Friday, December 21, 2018

Keluar PH: Kit Siang cuma gertak saja, kata MP PAS

Amaran Lim Kit Siang bahawa DAP tidak akan teragak-agak untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) jika objektif Malaysia Baru tidak tercapai hanya gertakan sahaja, kata Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
"Pada saya, ia hanyalah gertak sahaja yang mustahil sama sekali dilakukan oleh DAP.
"Jika disebut soal prinsip, DAP sudah pun menggadaikan prinsip dalam isu lompat parti," katanya dalam kenyataan media.
Semalam Malaysiakini melaporkan kenyataan Lim bahawa DAP akan keluar daripada kerajaan PH jika objektif Malaysia Baru diabaikan.
Lim berkata DAP tidak akan sesekali menjadi “lembik” seperti pemimpin MCA.
“Pemimpin-pemimpin DAP dalam kerajaan akan memainkan peranan penting untuk membina Malaysia Baru dan menyelamatkannya daripada menjadi demokrasi memalukan, kakistokrasi, negara gagal dan kleptokrasi global,” kata Lim.
Kenyataan Lim itu dibuat kira-kira seminggu selepas sebahagian anggota parlimen Umno bertindak keluar parti dan memberi sokongan kepada perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Berjuang puluhan tahun tapi U-turn
Ahmad berkata, penasihat DAP itu sendiri pernah mendesak penggubalan undang-undang anti lompat parti dengan mengemukakan usul di Dewan Rakyat pada tahun 1976.
Katanya, beberapa pemimpin mereka termasuk anggota parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan pengerusi DAP Tan Kok Wai juga menggesa kerajaan membuat pendirian jelas mengenai perbuatan melompat parti.
Malah katanya, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) juga menyatakan rasa tidak bersetuju dengan tindakan keluar parti selepas pilihan raya umum kerana menyifatkan ia bertentangan prinsip parti itu.
"Namun, secara tiba-tiba, Lim Kit Siang sendiri pada 15 Disember lepas menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen Umno boleh menyertai Pakatan Harapan dengan syarat 'terlebih dahulu bertaubat'.
"Kesimpulannya, jika dalam isu lompat parti yang mereka perjuangkan berpuluh-puluh tahun lamanya pun boleh u-turn terus bila melihat kebanjiran penyertaan ke parti Bersatu, apalah sangatnya dengan prinsip Malaysia Baru?".
"Kesimpulannya, Lim Kit Siang hanya cakap besar," katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/457195

No comments: