SUNGAI PETANI: Sikap kakitangan sebuah premis enggan bertegur sapa
dengan jiran tetangga di Bandar Utama di sini, terjawab apabila
operasinya dibongkar sebagai cawangan syarikat umrah yang dipercayai
menjalankan penipuan pakej umrah.
Seorang penduduk, Adilah
Amir, 45, berkata syarikat itu menyewa sebuah banglo untuk dijadikan
pejabat kira-kira pertengahan tahun lalu.
"Pada awal kedatangan mereka, pemilik syarikat ada bertegur sapa dan mengajak kami mengikuti pakej umrah ditawarkan.
"Bagaimanapun,
sekali itu saja mereka menegur, malah pekerja syarikat itu nampak macam
cuba melarikan diri setiap kali terserempak dengan kami," katanya
ketika ditemui di sini, hari ini.
Adilah berkata, penduduk hairan apabila syarikat terbabit menurunkan kain rentang di hadapan banglo itu sejak November lalu.
"Rumah
itu ditinggalkan begitu saja tetapi sesekali ada individu datang
mengambil barang dan kali terakhir kira-kira dua minggu lalu.
"Tak sangka syarikat itu terbabit dalam kegiatan penipuan pakej umrah.
"Ada
beberapa orang datang ke rumah saya dan bertanya mengenai syarikat
berkenaan selepas mendapati premisnya kosong tetapi saya katakan tidak
tahu," katanya.
Tinjauan BH mendapati banglo itu ditinggalkan terbiar dan ditumbuhi semak-samun, manakala pagarnya dikunci.
Kelmarin,
Berita Harian melaporkan 15 bakal jemaah umrah terkandas di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai ditipu sebuah
agensi umrah.
Mereka tiba dari Perak, Kedah dan Pulau
Pinang selepas dimaklumkan akan berlepas ke Tanah Suci pada jam 7 malam
menaiki pesawat Emirates Airlines.
Kumpulan itu hanya
menyedari ditipu selepas mendapati nama mereka tiada dalam senarai
penumpang penerbangan manakala mutawif dan wakil syarikat tidak menjawab
panggilan telefon.
Difahamkan, pakej ditawarkan antara
RM7,000 hingga RM8,000 seorang, selain pakej umrah membabitkan beberapa
orang untuk keluarga.
sumber