Sunday, June 28, 2020

Amanah kata Mahathir bohong pasal Shafie Apdal calon PM

SHAH ALAM - Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus menegaskan kepimpinan parti itu tidak dimaklumkan mengenai sebarang keputusan Amanah terhadap cadangan memilih Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Md Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang.

Abang Ahmad Kerdee berkata, sehingga kini tiada sebarang pengumuman dikeluarkan kepimpinan tertinggi Amanah berkenaan cadangan dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dan pihaknya mengakui baru mengetahuinya sebentar tadi.

"Tiada sebarang maklumat diterima. Bahkan saya sendiri baru mengetahui berita itu memandangkan saya tidak lagi berada dalam blok perunding bagi parti Amanah.

"Untuk pengetahuan, blok perunding bagi pihak parti bagi tujuan mengembalikan mandat rakyat kini hanya dianggotai Presiden, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengarah Komunikasi, Khalid Abdul Samad," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas pendedahan Dr Mahathir yang mendakwa beliau bersama penyokongnya bersetuju memilih Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi blok pembangkang.

Beliau turut mendakwa nama Mohd Shafie turut disokong DAP dan Amanah dalam satu pertemuan dengan kepimpinan Warisan sebelum ini.

"Memandangkan saya yang menamakan beliau (Mohd Shafie), saya berharap akar umbi parti akan menyokong pencalonan beliau. Saya rasa sekiranya saya sudah tiada, kita mahu seseorang untuk meneruskan perjuangan kita.

"Atas sebab itu, kita meminta semua pihak untuk menyokong Mohd Shafie kerana hala tuju perjuangan Warisan adalah sama dengan saya untuk menentang (Datuk Seri) Najib Tun Razak dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin," katanya dalam satu rakaman video diambil dalam satu mesyuarat bersama akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Terengganu di Yayasan Kepimpinan Perdana malam tadi.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Sinar Harian turut mengesahkan tidak tahu-menahu mengenai kenyataan Dr Mahathir itu.

"Saya tidak tahu-menahu (kesahihan) pasal itu (cadangan Dr Mahathir) sebab saya tidak terlibat," katanya.

Terdahulu isu pemilihan calon Perdana Menteri mencetuskan kemelut dalam kalangan parti-parti dalam PH, fraksi Bersatu diketuai Dr Mahathir dan Warisan atau lebih dikenali PH Plus.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan DAP telah membuat keputusan untuk menyokong Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Majlis Pemimpin Pusat (MPP) PKR memutuskan menolak Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sebaliknya memilih Anwar ke jawatan itu jika PH berjaya mengambil alih kerajaan.

Susulan itu, Dr Mahathir menyatakan hasratnya untuk meninggalkan PH Plus selepas PKR menolak cadangan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

“Sebaliknya saya akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah,” kata Mahathir ketika ditemuramah oleh Sin Chew Daily.
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/06/amanah-kata-mahathir-bohong-pasal.html

Mahathir cuba lagakan Shafie dengan Anwar – Bung

Rancangan Dr M lantik Shafie sebagai perdana menteri lucu, kata Bung Moktar
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin memperlekeh rancangan Dr Mahathir Mohamad untuk menamakan Ketua Menteri Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus sekiranya berlaku pilihan raya kilat.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Mahathir cuba melaga-lagakan Shafie dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Dr Mahathir cuba mengelirukan orang ramai. Mungkin beliau hilang semua sokongan daripada PKR, DAP dan Amanah, dan sekarang berpaling kepada Shafie.

“Beliau cuba melaga-lagakan Anwar dengan Shafie. Saya fikir ia lucu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Shafie tidak mendapat sokongan semua pihak dalam PH, justeru tidak mungkin beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Ketika ditanya sama ada rakyat Sabah harus menyokong sesama mereka, Bung berkata, jika Shafie memilih untuk membawa Warisan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), maka beliau akan menimbangkan untuk memberi sokongan kepada pemimpin parti itu.

Bercakap kepada ahli PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya malam tadi, Mahathir berkata, beliau akan berkempen untuk Shafie, sekali gus menjelaskan kepada akar umbi parti itu kenapa beliau berbuat demikian.

Katanya, cadangan untuk menamakan Shafie juga disokong oleh pemimpin Amanah dan DAP dalam mesyuarat bersama pemimpin Warisan.

“Saya harap akar umbi akan terima pencalonan (Shafie). Saya fikir kalau saya tidak ada, orang lain ada, kita nak orang meneruskan perjuangan kita.

“Sebab itu kita minta sokong Shafie kerana ia sependapat dengan saya dalam perjuangan lawan Najib Razak dan lawan Muhyiddin Yassin.”

PKR enggan menyokong cadangan untuk melantik Mahathir sebagai perdana menteri selama 6 bulan sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar sekiranya PH berjaya membentuk semula kerajaan persekutuan.

DAP dan Amanah menyokong cadangan tersebut. - FMT

Adun PKR, DAP kritik Dr M mainkan naratif jurang ekonomi Melayu-Cina

Nota editor: Kemaskini dengan penambahan kenyataan Lee Chean Chung.
Pemimpin PKR dan DAP mengkritik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana menurut mereka memainkan naratif bahawa masyarakat Cina di Malaysia adalah golongan kaya.
Adun Semambu dari PKR Lee Chean Chung berkata, isu jurang pendapatan sepatutnya dilhat secara objektif dan pendekatan berasaskan fakta.
"Menjadikan isu ini sebagai perkauman adalah naratif lama yang tidak membantu menyelesaikan masalah jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin," katanya dalam kenyataan.
Memetik buku Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia oleh ahli ekonomi Mohammed Abdul Khalid, Lee berkata 93.71 peratus jurang ekonomi berlaku secara intra-etnik - dalam suatu kaum - manakala hanya 6.39 peratus secara inter-etnik, iaitu antara kaum.
"Contoh yang baik ialah Amanah Saham Bumiputera di mana lapan peratus pemegang saham mengawal 74 peratus nilai pegangan, manakala 74.7 peratus lagi hanya memiliki 3.2 peratus nilai pegangan.
"Sama juga dengan Amanah Saham Nasional di mana 75 peratus pemegang saham hanya memiliki 500 unit atau kurang," katanya.
Lee Chean Chung
Lee berkata prejudis lama hanya akan membawa dasar yang lapuk.
"Dasar lama yang membentuk negara selama 60 tahun, termasuk 22 tahun pentadbiran Mahathir, jelas gagal untuk mengatasi jurang ekonomi secara efektif.
"Orang kaya semakin kaya, krang miskin kekal miskin," katanya lagi.
Menurut Lee, tujuh daripada 10 pekerja Cina adalah penerima gaji dan jurang intra-etnik dalam masyarakat itu adalah yang paling parah.
"Saya percaya jurang ekonomi tidak boleh diselesaikan jika kita hanya menumpukan faktor kaum. Analisis pelbagai faktor termasuk sosial, ekonomi, pendidikan dan kelas penting untuk mencapai kemakmuran ekonomi dan pengagihan saksama.
"Hanya melalui analisis dasar yang moden dan profesional, rakyat Malaysia termasuk orang Melayu, Cina, India dan penduduk di Sabah dan Sarawak dapat bergerak ke hadapan dengan makmur dan saksama," katanya lagi.Adun Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu mendakwa Dr Mahathir Mohamad melaga-lagakan antara kaum bagi meraih sokongan di kalangan orang Melayu.
Menerusi satu hantaran Facebok, Liu mengingatkan bahawa kenyataan berbahaya yang dibuat bekas perdana menteri itu boleh mencetuskan ketegangan antara orang Melayu dengan Cina di negara ini.
“Tun Mahathir buat masalah lagi. Beliau kini guna taktik lama untuk tarik sokongan Melayu.
“Ini bukan kali pertama Tun M berkata orang Cina kaya, seolah-olah ia satu jenayah. Tindakan mendakwa orang Cina 'memiliki semua bandar di Malaysia' pasti akan membangkitkan sentimen di kalangan orang Melayu.
“Siapa yang anda mahu perbodohkan, Mahathir? Atau anda masih percaya bahawa orang Melayu senang terpedaya dan akan beri sokongan hanya kerana anda melaga-lagakan mereka dengan warga Malaysia lain?" soalnya.
Ronnie Liu
Dalam temubual dengan Asian Times semalam, Mahathir menjelaskan tentang jurang kekayaan antara dua kaum itu di Malaysia dan mendakwa masyarakat Cina telah menjadi sangat kaya dan boleh dikatakan "memiliki semua bandar di Malaysia".
"Ini tidak sihat. Kita (turut) temui hal ini di Malaysia, jurang antara bandar dan negara, dibesarkan lagi oleh jurang antara orang Cina di bandar dan orang Melayu di kampung. Kita perlu betulkan hal itu,” kata bekas perdana menteri itu.
Mengulas lanjut, Liu yang dikenali lantang terhadap turut berkata tidak semua orang Cina di Malaysia kaya.
Pada masa sama, katanya lagi, bukan semua orang Melayu miskin, termasuk anak-anak Mahathir.
“Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) orang Cina kini sedang berdepan kesukaran untuk kekal, ‘terima kasih’ atas pentadbiran (Mahathir) yang lemah dan Covid-19. Dan jumlah 800,000 yang kehilangan kerja pasti turut merangkumi orang Cina.
“[...] Anda harus dikecam atas kenyataan bernada perkauman dan perlu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," katanya lagi.

malaysiakini.com/news/531982

Dr M: Pemimpin DAP, Amanah setuju Shafie calon PM, Anwar dan Mukhriz calon TPM

Cadangan agar Presiden Warisan Shafie Apdal menjadi calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya dapat memperoleh kembali kuasa persekutuan mendapat sokongan pemimpin Amanah, DAP dan Warisan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu yang dipertikaikan berkata, keputusan itu dibuat susulan pertemuan antara beliau dan penyokongnya dari Bersatu dengan pemimpin Amanah, Warisan dan DAP.
Jelas Mahathir, pertemuan itu juga mempersetujui agar Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikai, Mukhriz Mahathir akan mengisi dua jawatan timbalan perdana menteri.
"Dalam perbincangan, saya terbuka kepada apa juga cadangan termasuk jika saya tidak dicalonkan sebagai bakal perdana menteri. Antara cadangan yang dikemukakan ialah pencalonan Shafie sebagai perdana menteri.
"Kami sebulat suara bersetuju agar Shafie dinamakan sebagai calon perdana menteri. Saya menyokong penuh cadangan ini. Yang penting ialah kita mempunyai sikap tegas supaya orang tahu mengenai pendirian kita," katanya.
Mahathir berkata bahawa pertemuan tidak rasmi itu berlangsung di Kuala Lumpur pada 25 Jun.
"Kami juga bersetuju agar Presiden PKR Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri 1 dan Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2," katanya.
Jelas Mahatahir, antara yang hadir perjumpaan itu ialah Shafie, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke serta ahli jawatankuasa pusat DAP M Kulasegaran dan Liew Chin Tong.
Turut hadir, kata Mahathir, ialah anaknya, Mukhriz dan Marzuki Yahya. Namun, Mahathir tidak menyebutkan kehadiran wakil PKR.


Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan DAP dan Amanah susulan kenyataan Mahathir, kedua-dua parti itu bagaimanapun berkata mereka masih perlu berbincang di peringkat kepimpinan pusat PH terlebih dahulu.
"Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu opsyen (pilihan) baru untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
"Walaubagaimanapun, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama," kata kenyataan yang dikeluarkan Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
PKR sebelum ini menolak idea Mahathir kembali sebagai perdana menteri dan sebaliknya menyokong Anwar bagi jawatan itu.
Namun, Anwar dilihat berdepan kesukaran untuk mendapatkan sokongan yang cukup di Dewan Rakyat, terutama dari wakil rakyat Sabah dan Sarawak.
Sekiranya Shafie dapat memperoleh sokongan yang cukup di Dewan Rakyat, beliau akan menjadi perdana menteri pertama dari Malaysia Timur.
Namun, mereka mungkin harus meyakinkan Anwar dan PKR terlebih dahulu.
Sementara itu, Mahathir, dalam kenyataannya menambah bahawa perbincangan itu dibuat bagi mengembalikan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PH pada pilihan raya umum 2018 yang "dirampas" oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
"Mungkin ada yang bertanya kenapa Shafie dicalonkan. Mungkin ada yang telah lupa bahawa Shafie adalah salah seorang pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrai sejak sebelum pilihan raya umum ke-14.
"Dia juga antara pemimpin yang menjadi mangsa awal pemerintahan Najib Razak (perdana menteri ketika itu) dan telah disingkir dari jawatan menteri dan naib presiden Umno kerana tidak dapat menerima perbuatan rasuah dan pencurian wang rakyat menerusi skandal 1MDB yang begitu memualkan.
"Shafie ketika itu bersama Muhyiddin. Kini Muhyiddin meninggalkan perjuangan dan kembali dengan kleptokrat yang dahulu menghukum dan menyingkirnya," kata Mahathir.
Ahli parlimen Langkawi itu berkata, jika cadangan itu berjaya, kemungkinan ia akan mengeratkan hubungan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
"Saya juga percaya apa yang kita cadangkan ini dapat diterima oleh rakyat sebagai bukti bahawa personaliti-personaliti dalam pemimpin parti pembangkang tidak mengutamakan kedudukan dan jawatan mereka.
"Yang penting adalah meneruskan perjuangan yang dimulakan sejak tahun 2015 untuk membersihkan negara dari kerosakan yang didilakukan oleh pemimpin kerajaan yang tamak, bongkak, dan mementingkan diri sendiri.
"Seperti yang kita amati sekarang, tindakan yang pernah kita lawan pada masa lalu kini mula bertapak, para pemimpin dan penyokong kleptokrasi telah kembali," katanya.
Mahathir berkata, dia berharap cadangan itu dapat direalisasikan ketika Dewan Rakyat bersidang pada 13 Julai.
"Insya Allah, dengan sokongan Ahli Parlimen yang tidak dapat menerima pemerintahan pintu belakang Muhyiddin dan ingin mengembalikan mandat rakyat akan bersama saya dan rakan-rakan lain untuk menyokong usul Shafie sebagai perdana menteri.
"Jika usaha ini berjaya, langkah untuk pastikan asas demokrasi yang dituntut rakyat akan dapat kita penuhi. Kita mesti tamatkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat," katanya.
Kerajaan PH yang menang pada pilihan raya umum 2018, tumbang pada akhir bulan Februari, apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik partinya keluar dari PH.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru pada 1 Mac setelah Mahathir menolak untuk mengetuai gabungan baru yang disusun Muhyiddin yang terdiri daripada Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS dan STAR.
Mahathir sebelum ini cuba mengambil alih semua Bersatu namun dilihat tidak berjaya. Beliau dan penyokongnya disingkirkan daripada parti itu.
Muhyiddin sebelum ini dilaporkan mempertimbangkan mengadakan pilihan raya mengejut sekiranya Mahathir berjaya dalam usaha itu.

Tolak politik tipu helah - Hantaran Anwar lepas Shafie dicalon jadi PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa orang ramai untuk menolak helah dan muslihat politik, beberapa jam selepas pesaingnya Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri blok pembangkang.
Membuat hantaran di media sosial, Anwar menulis dengan huruf besar," tolak politik tipu helah."
"Politik tidak sekadar perebutan kuasa tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan.
"Untuk membela rakyat atau sekadar meneruskan sistem lama yang lapuk dan usang," katanya yang mengulang soalan yang diutarakannya semalam.
Hari ini, Anwar turut berkongsi video yang mengandungi rakaman petikan daripada ucapan dalam talian yang disampaikan beliau semalam.
"Dalam keadaan sekarang ada yang menangguk di air keruh, ada yang sekonyong-konyong nak muncul jadi juara... 
"Tetapi apa yang saya nak tegaskan balik pada landasan.
"Politik ini bukan sepak terajang politikus untukk sekadar mencari helah taktik untuk merebut kuasa. Politik adalah terkait dengan urus tadbir, persoalan rakyat.
"Apakah dasar yang dikemukakan? Apakah dasar ini mengekalkan corak pentadbiran usang, lapuk rasuah menindas seperti yang berlaku, sekarang atau pun dahulu," soal MP Port Dickson dalam video yang dikongsinya itu.
Rancangan Pakatan Harapan untuk merebut kembali Putrajaya tersekat apabila PKR menegaskan bahawa Anwar dan bukan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang perlu menerajui kerajaan.
Bagaimanapun, DAP dan Amanah mahu Anwar berkompromi dan menjadi timbalan Mahathir selama enam bulan sebelum mengambil alih perdana menteri.
Berhadapan jalan buntu, Mahathir memutuskan untuk menarik diri daripada persaingan ke jawatan itu.
Sebagai gantinya, bersama pemimpin tertinggi DAP dan Amanah, Mahathir telah memutuskan untuk menyokong Shafie sebagai perdana menteri, dengan Anwar dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalan.
Amanah dan DAP berkata perkara itu masih perlu dibincangkan di peringkat PH.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya semalam, berkata beliau sukar untuk kembali bekerjasama dan berkompromi untuk mengekalkan "yang lama dan usang".
Katanya, rakyat Malaysia mampu merealisasikan perubahan yang sebenarnya dan akan menolak permainan politik kotor.
"Untuk saya secara peribadi untuk dolak-dalik dan tolak ansur untuk kekalkan keadaan usang yang lama itu agak sukar.
"Malaysia sekarang ini dan rakyat mampu mendepani masalah ini. Mampu bawa perubahan yang benar.
"Politik dan penguasa bukan untk kayakan diri dan keluarga untuk teruskan nafsu serakah dan lemparkan dendam kesumat kepada orang.
"Tetapi untuk cari titik perdamaian dan merangkul kekuatan. Jadikan Malaysia ini negara yang indah untuk semua," katanya lagi.