Sunday, December 23, 2018

Tsunami: Kematian meningkat 43, ratusan cedera

Seramai 43 terkorban, manakala 584 orang cedera selepas tsunami melanda Selat Sunda di antara pulau Jawa dan sumatera pada malam Sabtu lalu, maklum agensi bencana Indonesia.
"Kami sedang meneliti laporan kesan tsunami yang melanda Selat Sunda, khususnya di Serang, Pandeglang dan Lampung Selatan," kata Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dipetik laporan Reuters.
Terdahulu, Bernama melaporkan tsunami tersebut dipercayai berlaku akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau.
Laporan itu turut memetik Sutopo Purwo berkata tsunami berlaku sekitar jam 9.27 malam tadi (Waktu Malaysia 10.57 malam) dan pihak berkuasa Indonesia masih menyelidik punca berlakunya tsunami itu.
"Faktor penyebab tsunami masih dalam penyelidikan oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) untuk mengetahui secara pasti.
"Kemungkinan disebabkan berlaku pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau dan berlaku gombang air pasang dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba," katanya, petik Bernama.
Sutopo berkata pihak berkuasa Indonesia terdiri daripada BNPB, tentera, polis dan agensi-agensi berkaitan sedang menangani situasi itu.
"Jalan raya yang menghubungkan Serang-Pandeglang terputus akibat tsunami. Jumlah korban juga dikhuatiri meningkat," katanya.

No comments: