Monday, May 10, 2021

Jika tak berjaga-jaga kita akan jadi seperti Brazil, India, kata Dr M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia untuk bersabar dan tidak saling berkunjungan sempena sambutan Hari Raya akan datang untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam mesej video yang disiarkan di laman Facebooknya, dia berkata, situasi di hospital kini genting dan jika kes harian melonjak melebihi 5,000, sistem kesihatan awam mungkin tidak mampu merawat jumlah pesakit yang terlalu ramai pada satu-satu masa.

"Kalau ramai lagi terpaksa masuk hospital, mereka tidak akan mendapat rawatan sepenuhnya dan keadaan akan jadi lebih teruk, mungkin meninggal dunia," katanya.

 

Atas kebimbangan itu, Dr Mahathir memohon umat Islam untuk tidak menziarahi rakan dan keluarga pada Aidilfitri bagi mengelakkan penularan.

"Kita perlu sabar dalam sambutan Hari Raya tahun ini kerana kita ingin lihat penyakit ini dikurangkan dengan tindakan pematuhan kita.

“Kita kena pandang serius situasi di negara kita kerana jika tidak berjaga-jaga, kita akan jadi seperti India dan Brazil, di mana ratusan ribu orang dijangkiti setiap hari dan ramai yang terbiar tanpa rawatan dan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, dasar menetap di rumah semasa bermulanya wabak itu tahun lalu agak berjaya dan hanya selepas pilihan raya negeri Sabah pada bulan September lalu keadaan menjadi semakin buruk.

"Saya merayu kepada semua rakyat, tak kira kaum, parti atau apa saja, tolonglah kurangkan kemungkinan kita dijangkiti penyakit ini dengan patuh kepada SOP," katanya.

Dr Mahathir turut menzahirkan kebimbangan terhadap jumlah kes yang kini mencecah antara 3,000 hingga lebih 4,000 sehari, selain angka kematian harian yang mencatat jumlah tertinggi semalam.

“Disiplin dan kesanggupan kita mengawal diri amat penting. Walaupun ada polis dan pihak lain yang mengawal, mereka tak mampu menjaga semua orang. Kitalah kena jaga diri kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, bahawa dia tidak dapat pergi ke masjid atau mengunjungi gerai makanan pada bulan Ramadan ini kerana orang tidak menjaga jarak.

"Maafkan saya. Saya tidak dapat berdoa kerana terlalu banyak orang yang baik. Saya menghargai keprihatinan mereka, tetapi mereka terlalu dekat. Sama seperti ketika saya pergi ke bazar. Orang mahu mengambil gambar.

"Saya tahu itu sukar tetapi kita harus menjaga jarak. Kita harus tetap berdisiplin. Itulah satu-satunya perkara yang dapat membantu kita - kita perlu berhenti menjangkiti orang lain dan melindungi diri kita sendiri," katanya.

Kerajaan hanya membenarkan lawatan pada hari pertama Raya (13 Mei). Jumlah maksimum yang dibenarkan berkumpul, termasuk keluarga, adalah 15 orang.

Walau bagaimanapun, perjalanan rentas daerah dan negeri ke seluruh negara adalah dilarang, kecuali untuk tujuan kerja, perubatan, dan kecemasan yang dikuatkuasakan sehingga 10 Jun.

Solat berkaitan dengan Aidilfitri di masjid dibenarkan dengan jarak fizikal yang ketat dan jumlah peserta yang tertentu.

https://www.malaysiakini.com/news/574078


Sunday, May 9, 2021

PRU-15: Tun M cadang tunggu 2023

 PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak boleh diadakan tahun ini malah perlu menanti hingga tamat penggal Parlimen pada 2023. Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia perlu diberi pertimbangan serius mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat dan mengakibatkan penularan jangkitan lebih dahsyat jika sebarang bentuk pilihan raya diadakan. 

https://www.utusan.com.my/nasional/2021/05/pru-15-tun-m-cadang-tunggu-2023/

Ingkar SOP: 47 termasuk pemilik pusat hiburan dikompaun RM280k

 

Seramai 47 individu termasuk pemilik sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ahmad Shah, di George Town dikenakan kompaun berjumlah RM280,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dalam serbuan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu premis itu pada pukul 1.00 pagi sebelum mendapati semua mereka yang berumur antara 20 dan 57 tahun termasuk 16 wanita itu, sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan.

"Ketika serbuan dilakukan kesemua mereka sedang leka berhibur, dan sebaik menyedari kehadiran polis ada di antara mereka yang cuba meloloskan diri malah ada bertindak memanjat tembok untuk melarikan diri, namun tindakan pantas polis mengepung kawasan itu telah berjaya menahan 46 pengunjung di situ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya polis turut menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik pusat hiburan itu selepas mendapati semua pengunjung dilihat berhibur di premis berkenaan dalam keadaan sesak tanpa penjarakan fizikal.

"Kesemua pengunjung dikenakan dikompaun RM5,000 tiap seorang, manakala pemilik pusat hiburan itu dikenakan kompaun RM50,000, menjadikan jumlah keseluruhan kompaun RM280,000," katanya.

- Bernama

https://www.malaysiakini.com/news/573995

1.33 juta rakyat T'ganu terima air percuma sempena Aidilfitri

 

Kerajaan negeri memperluaskan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada 1.33 juta rakyat Terengganu sepanjang bulan ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bekalan air percuma kepada isi rumah kategori rumah tangga itu bertujuan membantu rakyat meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ekoran penularan pandemik COVID-19.

“Ia akan melibatkan perbelanjaan yang berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan bermula 1 Mei hingga 31 Mei 2021.

“Inisiatif ini diharapkan dapat meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang melanda dan sebagai tanda simpati serta prihatin kerajaan terutama di musim sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri sebelum ini telah memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penerima bantuan e-Kasih, Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu dan penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin.

- Bernama  

https://www.malaysiakini.com/news/573986

Khaled: 'Lockdown' segera, jangan bagi arahan mengelirukan

 

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan melaksanakan sekatan penuh (lockdown) di negara ini bagi mengekang penularan Covid-19, memandangkan kes kian meningkat.

Menurutnya, Malaysia perlu mencontohi negara-negara maju yang tidak teragak-agak untuk mengambil pendekatan drastik untuk membataskan pergerakan orang ramai dalam memutuskan rangkaian wabak Covid-19.

"Malaysia mesti segera melaksanakan ‘lockdown’ bagi mengekang penularan ini. Jangan lagi teragak-agak dengan arahan yang mengelirukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Khaled, rakyat Malaysia tidak kira orang kenamaan, ahli politik mahupun rakyat mesti berkorban dan melupakan segala bentuk kunjungan Hari Raya walaupun dalam daerah yang sama bagi mengelakkan jangkitan.

“Ingatlah, dengan proses vaksinasi yang perlahan, kemampuan kemudahan perubatan telah berada pada tahap maksimum dan petugas kesihatan semakin tertekan, Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menangani wabak ini.

“Semua sektor ekonomi mesti memberi laluan kepada ‘darurat kesihatan’ ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan harian kes Covid-19 terus melonjak dengan 4,514 kes baru dilaporkan dengan sebanyak 25 kematian.

Untuk rekod, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di kawasan-kawasan tertentu di Selangor, Johor, Terengganu, Perak dan Kelantan serta seluruh Kuala Lumpur sebagai salah satu usaha bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, terdapat beberapa kawasan lain yang menjalani PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Manakala semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak polis di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa 10 Mei hingga 6 Jun ini.

Sementara itu, Khaled berkata, kerajaan tidak boleh teragak-agak dengan arahan yang menyebabkan kekeliruan terutamanya apabila protokol kesihatan tidak lagi berkesan, memandangkan rakyat telah menunjukkan sindrom keletihan terhadap prosedur operasi piawai (SOP) sedia ada.

Pada masa sama, dalam kes sporadik yang dialami oleh negara hari ini, Khaled juga mencadangkan supaya kerajaan mempertingkatkan kebolehan fungsi MySejahtera untuk individu yang positif tidak mengetahui sumber atau tempat mereka mendapat jangkitan tersebut.

“Keupayaan sedia ada MySejahtera seharusnya ketika ini sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan QR.

“Ia seharusnya sudah berupaya memaklum individu jika mereka pernah berada dalam jarak yang dekat dengan individu positif Covid ('proximity notification').

“Teknologi ini telah pun dibina melalui kolaborasi Apple dan Google,” katanya. 

https://www.malaysiakini.com/news/573984

 

WANITA ‘DIZALIMI’ PUSAT ZAKAT SEBENARNYA SUDAH NIKMATI MANFAAT ZAKAT LEBIH RM23 RIBU!

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mendedahkan sebenarnya wanita-wanita yang mendakwa dizalimi pusat zakat sehingga kononnya terpaksa menagih bantuan gereja adalah penerima manfaat zakat sejak bertahun-tahun.

Dalam sebuah sidang media khas, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga LZS, Saipolyazan M Yusop mendedahkan maklumat wanita-wanita tersebut.

Beliau berkata, salah seorang wanita ‘ibu tunggal’ itu adalah asnaf miskin berdaftar yang menerima bantuan zakat sebanyak RM23,450 sehingga hujung tahun ini oleh LSZ.

Wanita kedua merupakan asnaf berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menerima bantuan baitulmal selama 5 tahun. Namun, bukanlah ibu tunggal seperti yang didakwa tetapi mempunyai suami yang tidak menetap di Malaysia.

Manakala wanita ketiga juga bukan ibu tunggal iaitu masih bersuami tetapi sebenarnya kesnya ialah baru sahaja menghantar borang permohonan. Walaubagaimanapun, wanita tersebut diminta melengkapkan dokumen tidak lengkap.

Kenyataan wanita-wanita tersebut melalui suatu sidang media terbuka sebelum ini bersama ‘NGO Kramat’ telah mengundang pelbagai tohmahan masyarakat terhadap majlis agama.

Ini menimbulkan kebimbangan ramai pihak kerana bimbang kutipan zakat tahun ini akan terjejas teruk hanya kerana persepsi negatif melalui dakwaan palsu terhadap majlis agama terutamanya lembaga zakat, setelah mendengar penjelasan sebenar.

https://beritamelayukini.com/2021/05/04/wanita-dizalimi-pusat-zakat-sebenarnya-sudah-nikmati-manfaat-zakat-lebih-rm23-ribu/?fbclid=IwAR0IUxRu1tibRF-fSz0uRR7cEKY8hpsUzmMzOkDzSq-oM-Hd7d7Nca-H53U

Saturday, May 8, 2021

Covid-19: KKM kesan 46 kluster rentas negeri

 

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 46 kluster jangkitan Covid-19 berkaitan aktiviti rentas negeri bermula 7 Dis lepas sehingga hari ini yang melibatkan 6,044 kes di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 14 kluster direkodkan hanya pada April sahaja.

Mengambil contoh Kluster Pasai di Sarawak, beliau berkata kes indeks telah ke Sarawak dari Johor Bahru pada Januari lepas, susulan kematian ayahnya dan menjangkiti 2,693 kes lain walaupun disahkan negatif ketika ujian saringan, sebelum berlepas ke negeri Bumi Kenyalang itu.

"Ia juga mengakibatkan 29 kematian dan menjangkiti 58 rumah panjang lain.

"Ini yang kita bimbang jika rentas negeri atau daerah," katanya pada sidang media perkembangan situasi Covid-19 di Putrajaya hari ini.

5,000 kes sehari menjelang akhir Mei

Justeru, beliau melahirkan kebimbangan jika pergerakan rentas negeri atau daerah dibenarkan, ia pasti akan mewujudkan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM menjangkakan kes baru Covid-19 akan melebihi 5,000 kes sehari, menjelang akhir Mei.

Jelasnya, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian setakat semalam untuk seluruh negara adalah 1.10.

Mengulas mengenai kematian akibat pandemik itu setakat semalam, beliau berkata 85 peratus iaitu 1,390 kematian di negara ini melibatkan warga emas berumur 50 tahun ke atas sementara 64 peratus (1,045) membabitkan golongan lelaki.

"18 peratus meninggal dunia di luar hospital manakala 89 peratus mempunyai penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Sebanyak 87 peratus kematian berada pada tahap empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kematian yang berlaku dari Januari hingga Mei tahun ini adalah 1,161, jauh lebih banyak, jika dibandingkan dengan 471 kematian sepanjang 2020.

- Bernama

https://www.malaysiakini.com/news/573897

 

'Varian B.1.351, punca jangkitan berulang terhadap pesakit tahun lalu'

 

Varian Covid-19 B.1.351 yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan telah menyebabkan kes jangkitan berulang di kalangan pesakit di Malaysia, kata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, pesakit berkenaan pertama kali dijangkiti oleh Covid-19 pada April tahun lalu dan kemudian pulih.

"Mungkin (jangkitan pertama) adalah varian yang berbeza. Tetapi kali ini pesakit tersebut dijangkiti varian Afrika Selatan," katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Katanya, pesakit itu dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Dia kemudian berkata ada dua lagi kes jangkitan berulang lain, yang dirawat di Hospital Sungai Buloh, tetapi tidak menyatakan varian mana yang menyebabkan jangkitan kedua itu.

Noor Hisham berkata, varian B.1.351 sudah tersebar dalam komuniti dengan 48 kes tempatan dikesan setakat ini.

Daripada 48 orang itu, dua pesakit telah meninggal dunia.

Keberkesanan vaksin AstraZeneca sangat rendah terhadap varian B.1.351.

Walau bagaimanapun, vaksin Pfizer telah terbukti berkesan melindungi daripada varian tersebut.

Noor Hisham berkata terdapat tiga kes tempatan dengan varian B.1.1.7, yang pertama kali dikesan di UK.

 https://www.malaysiakini.com/news/573927

Malaysia perlu ambil iktibar India, kata Dr Noor Hisham

 

Malaysia perlu mengambil iktibar gelombang kedua Covid-19 di India dan memastikan perhimpunan yang melibatkan orang ramai dielakkan, kata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dia juga memberi amaran terhadap sebarang cadangan pilihan raya atau melonggarkan perintah kawalan pergerakan.

Pada akhir Januari, Perdana Menteri India Narendra Modi mengumumkan negara itu telah mengalahkan Covid-19 dan ini menyebabkan orang ramai seakan merayakan kemenangan mereka serta mulai lalai SOP.

Kerajaan Delhi juga membenarkan orang ramai berhimpun semasa festival Hindu Kumbh Mela pada bulan April. Ia juga mengadakan beberapa kempen pilihan raya negeri.

Hari ini sahaja, India mencatatkan 4,187 kematian Covid-19 dan lebih daripada 400,000 kes baru dilaporkan setiap hari.

Noor Hisham berkata negara perlu belajar daripada kesilapan India itu.

"Tindakan-tindakan mereka yang telah menjurus kepada tsunami di negara india

"Apakah boleh kita belajar dan elakkan tsunami di negara kita," katanya.

Dia juga membuat perbandingan antara jangkitan yang disebabkan oleh pilihan raya negeri India dan pilihan raya negeri Sabah pada September 2020 di Malaysia.

Oleh itu, Noor Hisham menyokong Proklamasi Darurat untuk menangguhkan semua pilihan raya.

"Dan sekarang kita bimbang, kalau kita tidak menggunakan Ordinan Darurat, PRN Sarawak terpaksa diadakan pada bulan Jun.

"Jadi dengan ordinan darurat kita boleh elakkan PRN Sarawak

"Kita juga menggunakan Ordinan Darurat untuk mengelakkan tiga PRK Batu Sapi, Bugaya dan Gerik.

"Kalau ada pilihan raya pasti ada perhimpunan, kalau kita lihat kluster Pasai - seorang dari Johor merentas negeri balik ke Sarawak, jangkitan berlaku.

"Bayangkanlah kalau orang Sarawak balik dari Semenanjung untuk mengundi di pedalaman.

"Jangkitan pasti akan berlaku," katanya.

Menurut Noor Hisham, jika jangkitan berlaku di pedalaman Sarawak, "pusat kesihatan mungkin tidak mampu mengesan dan merawat kes-kes tersebut.

"Dan juga jarak yang jauh. Sukar untuk memberi rawatan," katanya lagi

 https://www.malaysiakini.com/news/573922

 

Indonesia beri amaran rakyatnya: Duduk rumah jangan jadi seperti M'sia

 

Kementerian Kesihatan Indonesia menjadikan kes Covid-19 di Malaysia dan India sebagai contoh untuk menggesa rakyat mereka supaya duduk rumah dan berhati-hati dengan wabak itu.

Amaran itu muncul selepas keadaan penularan wabak di negara itu kian stabil menjelang Hari Raya, manakala Malaysia dan India kini mengalami peningkatan kes.

“Belajar dari India dan Malaysia, kita tentunya tidak ingin Indonesia mengalami hal yang sama.

“Masyarakat diimbau untuk semakin ketat menerapkan protokol kesihatan 3M dan mengurangi mobilitas ke luar rumah apabila tidak mendesak,” ciapnya di akaun Twitter kementerian negara itu.

3M merujuk kepada SOP pemakaian pelitup muka, cuci tangan dan penjarakan fizikal.

Ciapan itu sebahagian siri hantaran yang menyatakan amaran bahaya varian Covid-19 yang kini menjangkiti Indonesia, yang digelar varian B.1.1.7, B.1.351 dan B.1.617.1.

“Ketiga varian ini diperkirakan lebih cepat menular dibandingkan varian sebelumnya. Hal ini terlihat dari beberapa negara yang telah mengesahkan kenaikan kes seiring ditemukannya varian baru ini di negaranya,” jelasnya.

Ciapan itu turut memaparkan poster jurucakap menteri kesihatan negara itu, Dr Siti Nadi Tarmizi yang menyatakan “dua faktor penyebab lonjakan kes di Eropah dan India adalah kerana adanya mobiliti (pergerakan) tinggi dan varian baru."

Dia turut menggesa rakyat Indonesia supaya kekal di rumah sewaktu Hari Raya Aidilfitri dan tidak pulang ke kampung.

Petang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat tiga kes Covid-19 yang mempunyai varian B.1.1.7 dikesan semalam.

Varian itu dikenalpasti di UK. Sementara itu, 48 kes varian B.1.351 turut dikesan. Ia pertama kali dikenalpasti di Afrika Selatan.

Amat membimbangkan, vaksin AstraZeneca hampir tidak mampu melawan varian dari segi mencegah penyakit ringan hingga sederhana. Keberkesanan vaksin dalam mencegah penyakit teruk atau kematian yang disebabkan oleh varian tersebut juga tidak diketahui.

Mengenai varian B.1.617.1 yang menyebabkan peningkatan kes harian di India, Noor Hisham berkata terdapat satu kes import dikesan namun telah dikuarantin saat memasuki negara ini. Kesan varian itu masih dikaji.

Kes Covid-19 di Indonesia telah meningkat antara 4,000 hingga 6,000 kes setiap hari sejak akhir Mac, manakala kes di Malaysia hari ini pada 4500 kes.

Melihat saiz populasi, Malaysia mempunyai 100 kes daripada sejuta penduduk manakala Indonesia mempunyai 18 kes daripada sejuta penduduknya.

Kes di India lebih teruk susulan jumlah kes sebanyak purata 400,000 kes setiap hari dan kian meningkat.

India juga kurang menguji populasinya, dengan lebih daripada 20 peratus ujian memberikan hasil positif. Ini bermaksud jumlah kes yang sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

 

malaysiakini.com/news/573924