Strategy”. Bukan itu saja pada tahun 2015 China telah menamakan kawasan LCS sebagai “air identification zone” yang menghendaki setiap kapal terbang yang lalu di atas kawasan LCS perlu mendapat keizinan mereka. Ini sesuatu yang melanggar undang-undang dunia tetapi sekali lagi tidak diendahkan.
Malaysia, Vietnam dan Filipina pernah mengemukakan bantahan tentang tuntutan China tersebut tetapi telah menarik balik bantahan itu sehari selepas ia dikeluarkan. Ini disebabkan bukan saja negara-negara berkenaan tidak “berani” melawan kehebatan tentera China tetapi kerana negara-negara tersebut mempunyai pelaburan yang besar dari syarikat China.
Adakah ini merupakan permulaan kepada Perang Dunia Ketiga?
Kita tidak pasti tetapi melihat keadaan yang berlaku sekarang sudah pasti Amerika Syarikat tidak akan berdiam diri. Ada banyak sebab kenapa kemungkinan peperangan akan berlaku di LCS antaranya:
  1. LCS dianggap kawasan strategik oleh Amerika bagi menjaga kepentingan ketenteraan dan ekonomi mereka.
  2. Amerika sangat takut China akan mengatasi kuasa mereka dalam ekonomi dunia.
  3. Nilai dolar semakin jatuh dan jika Covid-19 ini berpanjangan, pakar ekonomi menjangkakan dunia tidak lagi menjadikan USD sebagai sandaran.
  4. Harga minyak West Texas Intermediate (WTI) telah jatuh bawah paras negative menyebabkan pendapatan negara Amerika menjunam.
  5. Pengangguran di Amerika Syarikat sudah meningkat ke 22 juta orang dan dijangka akan mencecah 44juta sekiranya wabak COVID-19 ini berterusan.
  6. Rumah Putih sudah melabelkan bahawa virus Covid-19 ini adalah chinese virus untuk menanam rasa benci penduduk Amerika kepada China.
Tuntutan China terhadap Taiwan yang dianggap sebahagian dari tanah jajahan mereka juga merupakan faktor besar kemungkinan peperangan akan berlaku. Keengganan Taiwan untuk tunduk kepada tuntutan ini telah menimbulkan kemarahan China tetapi China tidak boleh berbuat apa-apa kerana terikat dengan perjanjian The Sino-American Mutual Defense Treaty antara China dan Amerika yang memberikan Amerika hak membantu Taiwan dari sebarang ancaman penaklukan dari China. Persoalannya; apakah China akan patuh dengan perjanjian ini kerana dalam masa yang sama mereka telah menjalankan dua latihan ketenteraan berhampiran dengan sempadan Taiwan?
Pada tahun 2015 Steve Bannon yang merupakan ketua strategik ketenteraan AS dan kini orang kanan Presiden Trump pernah mengatakan bahawa peperangan antara China dan Amerika sesuatu yang akan berlaku dalam masa lima hingga 10 tahun dari tarikh tersebut. Semalam Menteri Luar Amerika Michael R.Pompeo telah mengeluarkan kenyataan membantah sikap China di perairan LC:
“The CCP is exerting military pressure and coercing its neighbors in the South China Sea, even going so far as to sink a Vietnamese fishing vessel. The U.S. strongly opposes China’s bullying and we hope other nations will hold them to account too.”
Ini semua adalah indikator betapa gentingnya suasana di LCS. Apakah ia akan berakhir dengan peperangan? Semestinya kita semua tidak mahu kerana bukan saja dunia kini berdepan dengan Covid-19 malah impaknya kepada negara adalah kemusnahan yang besar. Malaysia dan negara-negara Asean harus segera bertindak bersatu mempertahankan kepentingan dan kedaulatan kita semua.

AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

PM: Menteri tetap bekerja semasa PKP

Perdana menteri, Muhyiddin Yasin memberi jaminan bahawa barisan menteri tetap melaksanakan tugas mereka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa menteri kabinet tidak melakukan tugas mereka semasa PKP.
Muhyiddin menjelaskan bahawa pada masa ini, beliau memutuskan hanya dua wakil sebagai jurucakap iaitu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
"Tu sengaja saya buat supaya tak terganggu (dengan banyak jurucakap).
"Tak bermakna menteri tak jalankan tugas. Dalam keterbatasan PKP pun mereka harus jalankan tugas.
"Orang kata menteri tak kerja. (Sebenarnya) Menteri kerja. Dalam dua bulan ni tak ada gaji pun. Sumbangan gaji diserah kepada kerajaan," jelasnya dalam satu program temu bual yang disiarkan RTM, Astro Awani, TV3 dan Bernama TV malam ini.
Kabinet pada Mac lalu mengumumkan pemotongan gaji selama dua bulan bagi barisan kabinet.
Muhyiddin berkata menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan juga diingatkan agar mereka tidak tidak dibebani dengan kerja tertunggak selepas PKP berakhir.
"Jangan nanti dah buka (habis) PKP, backlog (kerja) bertimbun-timbun kerana hampir sebulan dua tak kerja.
"Bukan sahaja peringkat menteri, pegawai-pegawai lain pun saya dah ingatkan," katanya.
Proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan
Sementara itu, Muhyiddin berkata proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan perlu lebih menyeluruh bagi memudahkan rakyat menyesuaikan diri dengan normal baharu, lapor Bernama.
Beliau berkata ia penting untuk dimanfaatkan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan dan perniagaan sekaligus membawa ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih maju dan berkembang.
“Saya dimaklumkan, sistem e-kerajaan ketika ini mungkin baru 30-40 peratus. Maka saya sudah arahkan supaya kita segerakan dan percepatkan supaya dalam mana-mana keadaan masyarakat sekalipun, kalau kerajaan sudah mendahului maka rakyat akan menyesuaikan keadaan.
“Proses pendigitalan baik dalam soal pentadbiran kerajaan, dalam urusan perniagaan, dalam kehidupan harian ini akan menjadi satu trend masa depan kita dan saya kira kesan penggandaan akan berlaku.
“Ini satu perkembangan menggalakkan, satu trend baru dan saya kira kalau ekonomi Malaysia ke hadapan, ia tidak boleh seperti yang ada sekarang, mesti melihat dalam bentuk-bentuk baru seperti mana yang saya sebutkan tadi,” katanya.
https://www.malaysiakini.com/news/522578

Muhyiddin: Rakyat dah muak dengar cerita politik

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata rakyat Malaysia kini sudah muak untuk mendengar cerita-cerita politik.
Menurutnya, beliau kini memberi tumpuan dalam menangani krisis Covid-19, berbanding mengulas isu-isu politik seperti keabsahan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajuinya.
"Saya dalam kerajaan, sejak awal saya duduk di kerusi PM saya tak fikir soal politik. Rakyat tak nak dengar dah, dah muak cerita-cerita tu.
"Yang mereka nak tahu apa kerajaan buat, apa PM, jemaah menteri, pentadbiran ni laksanakan untuk menangani isu penting yang mereka hadapi
"Saya tak ada dalam kenyataan sebelum ni, hatta sekarang ni, nak mengulas soal-soal berkaitan politik. 
"Nanti orang kata soal Covid-19 tak selesai, dia cerita soal parti dia, gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia, ni rakyat tak minat. Saya faham tentang itu," katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam wawancara dengan RTM dan Astro Awani malam ini.
Februari lalu, Muhyiddin yang merupakan presiden Bersatu mengumumkan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah gabungan kerajaan baru.
Bagaimanapun, pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad kemudian meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas tidak bersetuju dengan langkah tersebut. 
Krisis politik selama seminggu itu menyaksikan negara tidak mempunyai kerajaan.
Yang di-pertuan Agong akhirnya memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas menerima sokongan daripada BN, PAS, GPS, kumpulan penyokong dari Bersatu dan anggota parlimen PKR yang diketuai Azmin Ali.
Bagaimanapun, PH mempersoalkan dakwaan Muhyiddin mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.
Muhyiddin juga menghadapi masalah dalam partinya sendiri, apabila Mahathir memilih untuk berada dalam blok pembangkang di parlimen, menandakan kali pertama dalam sejarah sebuah parti berada dalam blok kerajaan dan pembangkang.
Muhyiddin mengisytiharkan pelaksanaan PKP selepas 17 hari mengambil alih jawatan perdana menteri apabila kes jangkitan Covid-19 meningkat secara mendadak.
Perintah itu dilanjutkan sehingga 12 Mei dan setakat ini jumlah kes jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan.
Kerajaan PN menghadapi tugas sukar untuk memulihkan semula ekonomi yang telah terjejas teruk akibat wabak berkenaan dan penguatkuasaan PKP.


Antiklimaks, kata Afif lepas digantung PKR

Bekas timbalan ketua AMK Dr Afif Bahardin digantung daripada PKR sementara menunggu siasatan disiplin terhadapnya.
Adun Seberang Jaya itu mendakwa beliau menerima surat penggantungan pada Jumaat lalu.
Afif, yang juga penyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, menyifatkan tindakan parti terhadapnya itu sebagai "antiklimaks."
Bagaimanapun, berdasarkan surat yang dikongsi Afif malam tadi, keputusan penggantungannya dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR pada 21 Mac lalu.
"Sebagaimana yang banyak dijangka; saya cuma menerima “notis penggantungan tanpa sebarang tuduhan.”
"Memang antiklimak (emoji lega). Selamat berpuasa," katanya pada ciapan di Twitter malam tadi.
Walaupun, beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut maksud kicauannya itu, Afif sebelum ini memberitahu Malaysiakini beliau "cuma menunggu keputusan parti untuk sama ada memecatnya atau tidak."
Sementara itu, ketika dihubungi hari ini, Afif mempertikaikan keputusan penggantungan terhadapnya itu.
"Adakah anda fikir ia proses yang adil?" Soalnya.
Bagaimanapun, beliau enggan menjawab soalan sama ada akan merayu tindakan disiplin itu atau keluar PKR.
Kata Afif, tumpuannya kini untuk berkhidmat di kawasan dewan undangan negeri yang diwakilinya.
"Dengan keadaan PKP, Alhamdulillah saya ada banyak masa untuk fokus berkhidmat di kawasan saya. Rakyat dalam keadaan amat memerlukan bantuan," katanya lagi.
PKR melancarkan siasatan disiplin terhadap Afif selepas Azmin keluar dari parti itu untuk bergabung bersama Bersatu, Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
Tindakan Azmin, yang digelar "langkah Sheraton" telah menyebabkan keruntuhan pentadbiran Pakatan Harapan yang mendapat mandat menjadi parti pemerintah selepas PRU14 pada 2018.