Saturday, December 22, 2018

Dari Segambut dengan cinta

Apabila Nurul Izzah Anwar membuat kejutan dengan membuat 'sembah derhaka' ke atas presiden PKR - yang juga bapanya - Anwar Ibrahim, maka semakin berserabutlah orang di bawah.
Seolah-olah kita tidak ada hal lain untuk difikirkan, politik PKR - yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat - memaksa orang ramai membuat spekulasi demi spekukasi.
Masakan tidak, PKR sekarang bukan saja mengurus Selangor tapi Putrajaya, manakala presiden mereka pula memang dipersiapkan untuk menjadi perdana menteri.
Nurul Izzah dilantik sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang oleh Anwar. Dia adalah pilihan bakal perdana menteri. Namun nampaknya anggota parlimen Permatang Pauh itu menolak kuasa yang diberikan oleh bapanya.
Tidak cukup dengan itu Nurul Izzah turut melepaskan jawatannya sebagai naib presiden yang disandangnya sejak empat penggal lalu. Sesetengah orang melihat dia adalah susuk sesuai sebagai perdana menteri suatu hari nanti.
Lantikan itu khabarnya dibuat Anwar selepas bertemu dan berundingan bersama ketua-ketua cabang selama sebulan.
Bagaimanapun pihak lain - antaranya bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Latheefa Koya - melihat ada yang tidak kena pada parti itu dan Nurul Izzah kemudian meletakkan jawatan.
Pada pandangan peguam itu PKR sekarang beramal dengan kronisme dan nepotisme. Ia membawa kepada pelantikan Nurul Izzah oleh Anwar.
Mual dan kecewa
Makin mengharukan PKR ialah Nurul Izzah bukan satu-satunya yang membuat 'sembah derhaka' kepada Anwar.
Nun di selatan tanah air Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim turut menolak pelantikan Anwar untuk menjadikannya pengerusi PKR Johor.
Ini semua berlaku selepas kem Azmin Ali dan Rafizi Ramli berseteru dan bersilat untuk mencari tempat dalam kepemimpinan pusat PKR dalam pemilihan parti yang menarik perhatian seluruh negara.
Ketika sebahagian besar anggota MPP PKR diisi orang Azmin, Anwar melantik orang Rafizi menjadi ketua-ketua parti di peringkat negeri.
Bacaan lazim kepada apa yang berlaku ini ialah Anwar mahu memberi keseimbangan pada barisan kepemimpinan PKR. Jika di satu sisi Azmin berpengaruh, maka di satu sisi lagi Rafizi juga ada suara.
Keseimbangan kuasa itu memang baik. Sehinggalah kita menyedari bahawa pada akhirnya yang akan benar-benar berkuasa di atas kedua-dua kelompok itu ialah Anwar.
Pada masa sama sumber yang dekat dengan Azmin memberitahu, kem mereka sedang cuba menyekat Rafizi dan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution daripada dilantik Anwar ke jawatan utama dalam MPP.
Di Putrajaya Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilihat agak mesra dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai bakal perdana menteri Anwar memang memerlukan sokongan seluas mungkin. Ia bukan saja berkehendak kepada restu rakyat tetapi juga dukungan pada pemimpin parti. Tentulah yang paling utama, PKR.
Izzah manifestasi kita
Ketika ini ada kecurigaan agak tebal kepada kesungguhan Bersatu membuka ruang kepada Anwar untuk menggantikan Mahathir.
Ia tambah menebal apabila bilangan kerusi parlimen Bersatu bertambah ketara dengan melompatnya beberapa wakil rakyat Umno dari parti yang hilang kuasa itu.
Sejak pilihan raya umum (PRU) lalu, sudah ada 16 orang anggota parlimen meninggalkan Umno, dan 12 yang menjadi wakil rakyat bebas menyatakan sokongan mereka kepada Mahathir.
Di sisi 'kem Segambut' Anwar sendiri memberi bayangan dalam sesi 'curhatnya' bersama Nurul Izzah, anak sulungnya itu sudah muak dan kecewa dengan sikap ahli parlimen yang melompat parti. 
Kata Anwar, Nurul Izzah sendiri bosan dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian berbanding bekerja untuk rakyat.
Kenyataan Anwar itu terasa agak janggal kerana sebelum ini si Puteri Reformasi itu pernah memberi amaran supaya jangan ada mana-mana pihak - termasuk dalam kalangan Pakatan Harapan - membuat kenyataan bagi pihaknya dalam isu peletakan jawatan dalam PKR. 
Justeru suka atau tidak, bukan Nurul Izzah saja yang muak dengan permainan sepak terajang politik dalam negara Malaysia Baru ini. Cuma Nurul Izzah itu - kalau kenyataan Anwar itu benar - adalah wakil kepada rasa meluat kita kepada politik sekarang.
Harap-harap ia akan berakhir dalam tempoh yang terdekat. Ada banyak lagi isu yang perlu dirunsingkan oleh rakyat selain masalah dari Segambut sana.

Anne Muhammad ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.
https://www.malaysiakini.com/news/457268

No comments: