DHAKA
6 Sept. - Myanmar didakwa menanam periuk api di kawasan sempadan
Bangladesh bertujuan untuk menghalang penduduk etnik Islam Rohingya yang
melarikan diri kembali ke negara tersebut.
Menurut dua sumber kerajaan di sini,
Bangladesh hari ini akan mengemukakan bantahan rasmi terhadap penanaman
periuk api berkenaan yang terlalu hampir dengan sempadan negaranya.
“Mereka (Myanmar) menanam periuk api di
sepanjang pagar sempadan dalam kawasan mereka iaitu di antara dua tiang
sempadan,” kata kedua-dua sumber itu yang enggan dikenali ekoran
sensitiviti krisis tersebut.
Mereka turut mendedahkan bahawa negara ini mengetahui tentang periuk api berkenaan melalui bukti gambar dan pemberi maklumat.
“Anggota
tentera kami juga melihat beberapa orang dalam tiga sehingga empat
kumpulan sedang bekerja dekat pagar berkenaan, mereka sedang menanam
sesuatu dalam tanah,”
“Kami kemudian
mengesahkan perkara itu dengan pemberi maklumat yang turut mengesahkan
ia adalah periuk api,” kata salah seorang daripada mereka.
Walau
bagaimanapun, sumber-sumber tersebut tidak menjelaskan sama ada
kumpulan berkenaan memakai uniform namun menegaskan mereka pasti
kumpulan itu bukan anggota militan Rohingya.
“Mereka
(Myanmar) tidak melakukan apa-apa di kawasan Bangladesh tetapi kami
sebelum ini tidak pernah melihat periuk api sedemikian di kawasan
sempadan,” kata mereka.
Pegawai kawalan
sempadan Bangladesh, Manzurul Hassan Khan memberitahu Reuters, semalam
dua letupan kedengaran di kawasan Myanmar selepas timbul spekulasi
anggota tentera Myanmar menanam periuk api.
Seorang
kanak-kanak lelaki putus kaki kirinya semalam semasa menyeberang
sempadan dan kemudian dibawa ke negara ini untuk mendapat rawatan
manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki cedera ringan dipercayai akibat
letupan periuk api.
Seorang pelarian
Rohingya yang pergi ke kawasan letupan itu kelmarin iaitu berhampiran
kawasan orang awam yang melarikan diri, berjaya merakamkan gambar periuk
api terbabit yang berbentuk cakera logam berukuran 10 sentimeter yang
ditanam dalam lumpur.
Dia percaya terdapat lebih dua bahan letupan itu tertanam di kawasan berkenaan.
Dua
lagi pelarian turut memberitahu Reuters yang mereka melihat anggota
tentera Myanmar berada di kawasan letupan yang berlaku pada pukul 2.25
waktu tempatan, kelmarin.
Sementara itu, enam
mayat ditemukan pagi ini selepas sebuah bot yang membawa berpuluh-puluh
etnik Rohingya karam di Teluk Bengal berhampiran tenggara sempadan
Myanmar dan Bangladesh.
Agensi berita China
Xinhua melaporkan, berpuluh-puluh lagi dipercayai hilang manakala
Pegawai Pemerintah Batalion ke-42 Pengawal Sempadan Bangladesh, Leftenan
Kolonel SM Ariful Islam memberitahu, bot itu dipercayai karam semalam.
Sementara
itu, Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini menyalahkan kumpulan
‘pengganas’ yang didakwanya memberi ‘maklumat salah yang terlalu besar’
berhubung keganasan yang tercetus di wilayah Rakhine.
Beliau
bagaimanapun tidak membuat sebarang ulasan tentang hampir 125,000 etnik
Rohingya yang terpaksa melarikan diri dari Myanmar ke sempadan negara
ini sejak 25 Ogos lalu.
Suu Kyi kini
menghadapi tekanan dari negara-negara Islam berhubung krisis tersebut
dan semalam Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
memberi amaran risiko tentang pembersihan etnik dan ketidakstabilan di
rantau berkenaan.
Pemimpin wanita itu semalam
berhubung dengan Presiden Turki, Tayyip Recep Erdogan melalui telefon
selepas Erdogan mendesak pemimpin-pemimpin dunia meningkatkan bantuan
terhadap seramai 1.1 juta etnik Rohingya yang menghadapi pembunuhan
beramai-ramai.
Melalui Facebook, Suu Kyi
mendakwa kerajaan ‘telah pun mula melindungi semua penduduk di Rakhine
sebaik mungkin’ dan memberi amaran terhadap maklumat salah yang boleh
mencemar hubungan negara itu dengan negara-negara lain.
Dalam
pada itu, seramai 26,747 etnik Rohingya telah dipindahkan ke tempat
yang selamat di utara wilayah Rakhine ekoran serangan kumpulan militan. –
Agensi