KUALA LUMPUR, 10 April (Hrkh) - Berikut adalah beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Badrul Hisham dalam blognya mengulas keputusan dua anggota UTK, Azilah dan Sirul yang dihukum gantung sampai mati dalam kes Altantuya Sharibuu iaitu :
1.Azilah dan Sirul tidak pernah kenal Altantuya, apa motif pembunuhan ? Rogol, Rompak..? Mereka ialah anggota UTK yang berdisiplin dilatih mengikut arahan.
2.Mana senjata pembunuhan, dalam kenyataan beramaran yang dibuat Sirul dia mengaku menembak Altantuya tetapi kenapa senjata pembunuhan tidak wujud dalam perbicaraan?
3.Bagaimana rekod kemasukan Altantuya tidak wujud dalam rekod imigresen sebaliknya ada orang dihukum mati dalam negara yang tidak ada rekod Altantuya masuk ?
4.Mengikut penulis dari Perancis dia mengatakan maklumat pembunuhan Altantuya yang dibunuh kerana melindungi transaksi melibatkan wang besar hasil jual beli kapal selam lengkap tersimpan ditangan agen perisikian Russia.... apa sebenarnya berlaku ?
5.Kenapa Azilah dan Sirul diberi keistimewaan tidak memperlihatkan wajahnya sepanjang keluar dan masuk mahkamah ?
Dalam pada itu Herman Samsudin menulis di sebuah laman web juga turut mempersoalkan bahawa rakyat diluar khususnya keluarga mangsa pastinya ingin melihat wajah kedua-dua tertuduh itu di mana sebelum ini, hanya wajah tertuduh ketiga yang telah dibebaskan, Abdul Razak Abdullah Baginda sahaja yang dapat dilihat.
Katanya sebelum ini kes Mona Fandey yang membunuh seorang exco kerajaan negeri Pahang, Dato' Mazlan pada 1993. Wajah beliau sebagai tertuduh begitu senang diambil oleh wartawan.
Begitu juga dengan kes yang melibatkan Dato' Mokhtar Hashim, seorang mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib-Kedua-dua mereka adalah pimpinan Umno Negeri Sembilan.
Menurut web tersebut masyarakat dunia melihat perbicaraan kes ini menjadi pelik dengan apa yang dilakukan oleh Azilah dan Sirul yang sentiasa bertopeng ketika muncul dikhalayak ramai.
"Sehingga ada teori-teori nakal yang mengatakan bahawa hukuman gantung akan diberikan bagi menutup kes ini walaupun Sirul mendakwa ada dalang lain di sebalik kes ini.
"Walaubagaimana pun, ketika hukuman mati yang hanya dihadiri orang-orang tertentu, mereka tidak digantung. Yang digantung adalah orang lain yang sememangnya ada kes untuk digantung tetapi tidak sepopular mereka," katanya dalam Buletin Online.
Dalam teori rambangnya itu beliau mengatakan bahawa kemudian mereka akan dibebaskan senyap-senyap dan ditukar identiti sebelum dihantar ke luar negara.
Kes akan ditutup begitu sahaja dan dalang tidak akan dicari lagi samalah seperti kes Norita yang kini sudah senyap sepi selepas Hanif Basri dibebaskan.
"Sesiapa pun boleh reka teori mereka, tapi kita harus yakin dengan undang-undang dan kredibiliti Polis.
"Dalam apa jua keadaan rakyat tetap berharap untuk melihat wajah kedua mereka. Sekurang-kurangnya bila lihat wajah mereka cerita plot yang direka-reka ini akan mati begitu sahaja," katanya. - azm _
http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=20270&Itemid=28
KUALA LUMPUR, 10 April (Hrkh) - "Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam. Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya."
Demikian kata Cif Inspektor Azilah Hadri pada 4 Feb lalu sambil membacakan nota bertulis. Beliau yang mula memberi keterangan pada 15 Jan lalu , berkata dia tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh dan melenyapkan wanita itu sebaliknya tujuan dia berjumpa dengannya (Altantuya) hanya untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu.
Azilah juga memberitahu mahkamah dia diarahkan oleh seorang anggota polis atasan, DSP Musa Safri untuk membantu Abdul Razak dan tidak mungkin melakukan perbuatan "bodoh" (membunuh) itu apatah lagi dia adalah anggota polis.
Pembelaan Sirul Azhar pula amat mengejutkan kerana dia bukan sahaja dilihat mengalirkan air mata, malah kenyataannya bahawa dia sekadar kambing hitam yang harus dikorbankan, amat menyentuh perasaan.
Kes ini bukan sahaja dilabelkan sebagai perbicaraan yang paling panjang (159 hari) dengan mengemukakan 84 orang saksi di peringkat pendakwaan dan dua saksi (tertuduh sahaja) ketika pembelaan, tetapi merupakan kes utama mahkamah selama dua tahun (sebelum Abdul Razak bebas).
Mengikut rekod, Azilah ditahan di penjara Sungai Buloh selama 891 hari manakala Sirul Azhar ditahan selama 895 hari.
Semalam Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas mereka didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu.
Kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu didapati bersalah membunuh wanita muda Mongolia itu, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.
Bagaimanapun pada 31 Oktober lalu, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat (sumber dipetik laporan agensi berita). - azm/mks. _
http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=20269&Itemid=28