Undang-Undang Antilompat Parti perlu digubal segera bagi memastikan mana-mana ahli politik tidak mengkhianati kepercayaan diberi pengundi.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang berkata seseorang ahli politik yang melompat parti boleh dianggap melakukan kesalahan moral dan bercanggah dengan kod etika.
“Walaupun undang-undang ini bersifat ‘silent’, tapi dari segi prinsipnya ia satu tindakan menipu dan mengkhianati pengundi.
“Saya mencadangkan supaya undang-undang itu memasukkan klausa menggugurkan jawatan dan tidak membenarkan ahli yang melompat parti bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Katanya lagi, seluruh anggota parlimen PAS akan memberikan sokongan sepenuhnya jika ada pihak yang mencadangkan usul itu pada sidang parlimen bulan depan.
Anggota Parlimen Kota Bharu itu bagaimanapun berkata kerajaan perlu memastikan undang-undang itu tidak mengganggu gugat Fasal 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rakyat negara ini bebas berpersatuan.
“Lebih cepat lebih elok, dan sebaiknya undang-undang itu berkuat kuasa ke belakang (retrospective effect),” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Pada PRU ke-14 lalu gabungan pembangkang akhirnya berjaya menumbangkan BN buat kali pertama dalam sejarah.
Langkah itu membolehkan Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan di peringkat pusat, selain menguasai banyak negeri.
BN pula hanya bertahan sebagai kerajaan di Perlis dan Pahang.
Susulan itu, ramai wakil rakyat BN meninggalkan parti berkenaan dan menjadi ahli bebas yang menyokong HARAPAN.
Antaranya - dan yang terbaru - ialah Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan wakil Datuk Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).
Dengan tindakan kedua-dua anggota parlimen itu, jumlah kerusi yang dimiliki Umno sekarang adalah 52 berbanding 54 yang dimenangi sebelum ini.
Pada 2010, mendiang Karpal Singh pernah mendesak supaya kerajaan mempertimbangkan penggubalan undang-undang antilompat parti atau kod etika khusus untuk ahli politik bagi memastikan wakil rakyat yang keluar parti mengosongkan kerusi yang dimenanginya.
Seterusnya pada 2015, Datuk Seri Azalina Othman (ketika itu menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri) menggesa kerajaan menggubal Undang-Undang Antilompat Parti (Anti-Hoping Laws) bagi memastikan kesetiaan dan integriti dalam politik.
https://www.malaysiakini.com/news/431839