Friday, December 21, 2018

Anwar diminta tukar pengerusi PKR Kelantan, ada 'rekod' SPRM

KOTA BHARU, 20 Dis — Kira-kira 70 anggota PKR yang mewakili 14 cabang di Kelantan merayu agar Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan kembali pelantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan.

Kumpulan tersebut yang diwakili Naib Ketua PKR cabang Ketereh Mohd Sukirman Mustafa berkata pelantikan Mohamad Suparadi tidak disenangi kebanyakan anggota PKR Kelantan terutama yang telah berjuang bersama parti sejak sekian lama. 

“Sekarang berlaku sedikit pergolakan dalam PKR Kelantan selepas pelantikan Mohamad Suparadi kerana beliau tidak disenangi akar umbi berikutan mempunyai rekod kurang memuaskan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

“Justeru, kami meminta Anwar untuk mengkaji semula pelantikan Mohamad Suparadi untuk kebaikan PKR di Kelantan kerana parti ini sendiri, antara lain ditubuhkan bagi menolak sebarang perkara berkaitan rasuah dan penyelewengan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd Sukirman berkata pelantikan Mohamad Suparadi juga didakwa dibuat secara tergesa-gesa dan pihaknya akan menghantar memorandum kepada kepimpinan PKR pusat dalam masa terdekat. 

“Saya rasa Anwar seorang pemimpin yang berjiwa besar dan yakin beliau akan mendengar rintihan anggota PKR di peringkat akar umbi. 

“Kita bukan nak mencipta masalah (dengan tidak bersetuju dengan pelantikan Mohamad Suparadi) tetapi cuba untuk memulihkan kembali keadaan,” katanya. 

Kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak menamakan sebarang individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu berkenaan di peringkat negeri kerana tidak mahu dilihat menyebelahi mana-mana pihak. 

Semalam, Mohamad Suparadi menegaskan tidak akan tunduk kepada desakan agar beliau melepaskan jawatan itu dan juga selaku Ketua Cabang PKR Tanah Merah. 

Malah, beliau turut dilaporkan mendakwa desakan itu mungkin sengaja diwujudkan oleh ‘tangan ghaib’ yang kecewa dengan keputusan pada pemilihan lalu. — Bernama
http://mindarakyat.blogspot.com/2018/12/anwar-diminta-tukar-pengerusi-pkr.html

No comments: