Tuesday, December 25, 2018

Hadi dilemparkan kata-kata kesat di London

Sesi dialog dengan Abdul Hadi Awang di London semalam, bertukar panas apabila seorang hadirin menggelar presiden PAS itu sebagai "rasis" kerana menentang pilihan raya kerajaan tempatan.
Hadi yang menjawab dengan tenang soalan lelaki itu berkata, PAS menolak cadangan DAP dan PKR untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia akan menyebabkan kawasan bandar dikuasai satu-satu kaum sahaja.
"Bila penduduk tertentu kuasai bandar, sudah tentulah bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Seremban, Johor Bahru semua dikuasai kaum Cina DAP.
"Mereka boleh buat apa sahaja, mereka boleh benarkan arak, benarkan judi," kata Hadi.
Lelaki itu kemudian menyampuk dengan mengatakan perniagaan yang dijalankan kaum Cina menyumbang pendapatan dan cukai kepada kerajaan.
"Kita boleh benar, oleh sebab itu (pilihan raya PBT) mesti melibatkan pemandu teksi, melibatkan semua pihak yang menghidupkan bandar.
"Kalau satu kaum saja yang menguasai akan timbul 13 Mei balik, kita mengalami peristiwa berdarah 13 Mei," kata Hadi.
Jawapan Hadi mengenai peristiwa 13 Mei itu membangkitkan kemarahan individu berkenaan apabila dia terus meninggikan suara.
Lelaki itu berkata, Hadi yang mengikut ajaran al-Quran - sebuah kitab pada abad keenam- telah menyebabkan fikirannya "terperangkap pada tahun 1969."
"Jika kamu mahu Malaysia maju dan bersaing dengan negara-negara lain, kamu perlu keluar dari kebodohan kamu," kata lelaki itu.
Apabila seorang hadirin lain secara lembut meminta lelaki itu bertenang, dia memberitahu individu lain dalam sesi dialog itu supaya tidak masuk campur.
Lelaki itu - yang mendakwa telah menyumbang dana untuk PAS pada tahun 2013 - kemudian mencabar hadirin lain berjumpa dengannya "di luar".
Hadi mengulangi kenyataannya bahawa pilihan raya PBT boleh dijalankan dengan syarat ia tidak dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja.
"Pilihan raya (PBT) boleh dibuat, tapi mesti mewakili pemandu teksi, mewakili peniaga kecil, mewakili peguam, macam-macam. Jangan mewakili satu-satu kaum sahaja," katanya.
Jawapan Hadi itu dijawab lelaki berkenaan yang menggelarnya sebagai rasis dan kata-kata kesat yang lain.
'Pilihan raya PBT tinggalan British'
Hadi kemudian memberikan contoh bahawa peristiwa pergaduhan kaum pada tahun 1969 itu tidak berlaku di negeri majoriti penduduk Islam seperti di Kelantan dan Terengganu.
"13 Mei tidak berlaku di Kelantan dan Terengganu. Tempat orang Islam tidak ada 13 Mei. Keluarga Cina dan India boleh hidup di Kelantan dan Terengganu, tak dikacau," jawabnya.
Menurut Hadi, kaum Cina dan India di negara ini suatu masa dahulu merupakan pendatang yang telah dibawa masuk oleh British, manakala kaum Melayu menerima mereka sehingga Malaysia menjadi sebuah negara majmuk dan masyarakatnya hidup dalam harmoni.
"Tapi pengalaman pilihan raya PBT kita ikut British, dia pilih satu kaum mewakili bandar. Bila ini berlaku akan berlaku ketegangan dengan penduduk luar bandar, dengan kaum-kaum lain. Ini akan berlaku pergaduhan," katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan diadakan kerana ia boleh mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar.
Bagaimanapun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata kajian mengenainya akan diteruskan. 
Katanya, kajian itu akan mengambil contoh pelaksanaan di negara lain, dengan mengikut acuan tempatan dan mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat Malaysia.

https://www.malaysiakini.com/news/457638

No comments: