Tuesday, December 4, 2018

Keluar sajalah dari BN, nasihat Mohamad pada MCA

Jauh daripada bersikap lunak atau apologetik, salah seorang pemimpin paling kanan Umnno sebaliknya mengambil pendekatan lebih tegas kepada MCA.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata MCA kini membebankan BN kerana meluluskan usul supaya gabungan berkenaan dibubarkan.
Sepatutnya kata Mohamad MCA menjadi parti yang berprinsip dan lebih tegas.
"Keluar sahaja dari BN seperti parti-parti lain yang telah meninggalkan BN tanpa syarat.
"Keputusan sebegini (keluar BN) akan memudahkan Umno dan parti komponen untuk membangunkan semula BN.
"Tindakan MCA tidak memudahkan BN untuk move on. Ia telah menunda proses rejuvenasi BN," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.
MCA menjadi salah satu daripada segelintir parti yang masih bersama BN selepas PRU ke-14 lalu. Dua lagi parti utama yang membentuk BN setakat ini ialah Umno dan MIC.
Suatu ketika dulu BN disertai 13 parti politik.
Takut dipersalahkan
Selepas kehilangan kuasa di peringkat pusat Umno mengambil langkah berbeza dengan berbaik-baik dengan PAS yang menjadi seteru mereka selama beberapa dekad.
Keadaan itu tidak disenangi MCA dan pada perhimpunan agung tahunan mereka pada 2 Dis lalu parti berkenaan meluluskan resolusi menggesa BN dibubarkansupaya pakatan baru boleh dibentuk.
Menurut Presiden MCA Wee Ka Siong pakatan baru itu akan ditubuhkan pada masa yang sesuai. 
Untuk rekod beberapa perwakilan MCA sendiri tidak bersetuju dengan usul berkenaan kerana berpendapat langkah yang betul buat parti itu ialah meninggalkan BN. 
Mohamad berkata MCA tidak perlu mengheret parti komponen lain ke dalam polemik dalaman mereka.
Kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu langkah mencadangkan supaya BN dibubarkan dibuat MCA kerana parti terbabit tidak mahu dipersalahkan.
"Saya sangat berterima kasih jika MCA segera meninggalkan BN.
"BN tidak boleh ada rakan yang membebankan ketika kita berada dalam kedudukan paling susut dalam perjalanan politik dan tidak mahu memikul tanggungjawab atas kekalahan," katanya.
Menurut Mohamad dalam politik apa yang diperlukan ialah perjuangan yang bermaruah dan budaya politik yang benar dan baik.
"BN bukan bahan dagang. Dalam baik dan lemahnya.
"BN adalah perjuangan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik," katanya.
Menurut Mohamad cadangan menubuhkan gabungan baru tidak akan banyak bezanya dengan BN terutama jika ia hanya dianggotai parti bukan dari Pakatan Harapan.
Malah katanya ia juga hanya perubahan kosmetik dan BN memerlukan lebih daripada penjenamaan nama dan logo.

https://www.malaysiakini.com/news/454579

No comments: