Sunday, May 31, 2020

PH Boleh Kembali Mentadbir Dengan Strategi Yang Betul

1) Psywar banyak sangat pun lama-lama orang bosan. Dah la buat psywar rambang. Langkah Sheraton tu takda psywar apa-apa pun, tetiba jadi. Puncanya adalah pada 'notch' besar dalam kerajaan PH, bukan sebab psywar lawan. Dalam ilmu kejuruteraan bahan, notch adalah benda yang mesti dielakkan pada bahan untuk kuat menjadi bahan struktur.

2) Nak tumbangkan kerajaan serapuh PN pun kena lah cari 'notch' dulu. Notch inilah yang seterusnya akan menyebabkan pemusatan stress (stress-concentration) yang akan memulakan keretakan menular (crack-propagation) dan akhirnya akan berlaku kegagalan (failure).

3) Notch dalam PH adalah Team Azmin dan krisis dalaman PKR. Crack propagation yang berlaku dah parah. Tunggu masa sahaja untuk gagal. Tak perlu ada psywar daripada lawan, sebab pihak lawan pun tahu dah, barang dah nak patah.

4) Dalam kerajaan PN, notch ada banyak. Hubungan GPS- PAS ada notch kecil. Hubungan UMNO-PPBM ada notch besar. Hubungan MCA-PAS ada notch juga. Hubungan PAS dan UMNO boleh lah cuba create notch. Dengan adanya notch-notch ini, psywar boleh dihalakan kepada notch-notch ini supaya berlaku crack-propagation. Bukan buat psywar rambang. Aim kepada notch yang nampak boleh makan.

5) Kalau boleh pecahkan UMNO-PPBM, ia adalah sebuah kejayaan besar untuk memusnahkan kerajaan PN. Nak create notch antara PAS-UMNO, boleh. Tapi saya fikir, PAS-UMNO ada solution untuk modify bentuk notch tersebut supaya tidak berlaku crack-propagation.

6 ) Psywar walau hebat setara mana pun, hanyalah boleh mengujakan penyokong sendiri. Dia punya seronok macam esok dah nak bertukar kerajaan. Sendiri bikin psywar, sendiri lalok berkhayal. Pihak lawan rileks saja. Ada laa dua tiga kerat pihak lawan yang termakan, tapi tidak menggugat apa-apa struktur. So, tukarlah strategi dulu. Ganbatte yoh, PH!
Sekian

Dr Tanaka Mustafa
(Ketua Lujnah Penerangan SENPAI Ltd)

Meskipun PH ada nombor, hubungan tegang Dr M - Anwar jadi penghalang

Pada tahun 2018, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim mengenepikan perbezaan mereka untuk menumbangkan kerajaan BN, namun hubungan kedua-duanya kembali tegang dengan isu peralihan kuasa.
Malah ketika berada dalam pembangkang kini pun, hubungan tegang semakin meningkat antara kedua-dua kem ketika cakap-cakap mengenai pertukaran kerajaan semakin kedengaran.
Pemimpin terkemuka dalam kalangan mereka yang rapat dengan Mahathir dan Anwar berkata kepada Malaysiakini, kedua-dua tokoh itu yakin Perikatan Nasional (PN) tidak lagi mempunyai majoriti untuk menjadi kerajaan dan oleh itu saling bersaing untuk membentuk gabungan baru.
Namun, sekiranya "Pakatan Harapan ++" membentuk gabungan baru, persoalan utama daripada hubungan dingin Mahathir dan Anwar tetap sama - siapa yang akan menjadi perdana menteri?
Anwar adalah pemimpin gabungan Pakatan Harapan (PH) secara rasmi.
Namun, menurut sumber, Anwar hanya mendapat sokongan padu sebagai perdana menteri daripada partinya sendiri, PKR.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad misalnya secara terbuka berkata PH telah mengenal pasti calon perdana menteri jika gabungan itu kembali menerajui kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, Khalid tidak mendedahkan nama calon berkenaan, yang secara tersirat menjelaskan Anwar bukan pilihan PH.
Menurut sumber terdekat PKR yang rapat dengan lingkaran kepemimpinan tertinggi, perkara itu tidak diterima dengan baik oleh Anwar.
"Dia (Anwar) sangat sabar sebelum ini. Tetapi sekarang, dia percaya kini adalah gilirannya untuk memimpin reformasi yang diusahakan PH," kata sumber itu, merujuk kepada perjanjian PH sebelum PRU14 bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri sebelum peralihan kuasa diberikan kepada Anwar.
Menurut sumber, Khalid memberi maklum balas sedemikian susulan pertemuan Anwar dan Muhyiddin, di mana Muhyiddin meminta presiden PKR itu bergabung dalam Perikatan Nasional sebagai kerajaan.
Pada 29 Mei lalu, Anwar mengesahkan beliau ditawarkan jawatan PM atau TPM jika menyertai kumpulan yang mengkhianati parti itu, namun menolaknya.
Akhirnya dua-dua rugi
Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan siapa yang membuat tawaran tersebut.
"Apa yang dia (Khalid) lakukan dalam sidang medianya itu perlu difahami sebagai apa yang kita sebut sebagai 'insurans' [...] untuk memberi isyarat kepada Anwar agar tidak membuat perjanjian dengan Muhyiddin," kata sumber.
Walaupun Anwar mengakui menolak tawaran tersebut namun difahamkan kepimpinan PN kini sedang mengorak langkah membuat tawaran baru, seperti gabungan yang melibatkan anggota parlimen dari pelbagai parti tetapi bukan mereka yang mempunyai masalah.
Sumber Amanah dan DAP memberitahu Malaysiakini, sebilangan ahli parlimen mereka kini lebih cenderung kepada Mahathir berbanding Anwar.
Ini kerana "Langkah Sheraton" sebelum ini dikatakan telah menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.
"Dia asyik cakap dia ada nombor (majoriti). Kemudian dia sokong Mahathir. Dan akhirnya, kedua-duanya rugi," kata sumber DAP.
Tokoh DAP lain pula memberitahu Malaysiakini bahawa sekiranya Anwar dan penyokongnya enggan membentuk kerajaan hanya kerana Mahathir adalah calon perdana menteri maka "Pakatan Harapan ++" akan kekal sebagai pembangkang.
"Menolak untuk membentuk kerajaan hanya kerana Mahathir sama dengan mengabsahkan pentadbiran Muhyiddin. Anwar akan melakukan politik bunuh diri jika menganggap Mahathir sebagai musuh yang lebih besar daripada Muhyiddin dan Azmin Ali," kata sumber itu.
Sekalipun Anwar bersetuju Mahathir kembali memimpin negara, ramai ahli parlimen PKR tidak bersetuju, termasuk penyokong setianya Abdullah Sani yang menolak idea tersebut.
"Mahathir ada majoriti? Dari mana dia dapat angka tu? Dia hanya ada lima (sokongan) dan mungkin jika digabungkan dengan Warisan, dia akan dapat 14. Jadi jika dia tak mahu bergabung dengan kami, dia hanya ada itu saja," katanya.
Tambah Abdullah Sani beliau percaya Anwar mempunyai majoriti sekarang walaupun beliau tidak menyatakan berapa banyak sokongan diperolehi Anwar.
Sementara di pihak Mahathir, penyokong bekas perdana menteri itu percaya beliau akan mendapat sokongan antara "129 dan 137 anggota Parlimen" dari pelbagai pihak termasuk yang kini berada dalam PN.
"Usaha mendapatkan sokongan GPS (Gabungan Parti Sarawak) sedang diusahakan. 
"Tetapi GPS telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka hanya akan menyokong kerajaan semasa, jadi setelah kami mendapat majoriti, kami yakin mereka juga akan bersama," kata sumber berkenaan.
malaysiakini.com/news/528006

Kenapa dia tak pernah beritahu sesiapa tentang meeting pagi hari Langkah Sheraton ini?

Baru tadi, pegawai PM7 Adam Mukhriz mengesahkan gambar PM7 dengan pemimpin-pemimpin UMNO, PAS, GPS, Warisan, PM8 dan Azmin Ali memang diambil pada pagi 23 Feb 2020 iaitu hari Langkah Sheraton.
 
Sebab itu, saya kongsi semula apa yang sebenarnya berlaku:

1. Dia tak suka DAP. Dia tak suka Anwar jadi PM. Dia dah tak tahan dengan tekanan DAP dan geng Anwar terhadap dia tapi dia perlu bertahan kerana jumlah kerusi parlimen DAP dan PKR jauh lebih banyak banding dia.

2. Parti PPBM dia mahu keluar dari PH secepat mungkin kerana bimbang kalah pada PRU15 akan datang setelah 5 kali kalah PRK kepada BN. Dia juga sokong.

Siapa nak bersama orang yang sendiri mengaku akauntan gagal ataupun orang yang difitnah ada ijazah?
3. Dia juga yang menyokong parti BN dan PAS bergabung dengan PPBM. Sebab itu, geng dia asyik cari dan pujuk kita (termasuk saya) sejak berbulan-bulan lagi.

Untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, dia pun letak jawatan tanpa memberitahu atau berunding dengan pemimpin-pemimpin PH.

Lalu, dia umum bahawa dia mahu buat kerajaan perpaduan semasa dia PM interim. (ramai dah lupa cerita ini)

Dengan cara ini, dia boleh pilih ahli-ahli parlimen yang totok pada dia sahaja untuk sokong dia sebagai PM tanpa mengambil kira tekanan parti atau pemimpin parti.

Boleh ambil dari BN, PAS, PKR, DAP, PAN (entah kenapa nak ambil dari PAN, saya tak tahu kenapa) dan dari parti-parti Sabah/Sarawak.

Asalkan totok pada dia sudah cukup. Dia pun boleh pecah-belahkan kuasa parti masing-masing.
Dengan cara ini juga dia tidak lagi di bawah tekanan mana-mana parti politik.
Suka hati dia nak buat dan lantik siapa jadi PM.

Tapi malangnya bagi dia, UMNO, PAS, PKR dan DAP pun tak setuju dengan dia kerana ini akan melahirkan seorang diktator dengan kuasa tanpa batas.

UMNO dan PAS juga tidak boleh terima bekerjasama dengan orang DAP.
Parti GPS Sarawak pun tak mahu duduk bersama DAP kerana bau hancing terlalu kuat.
Yang setuju dengan dia cuma Pak Kadir seorang. (memang tugas Pak Kadir cuma 100% taat setia pada dia dari dulu-dulu lagi)

Oleh kerana semua pihak tak setuju, parti-parti PH dan BN pun tak sokong dia jadi PM semasa menghadap YDP Agong.

Lalu, dia pun kalah kerana tak dapat sokongan padu dari kedua-dua pihak.
Setelah kalah, dia pun bekerja lagi keras untuk menumbangkan kerajaan PN untuk merebut kuasa kembali.

Dia tak pernah hormat PH dan tak pernah hormat mandat Rakyat.
Sebab itu, dia tak berbincang dan memberitahu pemimpin-pemimpin PH semasa dia letak jawatan.
Sebab itu dia tak hadir apabila PH suruh bermesyuarat untuk menyelesaikan kemelut. Lalu Anwar pun dipilih sebagai calon PM oleh PH.

Oleh sebab rancangan dia gagal dan dia tak jadi PM kerajaan perpaduan maka dia kini gigih untuk tumbangkan PM8 dengan apa jua cara termasuk cubaan membeli ahli-ahli parlimen.

Cuma perlu dua soalan jika dia nak nafi lagi:
1. Kenapa sebelum ini dia tak pernah beritahu sesiapa tentang meeting pagi hari Langkah Sheraton ini?
2. Kenapa dia tak pernah beritahu atau berunding dengan DAP, PAN dan PKR sebelum dia letak jawatan sebagai PM?

NAJIB RAZAK



https://mindarakyat.blogspot.com/2020/05/kenapa-dia-tak-pernah-beritahu-sesiapa.html

Saturday, May 30, 2020

Dua bekas wakil rakyat PKR sertai Parti Sarawak Bersatu

Dua bekas pemimpin tertinggi PKR Sarawak dan penyokong mereka menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) hari ini.
Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dan Adun Batu Lintang See Chee How - secara rasmi menyertai PSB pada satu majlis hari ini di Kuching.
Sehingga akhir Februarilalu, Baru ialah pengerusi PKR Sarawak manakala See pula menjawat naib pengerusi PKR Sarawak.
PSB merupakan parti pembangkang yang berpusat di Kuching pimpinan Wong Soon Koh, yang membentuk parti itu setelah berlaku perseteruan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
PSB kini mempunyai dua anggota Dewan Rakyat iaitu Baru dan Masir Kujat (Sri Aman) yang duduk bersama pembangkang.
Dengan kemasukan Baru dan See ke PSB, parti itu kini mempunyai enam anggota di DUN Sarawak - sama dengan jumlah yang dipegang oleh DAP.
Selepas pilihan raya negeri pada 2016, PKR menang tiga kerusi DUN. 
Baru dan Ali Biju (Krian) meninggalkan parti itu pada akhir Februari manakala See dipecat April lalu.
Wong berkata Baru dan See merupakan wakil rakyat "teladan" dengan "komitmen teguh" dalam berkhidmat kepada rakyat.
"Kami mengadakan pertemuan antara (pemimpin PSB) dan (dua wakil rakyat itu). Ini memberikan kami keyakinan untuk bekerjasama.
"Kami sangat gembira menerima Baru dan See ke dalam PSB," katanya ketika majlis menyambut kedua mereka pada hari ini.
Mengulas pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung tahun depan, Wong (gambar, bawah) berkata PSB bersedia bekerjasama dengan parti "yang berfikiran sama" untuk membentuk gabungan mengalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Baru mengakui bahawa beliau ditanya oleh penyokong mengapa dirinya dan See tidak membentuk parti baru.
Jelasnya, mereka akan kesuntukan waktu dalam mempersiapkan parti baru sebelum pilihan raya negeri, selain parti baru akan memecahkan undi pembangkang.
"Sebuah parti politik baru tidak diperlukan setelah mengetahui bahawa hasrat PSB serupa dengan hasrat kami," katanya.
Baru berkata beliau bercita-cita untuk melihat Sarawak menjadi sebuah negeri model dengan setiap rakyat Sarawak diperlakukan sama tanpa mengira bangsa dan agama.
Beliau juga mahu sumber daya alam semulajadi dipelihara dengan penuh tanggungjawab dan sebuah kerajaan bersih yang bebas daripada rasuah.
"Kami yakin dengan pengalaman selama 15 tahun sebagai menteri kewangan (Sarawak) yang berkebolehan dan memiliki portfolio kabinet lain, Wong berada dalam kedudukan unik untuk menerajui kami ke arah yang benar," katanya.

Friday, May 29, 2020

Serangan psywar PH kononnya 129 MP membuatkan sokongan PN makin kuat

PH membuat serang psywar kononnya mereka ada sokongan 129 MP. Mereka kata pula ada 2 menteri akan letak jawatan. Serangan ini nak gugat PN tapi ternyata serangan ini menyebabkan sokongan kepada PN makin kuat. Hari ini GPS kata kerja bodoh/giler kalau sokong PH atau Mahathir. Tadi 2 orang menteri tak ada pun sidang media.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof dan Timbalan Menteri Kerja Shahruddin Mohd malah tak tahu menahu perkara ini sedangkan dia dalam keadaan kuarantin 14 hari.

Petang tadi Rina Harun nafi.

https://mindarakyat.blogspot.com/2020/05/serangan-psywar-ph-kononnya-129-mp.html

Saya lakukan apa yang Mahathir mahu - Hamzah Zainuddin

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin yang memihak kepada Muhyiddin Yassin, hari ini mendakwa bahawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah berulang kali meminta pemimpin parti itu supaya mencari jalan meninggalkan Pakatan Harapan (PH).
“Apa yang saya lakukan bukan untuk pecah-belahkan parti tapi untuk menentukan apa yang Tun (Dr Mahathir) sendiri mahu.
“Dan Tun mahu supaya kalau boleh pemimpin-pemimpin Melayu Bersatu kembali. Itu saya lakukan.
“...ada beberapa perkara dia minta saya lakukan,” kata Hamzah pada sidang media yang diadakan kurang 24 jam setelah status Mahathir sebagai anggota Bersatu dibatalkan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa dirinya mendalangi komplot untuk menyingkirkan Dr Mahathir dan penyokongnya dari Bersatu, serta memecah belahkan parti itu.
Hamzah berkata permintaan Mahathir itu disampaikan kepada pemimpin parti termasuk anaknya, Mukhriz, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Perak Faizal Azumu, dalam pertemuan yang diadakan di rumahnya.
“...nak cari jalan bagaimana untuk Bersatu keluar dari PH. Ini permintaan (Dr Mahathir) dan saya kata okay kita sama-samalah.
The rest is history bila Tun letak jawatan,” kata Hamzah yang disertai oleh pemimpin Bersatu yang menyokong Muhyiddin termasuk Rina Harun dan Radzi Jidin di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, hari ini.
Hamzah menambah bahawa beliau keluar dari Umno untuk menyertai Bersatu atas jemputan Mahathir dan sentiasa membuat tugas atas arahan bekas perdana menteri itu.
"Tujuan Tun (Mahathir) ketika itu adalah untuk memperkukuhkan Bersatu dan saya bersetuju. Rakan-rakan saya juga bersetuju.
"Tun minta saya bukan sahaja untuk kukuhkan Bersatu tapi kurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP," kata Menteri Dalam Negeri itu yang pernah memegang jawatan timbalan menteri ketika zaman BN.
Pada awal bulan ini, sumber Bersatu memberitahu bahawa bahawa terdapat usaha untuk menyingkirkan Mahathir dan Mukhriz dari parti, dikatakan diketuai oleh seorang pemimpin kanan parti yang dipercayai Hamzah.
Bersatu kini berpecah dengan Mahathir bersama Mukhriz, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amirudin Hamzah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam menegaskan masih ahli parti itu.
Sejak semalam, pemimpin akar umbi dan ahli Bersatu yang berpihak kepada Mahathir menggesa bahawa pengguguran keahlian kelima-lima pemimpin itu sebagai tidak sah.

Rina Harun nafi mahu letak jawatan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menafikan spekulasi yang mengatakan dia akan meletakkan jawatan.
Rina antara menteri Bersatu yang dikaitkan dengan spekulasi akan meletakkan jawatan.
"Saya cuma nak nyatakan sehingga kini, saya merupakan ahli parti Bersatu, ketua Wanita Bersatu dan juga menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan juga presiden parti," katanya kepada media di Hotel Sofitel di Bukit Damansara, petang tadi.
Rina juga menekankan bahawa di tengah pandemik Covid-19, tumpuan harus diberikan kepada rakyat dan bukannya polemik politik.
Rina antara beberapa pemimpin yang dilihat tiba di hotel itu bersama Hamzah Zainudin, setiausaha agung Bersatu yang dilantik dari kem Muhyiddin.
Hamzah sebelum itu mengadakan sidang media di ibu pejabat Bersatu.
Ketua Penerangan Bersatu Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga turut kelihatan.
Mereka mengadakan perbincangan di hotel selama kira-kira satu jam sebelum Hamzah berdedar.
Ketika ditanya mengenai topik yang dibincangkan, Rina menjawab bahawa mereka menyewa hotel bagi tujuan penyediaan makanan dan minuman.
Bersatu menyaksikan perpecahan dalaman selepas Muhyiddin membawa parti itu keluar dari Pakatan Harapan pada Feb lalu.
Muhyiddin kemudian membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, BN, dan PAS.
Pakar politik meramalkan bahawa gabungan PN boleh menghadapi masalah berkaitan dengan kerusi pilihan raya kerana Bersatu, Umno, dan PAS bertumpu di kawasan yang sama. Umno dilihat tidak akan memberi laluan kepada Bersatu.
Mahathir pula menjangkakan Bersatu akan dipinggirkan oleh Umno.
Setiausaha kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya sebelum ini mengumumkan membatalkan keanggotaan Mahathir dan empat yang lain kerana duduk di bangku pembangkang di Parlimen pada 18 Mei lalu.
Namun, Mahathir dan beberapa ahli parlimen Bersatu yang lain menolak keputusan yang diumumkan Suhaimi dengan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu.
Susulan itu, Mahathir berkata bahawa beliau sebaliknya memutuskan untuk memecat Suhaimi dari jawatan sebagai setiausaha kerja Bersatu kerana membuat keputusan melebihi bidang kuasanya.

Gugur Keahlian Mahathir tidakan yang betul kata pengasas Bersatu

PETALING JAYA: Salah seorang pengasas bersama PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman tidak terkejut keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 lagi individu digugurkan, mengatakan beliau hanya menunggu masa bila presiden parti nak bertindak.

“Saya sebagai antara pengasas dan setiausaha agung dan setiausaha kerja PPBM yang pertama, sentiasa memerhati keadaan ini,” katanya kepada FMT.

“Saya hanya menunggu adakah Muhyiddin Yassin (presiden) berani menyingkirkan mereka yang membawa masalah dalam parti tanpa mengira siapa…tapi akhirnya keputusan itu diambil kerana PPBM kena ‘move on'”.

Kamarulazman berkata keputusan menggugurkan keahlian Mahathir dan anaknya, Mukhriz, serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, dan Amiruddin Hamzah itu “tepat” dan sepatutnya sudah lama dibuat walaupun rakyat menganggap Mahathir seorang ikon.
Malah, Kamarulazman berkata ia tidak perlu dipersoal.

“Mereka tidak mahu akur dengan kepentingan parti dan mempunyai agenda yang semua sedia maklum,” katanya.

Beliau mendakwa tindak-tanduk Mahathir mendorongnya meninggalkan parti yang ditubuhkan bersama 6 pemimpin lain itu.

“Kini jelas apa yang saya katakan dulu menjadi kenyataan. Mahathir dan Mukhriz bukanlah ‘team players’. Mereka lebih bersifat individualistik dan tidak menghiraukan pandangan ramai dalam parti,” katanya.
Semalam, dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya, keahlian Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee, dan Amiruddin dihentikan serta-merta selepas mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Kamarulazman berkata keputusan itu selaras dengan perlembagaan PPBM.

“Mereka memilih duduk di kerusi pembangkang walaupun PPBM sebahagian daripada kerajaan. Apabila ahli tidak hormat keputusan presiden, ini menunjukkan mereka tidak sepatutnya terus ada dalam parti,” katanya.

Mengenai masa depan PPBM, Kamarulazman berkata ahli parti itu kini berada di persimpangan selepas pengguguran pemimpin utamanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan jatuh bangun sesebuah parti terletak kepada kebijaksanaan presiden “merencana kebangkitan sebagai satu pasukan yang mempunyai hala tuju yang sama”, dan kesediaan menerima perubahan.

“Ahli tidak boleh bernostalgia dengan sejarah kehebatan Mahathir. Zaman beliau sudah berlalu,” katanya.
Beliau menambah presiden juga mesti tunjukkan kekuatan dalam mengemudi parti dan menyingkir kumpulan yang mempunyai agenda peribadi.

“Sekiranya ini tak berlaku, maka saya lihat PPBM akan melalui zaman kejatuhan seperti parti politik serpihan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata Muhyiddin mempunyai kelebihan ketika ini iaitu beliau mendapat kepercayaan rakyat sebagai perdana menteri dalam mendepani wabak Covid-19.

“Sokongan wakil rakyat juga lebih terarah kepada Muhyiddin kerana lumrah ahli politik mereka sentiasa berpegang kepada tunjang kekuatan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengasas bersama PPBM, Anina Saadudin berkata, pengguguran Mahathir dan 4 individu lagi tidak perlu dipersoal kerana ia berpunca daripada mereka sendiri.

Katanya, mereka pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei enggan duduk di blok kerajaan dan memilih untuk bersama blok pembangkang.

“Ini bermakna Mahathir mengkhianati parti sendiri,” katanya.

“Jangan lupa Mahathir menumbangkan kerajaannya sendiri 3 bulan lalu dengan meletakkan jawatan walaupun puas dipujuk Agong.”

Anina bagaimanapun masih menghormati Mahathir sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.

“Saya mohon pemimpin hari ini jadikan sejarah sebagai pedoman hidup, bukan menghukum Mahathir tanpa melihat diri sendiri di cermin,” katanya.

Kamarulazman dan Anina, bersama Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi merupakan 7 pengasas dan penaja PPBM.

mindarakyat.blogspot.com/2020/05/gugur-keahlian-mahathir-tidakkan-yang.html